24 Feb 2010

Harga Lotus Evora Lebih Tinggi Di Malaysia Daripada UK

Lotus Evora, yang dilancarkan bagi pasaran United Kingdom, akan memasuki pasaran Malaysia menjelang akhir bulan depan, kata Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Mohamed Tahir.

Beliau berkata Proton sedang menunggu kumpulan baru kereta Lotus Evora sebelum "kami bersedia bagi pelancaran".

Walaupun menurutnya syarikat itu belum memutuskan harga model itu, namun beliau tidak menafikan bahawa Lotus Evora berharga lebih tinggi daripada 50,000 pound di United Kingdom sekarang.

"Ini disebabkan oleh struktur cukai Malaysia yang lebih tinggi daripada di U.K. Kami belum memutuskan harganya, kami masih membuat perkiraan. Kami cuba menjadikannya berdaya saing seperti dalam pasaran U.K.

"Kami masih berbincang dengan kerajaan selain mengkaji struktur harga," katanya pada satu sidang akhbar di ibu pejabat Lotus di sini Selasa.

Sidang akhbar itu diadakan sempena lawatan dua hari oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ke Lotus mulai Isnin.

Lotus Evora, yang pada mulanya dibangunkan di bawah projek yang diberi nama "Project Eagle", dilancarkan pada British Motor Show pada Julai 2008.

Kereta itu lebih besar daripada model-model Lotus yang lain seperti Elise dan Exige.

Ditanya tentang rakan kongsi strategik yang disebutkan dalam ucapannya pada majlis makan malam, Isnin, Syed Zainal Abidin enggan menjelaskan lebih lanjut dan berkata masanya terlalu awal untuk membuat pengumuman.

"Perbincangan bukan sahaja melibatkan Volkswagen tetapi juga Mitsubishi dan Renault bagi mengkaji kerjasama dalam beberapa bidang, iaitu enjin dan komponen. - BERNAMA



1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

harga proton pun lebih mahal dimalaysia berbanding luar negara