31 Ogo 2009

Era Najib Altantuya : Mood Rakyat Tolak BN

Pas tidak menganggap faktor utama yang menyebabkan parti itu mencapai kemenangan besar pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir disebabkan kelemahan calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman.

Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, pada pilihan raya kecil faktor calon tidak memainkan peranan utama dalam memenangkan parti yang bertanding.

“Kita akui calon BN lemah kerana mempunyai banyak isu berbangkit, tetapi dalam pilihan raya kecil, faktor calon hanya memainkan enam hingga 10 peratus sahaja dalam mempengaruhi pengundi.

“Apa yang berlaku di Permatang Pasir adalah sama seperti pilihan raya kecil terdahulu iaitu ‘mood’ rakyat masih menolak apa yang diperjuangkan oleh Barisan Nasional (BN), itu yang memenangkan Pas” katanya semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan penganalisis politik serta pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang mendedahkan faktor calon BN yang mempunyai banyak masalah penyebab utama Pas dapat mengekal kerusi tersebut dengan majoriti yang tinggi.

Rohaizat menimbulkan kontroversi apabila dikaitkan isu pembatalan lesen guamannya dan pendedahan daripada Pemuda Pas yang mendakwa beliau mempunyai dua isteri.

Abdul Halim berkata, UMNO akhirnya tetap ditolak rakyat Permatang Pasir sekalipun calon mereka dikenali bermoral dan amanah, kerana parti itu sendiri dikenali khalayak sebagai parti tiada sahsiah.

Sementara itu, Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua sependapat dengan Halim dan menggagap UMNO mengatur strategi salah di Permatang Pasir.

Menurutnya, isu yang dibawa UMNO pada pilihan raya kecil itu tidak melambangkan mereka mengamalkan 1Malaysia seperti dilaungkan Perdana Menteri.

Namun begitu, Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan menafikan bahawa BN kalah dalam lima pilihan raya kecil yang diadakan, sebaliknya menjelaskan parti itu hanya tewas di Kuala Terengganu.

Menurutnya, kepimpinan Pakatan Rakyat harus menyedari kerusi yang dipegang BN sebelum berlaku pilihan raya kecil hanya melibatkan Batang Ai dan Kuala Terengganu. -SH

Tiada ulasan: