2 Sep 2009

Era Najib Altantuya : Siputeh, Kedah Tidak Berdiam Diri

Kerajaan Kedah bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang bagi mengisytiharkan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh setelah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan tidak berlaku kekosongan pada kerusi DUN itu, semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, Kerajaan Negeri menyerahkan kepada Penasihat Undang-undang dan Speaker Dewan Undangan Negeri untuk mengkaji peruntukan undang-undang dan mengambil tindakan lanjut.

Azizan berkata, kerajaan negeri akan mengikut saluran undang-undang termasuk jika terpaksa membawa pengisytiharan kekosongan kerusi DUN itu ke mahkamah.

“Kita mahu kepastian sama ada SPR (keputusan) betul tidak dan biarlah Speaker yang buat kerja kerana yang menghantar surat kepada SPR juga adalah Speaker,” katanya.

Baru-baru ini, Speaker DUN Dr Abdul Isa Ismail mengisytiharkan DUN Kota Siputeh sebagai kosong ekoran ketidakhadiran Abu Hassan pada dua persidangan secara berturut-turut tanpa sebab.

Katanya, arahan untuk mengosongkan DUN itu adalah berlandaskan perlembagaan Undang-undang Tubuh Negeri Kedah dan beliau menghantar notis mengenai kekosongan itu kepada SPR minggu lepas.

Abu Hassan bagaimanapun mendakwa beliau tidak dapat hadir ke persidangan DUN kerana masalah kesihatan dan lewat menyerahkan sijil cuti sakit kepada Speaker DUN atas masalah teknikal.

Sementara itu, Abu Hassan ketika ditemui berkata, beliau bertekad menjadikan insiden ketidakhadirannya pada dua sesi sidang DUN tanpa notis awal kepada Speaker DUN sebagai iktibar meningkatkan khidmatnya kepada rakyat.

“Saya yakin saya tidak bersalah dan saya serahkan segalanya kepada Allah. Akhirnya Tuhan menunjukkan kebenaran dan memberi ruang kepada saya untuk terus berbakti dan berkhidmat kepada rakyat DUN Kota Siputeh dan Parlimen Jerlun,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataan lewat petang semalam mengisytiharkan Abu Hassan yang juga Ketua UMNO Bahagian Jerlun kekal sebagai ADUN Kota Siputeh.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

macam macam MALAYSIA BOLEH!