17 Sep 2009

Era Najib Altantuya : Isa Samad Berdolak Dalik

Ketua Umno Bahagian Telok Kemang Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad masih berdolak-dalik apabila wartawan mengajukan soalan adakah beliau calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

"Saya tak tahu..... saya pun tak dapat apa-apa ilham lagi. Saya tak tahu apa keputusan daripada pucuk pimpinan. Pemilihan calon ini diputuskan pucuk pimpinan dan ini adalah amalan biasa dalam Umno.

"Kita serah kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan untuk memilih calon yang sesuai di Bagan Pinang. Biar mereka menilai," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis perasmian program gotong-royong khidmat masyarakat bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) oleh Ketua Pengarah AADK Datuk Abd Bakir Zin di sini, hari ini.

Pada mesyuarat Umno Bahagian Teluk Kemang 10 Sept lepas, Ketua Pemuda bahagian itu, Mohd Faizal Ramli berkata bahagian itu sebulat suara menamakan Mohd Isa sebagai calon BN.

Namun, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahukan Umno Negeri Sembilan menyenaraikan sekurang-kurangnya tiga nama sebelum dipilih calon BN di Bagan Pinang.

Ditanya sokongan Umno bahagian itu yang sebulat suara mahu beliau menjadi calon, Mohd Isa yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan berkata ia adalah atas keyakinan.

"Maknanya keyakinan untuk bekerja bersama-sama untuk memastikan kerusi DUN Bagan Pinang terus kekal milik BN," katanya.

Ditanya jika pucuk pimpinan memilih calon lain daripada yang dicadangkan oleh bahagian itu, beliau berkata sudah tentu pucuk pimpinan mempunyai alasan tertentu.

"Sebagai anggota parti dan setelah apa yang diputuskan pucuk pimpinan, sokongan mesti diberikan terhadap calon yang dipilih. Semasa pilihan raya kita tidak bercakap lagi mengenai individu, kita bercakap sebagai satu pasukan yang nak menang. Yang penting, pastikan kemenangan BN," katanya.

Katanya lagi beliau telah mula berkempen dan dari segi sambutan orang ramai termasuk dari kaum India dan Cina terhadap BN setakat ini adalah baik dan menggalakkan.

"Semangat ahli-ahli parti tinggi manakala 'respond' masyarakat pun nampak begitu baik. Isu pun tidak susah sangat.....cuma isu lama yang dibangkitkan. Ini merupakan satu taktik pembangkang untuk meraih simpati. Saya harap rakyat jangan terkeliru dan mudah percaya dengan apa yang diperkatakan pembangkang," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: