3 Sep 2009

Era Najib Altantuya :Tidak Wajar Menteri Bela Ektremis - Xavier

Pakatan Rakyat memfailkan satu laporan polis terhadap Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein ekoran campurtangan beliau dalam siasatan polis.

Laporan polis ini dibuat berikutan tindakan Hishamuddin Hussein memintas siasatan polis dengan mengadakan pertemuan dengan penganjur tunjuk perasaan 'kepala lembu' di Shah Alam minggu lalu.

Exco Selangor Xavier Jeyakumar, Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dan Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud membuat aduan tersebut ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, jam 12.30 tengahar tadi.

Pakatan Rakyat berkata campurtangan ini adalah penyalahgunaan kuasa yang besar dan boleh mempengaruhi siasatan polis keatas isu ini, lebih-lebih lagi apabila Hishamuddin mengambil pendirian tanpa menunggu hasil siasatan polis.

"Satu siasatan bebas perlu diwujudkan segara bagi menyiasat tindakan Menteri Dalam Negeri mencampuri siasatan polis berhubung tindakan tunjuk perasaan kepala lembu tempoh hari. Jelas sekali ini adalah penyalahgunaan kuasa," kata Xavier di perkarangan IPD Petaling Jaya.

Dalam kejadian 28 Ogos lalu, segerombolan individu mengadakan tunjuk perasaan di luar bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sambil mengheret kepala seekor lembu, menendang dan meludah kepala itu sebagai bantahan kepada pemindahan sebuah kuil lama dari Seksyen 19 Shah Alam ke Seksyen 20 Shah Alam.

Tunjuk perasaan itu dikecam pelbagai pihak sebagai menghasut kepada perbalahan agama dan bersifat provokasi. Ketika polis mengadakan siasatan, Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein bertindak mempertahankan provokatur-provokatur terbabit.

Hishamuddin mengadakan pertemuan dengan provokatur terbabit, dan dalam satu kenyataan selepas pertemuan tersebut, Menteri Dalam Negeri itu berkata pihak terbabit tidak perlu dihukum sekiranya semua pihak mengamalkan sikap memahami dan bertolak-ansur.

"Sesungguhnya kenyataan Menteri terbabit amat mengejutkan. Beliau mempertahankan tindakan dan provokasi kumpulan terbabit," kata Xavier dengan nada kesal.

Sementara itu, Charles Santiago berkata Menteri Dalam Negeri tidak boleh menghalang mana-mana pihak yang didapati menghasut kepada perbalahan kaum dan agama dari diheret ke muka pengadilan.

"Saya amat kesal dengan kenyataan Hishamuddin Hussein itu, dan saya fikir beliau perlu meletakkan jawatan. Saya juga menggesa Peguam Negara untuk mengheret penghasut untuk membela diri di mahkamah," kata Charles.



1 ulasan:

Awanama berkata...

Dengan campurtangannya Hishamuddin Hussein dalam siasatan polis terhadap penganjur tunjuk perasaan 'kepala lembu' di Shah Alam minggu lalu menunjukkan yang UMNO memang menjadi dalang disebalik tunjuk perasaan itu. Tindakan Hishamuddin Hussein yang mempertahankan tindakan dan provokasi kumpulan terbabit juga menunjukkan yang beliau memang tidak menghormati dan prihatin kepada agama kaum bukan melayu serta sikap perkauman masih belum terhakis dari idealogi beliau. Pihak polis pula tidak berani bertindak terhadap kumpulan terbabit tersebut kerana tunjuk perasaan itu didalangi oleh UMNO. Hishamuddin Hussein patut meletakkan kesemua jawatan yang disandangnya didalam kabinet dan didalam UMNO. Beliau tidak berkemampuan untuk memimpin dan menyelesaikan masalah dengan baik sebaliknya merumitkan dan mengeruhkan lagi keadaan. Masalah dalaman UMNO Terengganu dibawah kepimpinan Hishammuddin Hussein selaku pengerusi badan perhubungan Umno Terengganu dan penolakkan Umno Bukit Mertajam terhadap pindaan perlembagaan Umno yang juga kebetulan dipengerusikan oleh Hishammuddin Hussein jelas menunjukkan bahawa beliau memang tidak layak dan berkemampuan menjadi seorang pemimpin. Kedudukan dan jawatan yang beliau ada sekarang ini pun hanyalah semata-mata kerana beliau anak kepada bekas PM Malysia, Tun Hussein Onn dan juga saudara kepada PM sekarang DS Najib. Percayalah penganjur tunjuk perasaan 'kepala lembu' di Shah Alam minggu lalu tidak akan dikenakan apa2 tindakan undang2 dan kalau ada pun pihak mahkamah akan menjatuhkan hukuman yang paling ringan sekali berbanding dengan hukuman yang dijatuhkan terhadap penganjur2 dari pihak PR. TAK PERCAYA ??? KITA LIHAT BERSAMA2 NANTI.