3 Sep 2009

Era Najib Altantuya : Dah Lebih 800 Tandatangan - Chua Soi Lek Dakwa Dah Cukup Untuk EGM

Timbalan Presiden MCA yang dipecat dari parti minggu lepas Datuk Seri Dr Chua Soi Lek pada hari Rabu mendakwa penyokongnya sudah memiliki tandatangan lebih 800 perwakilan pusat parti untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM), lapor Bernama.

Dr Chua menerusi blognya berkata beliau sudah menemui anggota di peringkat akar umbi di Alor Setar dan juga Sabah, yang rata-rata kalangan mereka tidak berpuas hati dengan tindakan kepimpinan parti memecatnya.

"Semasa kenyataan ini ditulis, tandatangan yang dikumpulkan sudah melebihi jumlah 800 yang diperlukan untuk mengadakan EGM. Saya berpendapat maklum balas yang diperolehi cukup memberangsangkan," katanya.

Menurutnya oleh kerana pihak penyokongnya yang mula dahulu mengusulkan supaya diadakan EGM, adalah lebih baik sekiranya Presiden Parti "menyatukan resolusinya ke dalam resolusi kami".

Beliau berkata resolusi bagi EGM yang digerakkan oleh Presiden masih belum diketahui sehingga ini, dan hasrat akar umbi perlu dihormati sekiranya demokrasi ingin dikembalikan dalam parti.

Dr Chua berkata Ong juga tidak seharusnya membabitkan EGM dengan isu-isu berkaitan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang yang menjadi tanggungjawab kementerian pimpinan Ong, dan bukannya berkaitan isu parti.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan bila beliau akan menghubungi setiausaha agung Datuk Wong Foon Meng untuk memanggil EGM bagi pihaknya.

Isnin lepas Wong diarahkan oleh Ong untuk memanggil EGM, dan beliau meminta perwakilan pusat parti untuk mencadangkan agenda buat EGM yang akan diadakan sebelum 30 Sept, menjelang Jumaat ini.

Penyokong Dr Chua sebelum ini berkata mereka akan berusaha mencari jalan untuk mengembalikan Dr Chua ke jawatannya dalam parti.



Tiada ulasan: