20 Jan 2010

Kemelut YBK Selangor, Khir Toyo Cuba Selindungkan Sesuatu

Kerajaan Negeri Selangor menuntut Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) mendedahkan maklumat mengenai semua bantuan yang diterimanya daripada Kerajaan Negeri Selangor sejak penubuhan yayasan itu.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ini kerana laporan kewangan YBK seperti yang dipaparkan dalam laman sesawang rasminya gagal memberi maklumat penuh berhubung harta dan wang yang telah diberi oleh Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini.

"Kita sedia maklum laporan kewangan yang dipaparkan dalam laman sesawang mereka. Tapi laporan kewangan itu tidak memberi maklumat terperinci tentang harta dan wang yang diberikan kerajaan negeri Selangor. Sebab itulah kita kata perlunya yayasan itu membuat analisa dan penyataan semula," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, laporan kewangan yang dipaparkan itu menyebut berkaitan tanah seluas 1,300 ekar di Serendah yang bernilai lebih kurang RM78 juta (dikira pada RM60,000 setiap ekar).

"Tanah itu adalah pemberian yang besar nilainya, tetapi tidak ada dalam laporan kewangan. Ini baru satu contoh. Jadi, kita harap YBK akan lebih telus dan memberikan maklumat yang sepenuhnya," tambah beliau lagi.

Khalid memberitahu, YBK gagal membayar walaupun satu sen untuk premium sejak 2001 lagi selain gagal mengambil sebarang usaha untuk membuat pembayaran.

Beliau berkata, yayasan itu hanya berhubung dengan Kerajaan Negeri Selangor ketika membuat permohonan untuk menukar status tanah itu dari pertanian kepada pengunaan komersil dan jika permohonan penukaran status tanah itu dibuat, ia akan bernilai lebih kurang RM540 juta (dikira pada RM10 perkaki persegi).

"Untuk tanah yang begitu besar nilainya sudah tentulah kerajaan negeri prihatin mengenai hal bagaimana ia diurus tadbir. Mungkin kerajaan dahulu tidak mahu mengambil tahu, tapi Pakatan Rakyat tidak boleh membelakangkan isu itu kerana 'kami bertanggungjawab ke atas setiap sen wang rakyat'," ujarnya.

Sehubungan itu, sebagai pemegang amanah harta rakyat, Kerajaan Negeri Selangor bukan sahaja perlu telus dan bertanggungjawab, tetapi juga memastikan semua keputusan dan tindakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat selari dengan dasar "Merakyatkan Ekonomi Selangor".

Khalid turut mengulangi keputusan Kerajaan Negeri Selangor untuk mengeluarkan satu laporan terperinci berhubung harta dan wang yang diberikan kepada YBK pada tahun sebelum ini.

"Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini telah memohon kepada YBK supaya melantik Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Pengerusi YBK manakala ahli Exco Kebajikan dan dua lagi wakil kerajaan negeri itu dilantik sebagai ahli lembaga penasihat . Namun demikian YBK telah menolak permohonan tersebut,” kata kenyataan itu lagi yang turut disiarkan di laman rasmi Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim. -erapakatan


'S'gor tidak boleh campur tangan dalam YBK'

Kerajaan Selangor tidak boleh mencampuri urusan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) kerana ia bukan di bawah kerajaan negeri itu, tetapi didaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS), kata bekas menteri besar, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

"Di bawah pentadbiran saya dahulu, saya bekerjasama dengan YBK. Ia didaftar dengan ROS dan aktivitinya dikawal oleh lembaga pemegang amanahnya," kata beliau ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Dr Mohd Khir menegaskan demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan kerajaan negeri Selangor yang mahukan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim memegang jawatan pengerusi YBK.

Selain itu, dilaporkan, kerajaan negeri juga mahu tiga orang lantikan mereka memegang jawatan ahli pemegang amanah YBK.

Bagaimanapun, pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom dilaporkan berkata, ia bermakna kerajaan Selangor mahukan jawatan empat daripada enam ahli pemegang amanah yayasan tersebut.

Bagaimanapun, Zainal Abidin dilaporkan berkata YBK tidak akan tunduk kepada ugutan kerajaan negeri itu yang ingin menyekat segala kegiatannya jika tidak mematuhi syarat tersebut.

Dr Mohd Khir yang juga ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor berkata, kerajaan negeri tidak sepatutnya mengugut YBK.

"Menggunakan kuasa untuk mengugut, memberi imej yang tidak baik (kepada kerajaan negeri). Kita tidak bersetuju dan sepatutnya (kerajaan negeri) bekerjasama dengan mereka.

"Meletakkan kata dua (kepada YBK) adalah satu tindakan yang tidak betul," katanya lagi.

Sepatutnya, kata Dr Mohd Khir, kerajaan negeri membantu pelaksaaan program-program YBK dan bukannya mengugut yayasan tersebut.

Beliau sebaliknya mendakwa, hasrat kerajaan neger itu untuk campur tangan dalam perjalanan YBK, dilihat sebagai satu usaha untuk "mengambil kesempatan" untuk kepentingan politik mereka.

YBK ditubuhkan oleh bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib ketika negeri itu diperintah oleh BN.

Pada 11 Januari lalu, sebuah NGO - Bersih Bangun Selagor (BEBAS) - telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Khalid berhubung projek kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Pengerusi BEBAS, Mohd Abdul Raof Mokhtar dilaporkan berkata, kerajaan Selangor telah mengarahkan YBK melantik Khalid sebagbai pengerusinya, kerana jika tidak, pembinaan kampus itu di sekeping tanah milik yayasan itu akan dihentikan.

Mohd Abdul Raof dilaporkan mendakwa ianya mengandungi unsur ugutan terhadap YBK dan meminta SPRM menyiasatnya.

YBK yang ditubuhkan 20 tahun lalu, bercadang membangunkan kawasan seluas 190 hektar untuk pembinaan kampus UiTM di Serendah, Rawang. Tanah tersebut adalah milik YBK yang dianugerahkan kerajaan negeri terdahulu sekitar tahun 1995 -malaysiakini


Ulasan GB

Sekarang kit baru faham mengapa Khir Toyo beriya-iya mempertahankan YBK dan mengkritik campurtangan Kerajaan Selangor di dalam perjalanan urusan yayasan berkenaan.

Ini kerana ada muslihat tertentu di mana banyak penyelewengan berlaku di dalam YBK sebelum Pakatan Rakyat mengambil-alih kerajaan negeri Selangor.

4 ulasan:

Awanama berkata...

banyak penyelewengan kerajaan BN termasuk wang petronas..

Awanama berkata...

Mamat botok ni lama dah tak dengar cerita menipu rakyat. Siaplah engkau bila tiba PRU13 nanti.

kanuar Malaya berkata...

saya baru menetap d serendah..kat jeram 'templer kai' berdekatan kmpung org asli serendah ada rmah rehat/banglo dlm hutan...kata orng2 tempatan serendah ia milik khir toyo dan tanah kaw. tersebut milik Y.B.K..mungkin tu yg khir toyo bersungguh2 pertahankan Y.B.K selangor..saya cuma dengar ckap org betul or salah saya tak tahu..harap2 Pihak G.B dan Kerajaan selangor dapat selidik..

Awanama berkata...

Bila terdesak saja mereka akan panggil SPRM kononnya orang lain adalah perasuah yang perlu ditahan, disiasat dan didakwa.

Mereka dilihat amat berharap SPRM akan segera melakukan siasatan terhadap pemimpin Kerajaan Negeri Selangor sedangkan bekas pemimpin kerajaan negeri terdahulu sudah jelas terbabitkan penyelewengan mengurus harta kerajaan negeri dan rasuah.

SPRM yang diubahsuai oleh Pak Lah hanyalah untuk melindungi orang-orang UMNO yang terlibat dalam rasuah. Dan dalam masa yang sama mereka juga menjadikan suruhanjaya itu kononnya untuk menghapus rasuah.

Itulah cara pemimpin UMNO menipu rakyat tetapi rakyat di negeri Selangor tidak sebodoh yang disangka, malah rakyat Selangor sedang menilai setiap isu yang cuba dimainkan oleh pemimpin UMNO.

Sekarang adalah masa untuk mengetahui segala penyelewengan yang telah dilakukan oleh pemimpin UMNO ketika mereka memerintah kerajaan Negeri Selangor dulu.

Bila tiba masanya Ghani Pattail pula akan diusung ke mahkamah untuk diadili kerana bersubahat melindungi perasuah.