2 Sep 2009

Era Najib Altantuya : Rampas Dulu Baru Kaji?

Rampasan majalah Gedung Kartun yang dihasilkan Zunar dan rakan-rakannya, menunjukkan kerajaan tidak berminat untuk melakukan semakan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan seperti dakwaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein sebelum ini.

Pengarah Eksekutif Pusat Media Bebas (CIJ), Gayathry Venkiteswaran berkata, isu pelesenan sejak dulu hingga kini menjadi senjata bagi mengawal dan menyekat hak kebebasan berkarya.

Beliau juga hairan kerana tindakan itu jelas bertentangan dengan kenyataan Hishammuddin yang sebelum ini mendakwa mahu semakan akta berkenaan dengan atas nama kehendak rakyat.

Katanya, kerajaan perlu menghentikan sebarang tindakan keras seperti penyitaan bahan penerbitan sewenang-wenangnya, bagi menunjukkan keprihatinan menteri terhadap kritikan masyarakat terhadap undang-undang sedia ada.

"Kita juga menyeru kementerian itu supaya mendedahkan perkembangan perancangan mereka dalam mengkaji semula Akta Media Cetak dan Penerbitan," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Pada 26 Ogos lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 408 naskah majalah Gedung Kartun di pejabat Sepakat Efektif Sdn Bhd kerana didakwa tiada permit penerbitan, sebaliknya menggunakan permit palsu.

Sebanyak 18 keping plat percetakan majalah itu dirampas di syarikat percetakannya K Vin Publisher di Seri Kembangan, Serdang, Selangor sehari kemudian kerana didakwa mencetak bahan tanpa permit.

Serbuan itu dibuat dipercayai berikutan kandungannya, antaranya memaparkan gelagat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tersilap mengibar bendera Mongolia bersempena sambutan hari kemerdekaan negara.

Isterinya, Rosmah Mansor pula digambar sebagai dalang yang menggerakkan wayang kulit berkepala Najib, selain seorang yang menggunakan khidmat bomoh dan dilabelkan sebagai 'Rosmoh'.

Gayathry berkata, CIJ juga mendesak KDN supaya memulangkan semula naskhah majalah 68 halaman itu kepada syarikat yang menerbitkan majalah yang dianggap Zunar sebagai kartun alternatif.

Tiada ulasan: