3 Sep 2009

Era Najib Altantuya : Kapalselam Scorpene Mengimbau Kembali Altantuya

Akhirnya kapal selam yang 'popular' dari jenis Scorpene ini tiba juga di tanah air walaupun ia sepatutnya telah tiba pada 25 januari lalu.

Ketibaan kapal selam pertama Tentera Laut Diraja Malaysia, KD Tunku Abdul Rahman, di pangkalan KD Sultan Abdul Aziz Shah, di Pulau Indah di Pelabuhan Kelang hari ini disambut oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang disertai Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Kapten Yang Dipertua TLDM, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Isu kapal selam - Altantuya - Komisen RM500 juta ini juga digazetkan di Parlimen. Altantuya Sharibuu @ Aminah Abdullah berusaha membawa kapal selam pertama negara hingga mengorbankan nyawa beliau pada Oktober 2006.

Berikut ialah sedutan perbahasan antara TPM/Menteri Pertahanan masa itu Dato' Sri Najib Razak dengan ahli parlimen. Sama-sama hayati :


DEWAN RAKYAT PARLIMEN KEDUABELAS
PENGGAL PERTAMA
MESYUARAT PERTAMA

Bil. 10
Rabu 14 Mei 2008 (Gazet lengkap di sini)

4.30 ptg.
Menteri Pertahanan [Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak]:
Tuan Yang di-Pertua, terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua kerana memberi penjelasan mengenai kelewatan saya sedikit dalam Dewan ini, kerana saya sudah lama menunggu sebenarnya. Saya terpaksa keluar sekejap. Tidak usahlah besarkan sangat perkara ini… [Disampuk]

Tuan Yang di-Pertua, terlebih dahulu saya mengucap terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan perkara-perkara di bawah bidang tugas Kementerian Pertahanan semasa membahaskan Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Saya akan menjelaskan perkara-perkara yang telah dibangkitkan.

Isu pertama yang saya ingin sentuh adalah berkaitan dakwaan rasuah dalam perolehan kapal selam Scorpene – dua buah dan pesawat pejuang Sukhoi – 18 buah. Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa tuduhan yang dibuat oleh Ahli Yang Berhormat Permatang Pauh ini, adalah tidak berasas sama sekali… [Tepuk] Di sini pihak Kementerian Pertahanan ingin memaklumkan bahawa pembelian kelengkapan Angkatan Tentera Malaysia, dibuat mengikut tatacara pelaksanaan kontrak-kontrak perolehan peralatan pertahanan negara.

Ia melibatkan pelbagai peringkat kelulusan termasuk Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Rundingan Harga. Setelah penilaian yang teliti dibuat, demi memastikan perolehan tersebut menepati keperluan ATM. Selain itu rujukan juga dibuat kepada Jabatan Peguam Negara, bagi mendapatkan kelulusan ke atas klausa-klausa kontrak tersebut. Semua terma dan kelulusan untuk rundingan terus dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan kontrak hanya akan ditandatangani selepas kelulusan Kementerian Kewangan. Saya ingin menegaskan di Dewan yang mulia ini, bahawa kaedah perolehan kelengkapan ATM yang dibangkitkan, telah dilaksanakan mengikut tatacara perolehan kerajaan.

Sehubungan dengan dakwaan yang dibuat oleh Ahli Yang Berhormat Permatang Pauh bahawa Syarikat Premica Sdn. Bhd. menerima komisen Euro114.96 juta atau RM530 juta berkaitan dengan pembelian kapal selam Scorpene. Kementerian Pertahanan menegaskan, bahawa kerajaan tidak ada dan tidak pernah membayar sebarang komisen sama ada secara langsung atau tidak langsung, kepada syarikat berkenaan…

Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [Permatang Pauh]: [Bangun]
Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Menteri.

Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak: Perolehan kapal selam tersebut... Boleh saya habiskan? Kemudian saya bagi. Perolehan kapal selam tersebut telah dibuat secara runding terus selaras dengan tatacara perolehan kerajaan, dengan syarikat pembuat iaitu Perancis dan Sepanyol yang telah mendapat persetujuan kerajaan masingmasing. Kontrak perolehan kapal selam ini telah ditandatangani pada 5 Jun 2002 oleh Kerajaan Malaysia dengan Syarikat DCNS Perancis dan Syarikat Navatia Sepanyol selaku pembekal kapal selam dan Premica Sdn. Bhd. sebagai project service provider, dengan izin, Tuan Yang di-Pertua.

Nilai kontrak ini ialah kesemuanya Euro1.84 bilion. Skop kontrak ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian pertama, antara Kerajaan Malaysia dan Syarikat DCNS Perancis dan Navatia Sepanyol merangkumi perolehan dua buah kapal selam jenis Scorpene Package Integrated Logistic Support dan latihan untuk warga kapal selam Scorpene. Nilai bahagian ini ialah Euro999.15 juta.

Bahagian kedua, antara Kerajaan Malaysia dengan Premica Sdn. Bhd. merangkumi perkhidmatan koordinasi dan sokongan kepada pasukan projek kapal selam TLDM di Shcherbugh, Perancis dan Catagena, Sepanyol serta pelatih-pelatih kapal selam di Brass, Perancis. Nilai bahagian ini ialah Euro114.96 juta.

Kerajaan tidak membuat sebarang rundingan pembelian dengan Syarikat Premica
Sdn. Bhd. Syarikat Premica Sdn. Bhd. yang didakwa terlibat dalam pembelian dan menerima komisen sebenarnya diberi kontrak menyediakan perkhidmatan sokongan atau service provider dan koordinasi untuk tempoh enam tahun.

Selain itu, segala perbelanjaan untuk projek kapal selam ini dapat dikawal dan dijadualkan, manakala perbelanjaan di luar jangka atau cost overrun dapat dielakkan memandangkan pelaksanaan projek perolehan kapal selam memakan tempoh masa yang panjang iaitu selama enam tahun, serta melibatkan bilangan seramai 213 anggota yang terdiri daripada pegawai dan pelatih. Nilai kontrak tersebut adalah sebanyak Euro114.96 juta yang dibayar secara berperingkat mengikut kemajuan projek kapal selam. Sehingga kini sebanyak Euro95.54 juta atau 83.11% telah dibayar kepada syarikat tersebut.

Untuk makluman, kapal selam pertama iaitu KD Tuanku Abdul Rahman telah siap dibina dan sedang menjalani ujian laut ataupun supply sea internal trial, dengan izin, Tuan Yang di-Pertua. Kapal selam pertama ini perlu menjalani beberapa lagi ujian sebelum ianya diserahkan kepada TLDM, dijangka pada 25 Januari 2009. Dari segi peratus pembinaan kapal selam ini telah mencapai 88.4%, manakala kapal selam kedua telah dipasang dengan semua peralatan dan sistem. Kini pembekal sedang giat membuat ujian ataupun harbor acceptance trial dan integrasi sistem.

Dari segi peratus pembinaan, kapal selam ini telah mencapai 81%. Ianya akan diserahkan kepada TLDM pada 25 Oktober 2009. Syarikat Premica Sdn. Bhd. adalah dimiliki oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera atau LTAT Boustead Holdings Berhad dan KS Ombak Laut Sdn. Bhd. Perkhidmatan sokongan dan koordinasi yang disediakan adalah seperti berikut:

Skop kerja perkhidmatan sokongan:
(i) menyediakan kemudahan kediaman berserta kelengkapan untuk team project bagi 27 keluarga pegawai di Perancis dan Sepanyol untuk tempoh enam tahun;
(ii) menyediakan pejabat urusan dan kediaman berserta kelengkapan bagi krew kapal TLDM seramai 156 orang dan 30 staf penyelenggaraan pangkalan untuk tempoh empat tahun di Perancis dan Sepanyol;
(iii) menyediakan insurans kesihatan bagi anggota serta keluarga team project dan krew kapal selam di Perancis dan Sepanyol;
(iv) membayar elaun-elaun harian dan elaun krew kapal selam sebanyak Euro50 sehari untuk tiga tahun pertama dan Euro60 sehari seorang untuk tiga tahun kedua;
(v) membiayai kos penerbangan pergi dan balik bagi setiap krew kapal selam untuk balik bercuti ke Malaysia bagi setiap empat bulan atau tiga kali setahun; dan
(vi) lain-lain keperluan team project dan krew kapal selam di Perancis dan Sepanyol.

Bagi skop kerja perkhidmatan koordinasi pula bertanggungjawab:
(i) memastikan penyertaan syarikat Malaysia dalam pembinaan dan membantu syarikat-syarikat Malaysia yang berpotensi untuk menyertai program off-set;
(ii) membantu kontraktor utama dalam memberi maklumat tentang prosedur kerajaan berhubung pelaksanaan kontrak;
(iii) menyelaras latihan krew kapal selam antara kontraktor dengan kerajaan; dan
(iv) menyediakan laporan koordinasi setiap bulan.


Tuan Yang di-Pertua: Sila.

Datin Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pertahanan. Nampak gayanya macam semuanya... , pembelian kapal selam Scorpene ini yang berharga begitu mahal boleh diberi jawapan seperti mana yang telah diberikan, tetapi saya ingin penjelasan daripada Yang Amat Berhormat mengenai pembelian tiga buah kapal selam ini kalau dibandingkan menurut sumber majalah pertahanan antarabangsa James Defence Weekly, Perancis telah menjual kapal ini kepada Chile, India dan Malaysia dengan harga yang berbeza.

Chile pada kontrak tahun 1997 membeli dua buah dengan harga USD250 juta sebuah berbanding dengan India kontrak tahun 2005 membeli enam buah dengan harga USD540 juta sebuah. Malaysia kontrak pada tahun 2002 membeli dua buah kapal selam ini dengan harga RM580 juta sebuah.

Mengenai penjualan Scorpene kepada India menurut satu rencana James Defence Weekly terbitan 17 Ogos 2007, harga USD540 juta ini ditawarkan kepada India termasuk penalty fee. Kemudiannya menurut James Navy International edisi 23 September 2007, Perancis bersetuju membatalkan penalty fee tersebut. Maka dengan itu harga sebuah kapal selam Scorpene yang dijual kepada India sebenarnya ialah hanya USD400 juta sebuah.

Manakala menurut kontrak penjualan kapal selam tersebut dengan Malaysia... [Bercakap dengan nada perlahan] ...Gemilang dan terbilang. Perancis menjual dua buah kapal selam tersebut Scorpene dengan harga USD580 juta sebuah dengan pakej yang hanya menawarkan program latihan yang telah disebutkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri dengan menggunakan kapal selam jenis Agosta 70 secara percuma kepada kelasi-kelasi TLDM.

Apakah yang telah disebutkan tadi itu termasuk juga tetapi ini dikatakan percuma. Amat nyata bahawa terdapat tawaran harga yang berbeza antara Malaysia, Chile dan India. Saya ingin penjelasan mengapakah kita harus membayar harga sebuah kapal selam Scorpene dengan kadar harga yang lebih tinggi. Apakah keistimewaannya? What we are paying for, apakah yang kita bayar? Ini duit rakyat.

Berbanding Chile kita terpaksa membayar melebihi dua kali ganda iaitu melebihi UDS230 juta. Bagi dua buah kapal selam Scorpene kita membayar melebihi USD460 juta.

Manakala berbanding dengan India yang menjalinkan kontrak tiga tahun kemudian, kalau dikatakan dulu Chile beli pada tahun 1997 dan kita beli pada tahun 2002, tetapi India yang beli pada tahun 2005, kita masih membayar melebihi USD180 juta bagi sebuah kapal selam Scorpene.


Dengan demikian kita terpaksa membayar melebihi USD360 juta berbanding dengan India. Tidakkah ini petanda bahawa terdapat hanky panky, dengan izin dalam urusan pembelian kapal selam Scorpene yang memerlukan penyiasatan rapi menerusi penubuhan satu suruhanjaya bebas?

Saya hendak bertanya juga, tidak termasuk dalam apa Yang Amat Berhormat Menteri telah mengatakan mana-mana kapal selam adalah memerlukan maintenance. Apakah maintenance ini termasuk dalam package ataupun mesti ditawarkan kepada company, syarikat-syarikat lain untuk menjaga maintenance ini. Terima kasih.

Tiada ulasan: