30 Nov 2009

Krisis MCA Semakin Tenat : Ong Tee Kiat Tolak Deklarasi 1128

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat pada hari Ahad menolak Deklarasi 1128 yang dipersetujui kumpulan penyokong Naib Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam yang mahu pemilihan semula parti diadakan dalam tempoh 60 hari.

Ong menyifatkannya tuntutan deklarasi itu semata-mata mahu pemilihan semula parti itu diadakan segera sedangkan jika ia (pemilihan semula) mahu diadakan, ia perlu mengikut perlembagaan parti dan dirujuk kepada Jawatankuasa Pusat (CC).

"Adalah penting bagi semua pihak mematuhi perlembagaan parti," katanya pada sidang media selepas menghadiri jamuan Hari Raya Aidiladha 2009 kawasan Pandan di sini.

"Kalau kita sayang demokrasi dalam MCA, kenalah semua pihak akur kepada amalan ataupun akur kepada keputusan yang dibuat majoriti ahli CC, takkanlah yang majoriti ini kena tunduk kepada yang segelintir. Itu bukan caranya kita menguruskan parti atau demokrasi parti," jelasnya.

Persoalan sama ada mahu ditunda Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) ataupun tidak hendaklah dirujuk kepada CC dan setahunya AGM itu akan tetap diadakan pada 5 Dis ini, kata Ong.

Mengenai dakwaan golongan yang menyokong Liow yang hanya mahu pemilihan baru diadakan untuk ahli CC dan tidak perlu bagi sayap Pemuda dan Wanita, Ong berkata, pemimpin di peringkat akar umbi mahu pemilihan diadakan serentak mengikut perlembagaan parti dan seperti mana yang telah dibuat UMNO.

Ong mendakwa semasa beliau berada di London baru-baru ini banyak fitnah dilemparkan terhadapnya mungkin kerana ada pihak yang kurang senang dengan tindakannya yang mahu penyelewengan projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) disiasat.

Katanya, beliau sedar ada banyak pihak yang mahu menjejas dan menghancurkan kerjaya politiknya tetapi demi untuk kebenaran beliau tidak akan mengalah.

1 ulasan:

Awanama berkata...

jgn2 ini lakonan semata2, pada saya semenjak perak menjadi mangsa rampasan kuasa, walau apapun yg dilakukan oleh puak2 BN ini tidak saya percaya lagi. tambahan pulak yg suka lompat2 parti tu... menjadi duri dlm daging, ibarat api dlm sekam, lantak dia org lah (BN) ni nak tonggang tebalik ke... apa ke... KITA TAK PERLUKAN AHLI YG RAMAI, TETAPI KITA PERLU RAMAI YANG MENYOKONG KITA. takut2 nanti ahli2 baru ini spy yg dibayar oleh umno.