24 Feb 2010

MP Nibong Tebal Mohon Maaf Kepada Syed Husin Tetapi Tidak Kepada Lim Guan Eng

Anggota Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng tidak akan memohon maaf kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhubung tindakannya mengecam pentadbiran Lim baru-baru ini.

Tan yang juga Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Jelutong berkata masalah beliau dengan Lim akan diselesaikan oleh pucuk pimpinan parti.

"Saya tidak akan tarik balik kenyataan terhadap Lim. Saya menyerahkan kepada Lembaga Disiplin PKR menentukan perkara itu," katanya kepada pemberita selepas sesi pendengaran kesnya di Ibu pejabat PKR di Damansara hari ini.

Sebelum ini, Tan mendakwa pentadbiran Lim yang juga Setiausaha Agung DAP meminggirkan wakil rakyat PKR dan menganggapnya sebagai sampah.

Bagaimanapun Tan bersetuju memohon maaf kepada Syed Husin Ali dan menarik bidasan yang dibuatnya itu kepada timbalan presidennya.

Tan membuat permohonan maaf selepas sesi dua jam bersama jawatankuasa disiplin PKR di Kuala Lumpur yang berakhir jam 5 petang tadi.

Jawatankuasa disipilin bermesyuarat sejak tengah hari tadi bagi mendengar penjelasan Tan berhubung kritikannya terhadap dua pemimpin Pakatan Rakyat.

Tan diberikan surat tunjuk sebab minggu lalu kerana beberapa kenyataannya yang dianggap celupar dan keterlaluan.

Pada sidang medianya 3 Feb lalu, Tan mencadangkan Syed Husin supaya meletakkan jawatan berikutan kenyataan timbalan presidennya itu di Malaysiakini yang membidasnya. -malaysiakini


Tan Tee Beng Tetap Setia Dengan PKR
Oleh Rusnizam Mahat

PETALING JAYA 24 Feb - Ahli Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng tetap setia dengan perjuangan KEADILAN dan menganggap desas desus menyatakan beliau akan meninggalkan parti itu sebagai spekulasi semata-mata.

Menganggap isu itu telah selesai, Tee Beng turut membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Timbalan Presiden KEADILAN Senator Dr Syed Husin Ali berhubung kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini yang disifatkan membelakangi parti.

"Saya mohon maaf kepada Dr Syed Husin sebab kenyataan yang saya keluarkan melalui media. Saya masih dalam PKR dan saya harap tidak ada sebarang spekulasi lagi.

(Media) Jangan menekan saya terlalu banyak dan saya anggap kes ini sudah selesai," ujarnya ketika mengadakan sidang media selepas dipanggil mengadap Jawatankuasa Disiplin KEADILAN di Ibu Pejabat KEADILAN di Tropicana, Petaling Jaya petang tadi.

Turut serta dalam sidang media itu ialah Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin, Ahli Parlimen Kelana Jaya Loh Gwo Burne dan Ahli Parlimen Kapar S.Manikavasagam.\

Tee Beng dihadapkan kepada lembaga disiplin tersebut selepas menerima surat daripada lembaga itu berhubung beberapa kritikannya terhadap parti yang dibuat tanpa melalui saluran yang betul.

Bagaimanapun identiti anggota Lembaga disipilin yang membincangkan dan mendengar penjelasan Tee Beng tidak didedahkan kepada media.

Menurut Tee Beng beliau berpuas hati dengan perjumpaan bersama ahli lembaga displin itu dan menyerahkan kepada jawatankuasa terbabit untuk membuat keputusan sebelum dibawa kepada pimpinan tertinggi.

"Saya sangat berpuas hati dengan suasana perbincangan dan soalan-soalan yang diterima dari lembaga dispilin. Selepas perbincangan ini, saya serahkan kepada mereka untuk membuat keputusan dan beri keputusan kepada majlis pimpinan tertinggi," ujarnya.- SK




Tiada ulasan: