3 Sep 2009

Era Najib Altantuya : PAS Penentu Kerajaan Pusat PRU13

Senario politik Malaysia pada PRU-13 akan datang bergantung kepada pelbagai faktor penentu antaranya berdasarkan kawasan majoriti pengundi mengikut kaum. Jika berlaku pertandingan dua penjuru antara DAP dan MCA, sedangkan kawasan tersebut mempunyai 55% pengundi Cina dan 45% peratus pengundi Melayu, maka kedua-duanya berpeluang menang kerana berasaskan peratus kaum.

Persoalannya, ke mana condongnya 40% pengundi Melayu dalam pertandingan dua penjuru itu kerana agak mustahil DAP akan kalah di kawasan 55% pengundi kaum Cina dan mustahil juga DAP akan kalah walau hanya mendapat sokongan 30% undian dari pada kaum Cina kerana kemungkinan besar kaum Cina yang dulunya penyokong Barisan Nasional akan berpaling tadah menyokong DAP demi kepentingan politik dan agitasi ekonomi mereka.

Jika DAP boleh meraih 30% daripada 55% pengundi Cina, ia tidak boleh menjamin DAP akan menang tanpa sokongan 20% undi Melayu dari PAS. Senario yang sama juga akan berlaku jika terdapat pengundi DAP di kawasan Melayu dan ia tidak akan berubah sokongan DAP kepada PAS atau PKR.

Sekiranya pemimpin Pakatan Rakyat menyedari senario politik yang semakin rumit kerana BN akan ‘menghalalkan cara’ bagi memperbaharui mandat mereka, maka semua rakan kongsi Pakatan Rakyat harus saling sandar menyandar untuk mendapat kemenangan kerana ‘Politik Sandar Menyandar’ ini lah yang paling digeruni oleh semua peringkat para pemimpin UMNO.

Walaupun para pemimpin UMNO menggunakan media arus perdana, polis, SPRM, mahkamah dan sekarang ini tentera juga digunakan untuk memecah belahkan perpaduan dalam ikatan Pakatan Rakyat, namun politik masa hadapan UMNO bergantung kepada kelemahan Pakatan Rakyat.

Para pemimpin UMNO sedar kekuatan Pakatan Rakyat, sehingga UMNO membuat satu plot yang diatur oleh Datuk Tajul Rosli Ghazali mahu mengadakan Kerajaan Campuran dengan PAS di Perak. Sebelum rampasan kuasa secara di luar perlembagaan dibuat untuk menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan PAS di Perak. Kerajaan Campuran itu gagal kerana tidak mendapat restu dari Presiden PAS dan bekas Menteri Besar Perak Dato Seri Nizar Jamaluddin.

Pemimpin atasan UMNO tidak ada pilihan lain, selain ‘menggunakan’ SPRM menangkap dua orang ADUN PKR dan memujuk seorang ADUN DAP untuk menyokong Barisan Nasional menubuhkan Kerajaan Perak. Dua ADUN PKR ketika itu diheboh-hebohkan oleh SPRM sebagai orang yang menerima rasuah. Bila kedua ADUN tersebut menyokong BN maka kes rasuah itu masih ada tapi di ‘sejuk beku’ di dalam kabinet fail SPRM.

Satu lagi percubaan diplomatik para pemimpin kanan UMNO memujuk para pemimpin PAS untuk meninggalkan Pakatan Rakyat dan menubuhkan bersama UMNO, sebuah Kerajaan Perpaduan yang tidak berformula itu. Jika Kerajaan Perpaduan itu jadi, bagaimana kedudukan Barisan Nasional?

Soalan tersebut tidak perlu ada jawapannya kerana Presiden PAS bulat-bulat telah menolaknya kerana Tok Guru Hadi Awang hairan kenapa UMNO sangat memerlukan PAS untuk menjadi gandingan dalam Kerajaan Perpaduan? Jawapannya cukup jelas iaitu pemimpin tertinggi UMNO sudah tahu bahawa PAS tidak dapat memerintah Kerajaan Pusat, tetapi PAS boleh menghalang UMNO/BN dari memerintah Kerajaan Pusat pada PRU13 nanti.Jika PAS condong kepada Pakatan Rakyat, PAS boleh memerintah bersama PKR dan DAP dan kalau PAS condong kepada UMNO/BN maka UMNO/BN boleh memerintah. Perbezaannya kalau PAS menyokong UMNO/BN, maka PAS hanya menjadi nasi tambah sahaja, tetapi kalau PAS dalam Pakatan Rakyat, PAS menjadi faktor penentu dan institusi penting dalam Kerajaan Pakatan Rakyat.

Gelombang yang bergelora di batang tubuh UMNO semakin membadai kerana mereka menyedari PAS akan menentukan hidup mati mereka dalam pilihanraya di Semenanjung Malaysia sekalipun UMNO masih mendominasi Sabah, sehingga membuatkan mereka terpaksa ‘bermain kasar’ dalam perlawanan ‘Kalah Mati’ dalam PRU-13 nanti.

Sebagai pakar strategi yang menumbangkan kerajaan Pakatan di Perak Dato Seri Najib Tun Razak akan mencari formula untuk mencipta peluang memujuk Tok Guru Haji Hadi Awang dan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat bekerja sama dengan UMNO dan meninggalkan Pakatan Rakyat.

Para pemimpin dan pemerhati politik yang kurang bijaksana menilai ‘bahaya dan bahana’ PAS bukan sahaja kepada UMNO malah Pakatan Rakyat akan memperlekehkan PAS sedangkan Najib sudah lama melihat tongkat sakti berada di tangan kiri PAS dan ‘Lampu Aladdin’ ada di tangan kanan PAS. Tapi bagaimana Najib mahu mendapatkan kedua-duanya? -Halik Zaman

1 ulasan:

Awanama berkata...

DS Uztaz Haji Hadi Awang sebagai Perdana Menteri Malaysia. Amin....Semoga Islam terus gemilang di tanahairku......