21 Jul 2009

Era Najib Altantuya : Pemimpin PR Selar Media UMNO Tiup Api Perkauman

PAS memberi amaran kepada pemimpin-pemimpin Umno agar tidak 'Melayu'kan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub menegaskan, pemimpin Umno sepatutnya menjaga imej dan integriti SPRM dan polis bukannya menjadikan kedua-dua institusi tersebut kuda tunggangan mereka.

Beliau juga menegaskan, pemimpin Umno sepatutnya tidak menjadikan kematian misteri Teoh Beng Hock di pejabat SPRM Selangor sebagai isu perkauman kerana tidak kira Melayu, Cina atau India jika berlaku kematian ia melibatkan kehilangan nyawa rakyat Malaysia.

"Kita (PAS) beri amaran kepada pihak-pihak tertentu agar tidak 'Melayu'kan SPRM dan Polis dan jangan jadikan kematian Teoh sebagai isu perkauman.

"Pemimpin Umno dan BN sepatutnya menjaga imej dan integriti SPRM dan polis dan tidak menjadikan kedua institusi ini kuda tunggangan mereka," tegas Salahuddin.

Beliau seterusnya menegaskan, usaha beberapa pihak yang cuba menyalahkan pemimpin Pakatan Rakyat sebagai melemahkan orang Melayu bila menuntut keadilan di atas kematian Teoh, sebenarnya telah menjatuhkan maruah orang Melayu.

Lebih buruk lagi, tegas Salahuddin bila ada pihak yang cuba menjadikan isu ini sebagai isu perkauman.

Beliau menyifatkan usaha menjadikan kematian Teoh sebagai isu perkauman dengan tujuan membangkitkan kemarahan kaum Cina terhadap orang Melayu sebagai satu tindakan terdesak BN yang semakin hilang sokongan.

Umno-BN, tegas beliau masih lagi leka dengan budaya politik perkauman yang lapuk sedangkan rakyat sudah pun beralih ke politik baru yang tidak membezakan mana-mana kaum sebaliknya lebh mementingkan kesejahteraan seluruh rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

Sementara itu,Timbalan Presidan PKR, Syed Husin Ali telah melahirkan rasa terkejut dengan laporan akhbar arus perdana yang sengaja menukar isu kezaliman kematian Teoh Beng Hock, Setiausaha Politik Exco Kerajaan Selangor kepada isu perkauman.

Apa yang ditulis di dalam akhbar arus perdana tersebut nyata bersalahan dengan etika kewartawanan yang dengan sengaja menimbulkan sentimen yang berunsur hasutan dengan mempertikaikan kesedihan rakyat akan kematian Teoh Beng Hock yang berada di bawah pengawasan SPRM.

Pada 19 Julai lalu, Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Zainul Ariffin Mohammed Isa telah menulis kesimpulan bahawa seolah-olah Pakatan Rakyat telah menjadikan kesedihan kematian Teoh sebagai modal politik dan serangan orangramai adalah kemarahan orang bukan-Melayu terhadap institusi Melayu.

Dr Syed Husin menganggap ia sebagai satu tulisan yang tidak bertanggungjawab yang bertujuan meniup api perkauman, dalam usaha mereka untuk menutup isu kezaliman


Nizar Pegang Lilin : Timb Mufti Kedah Jawab

Perhimpunan menyalakan lilin sebagai memperingati si mati bukan amalan keagamaan dan hanya dianggap sebahagian budaya masyarakat bukan Islam.

Berikutan itu, orang Islam yang turut hadir pada perhimpunan seumpama itu, hanya sekadar memberi sokongan moral dan tidak salah di sisi agama.

Timbalan Mufti Negeri Kedah, Syeikh Marwazi Dziyauddin ketika diminta mengulas pembabitan orang Islam dalam perhimpunan nyalaan lilin, berikutan kematian kontroversi Setiausaha Politik ahli Exco Kerajaan Selangor, Teoh Beng Hock, menegaskan selagi tindakan itu bukan amalan agama tertentu, ia dibolehkan.

“Lilin bukannya alat keagamaan. Majlis memperingati yang diadakan itu pun tiada unsur-unsur keagamaan. Oleh itu, tidak salah sekiranya rakan-rakan Islam turut hadir memberi sokongan atau penghormatan terakhir,” katanya.

Syeikh Marwazi berkata, penyokong Islam yang hadir kemungkinan sekadar memberi sokongan politik, malah perhimpunan itu juga adalah berlandaskan fahaman politik, dan bukannya keagamaan.

“Mereka yang hadir juga tidak membuat sesuatu yang merujuk kepada perbuatan keagamaan, jika sekadar berdiri bersama lilin, tidak mengapa,” katanya.

Menurutnya, dalam kes ini, isu agama tidak timbul kerana kita hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama.

“Kehadiran orang Islam di situ hanyalah sebagai menyokong rakan-rakan mereka dalam politik sahaja, dan sekiranya boleh menimbulkan fitnah, eloklah sekiranya mengelak daripada hadir dalam perjumpaan seumpama itu,” katanya.

Malam kelmarin, satu perhimpunan memperingati kematian Beng Hock diadakan oleh pemimpin dan penyokong DAP di Simpang Kuala, di sini yang turut dihadiri pemimpin Kerajaan Negeri daripada Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). -SH


Era Najib Altantuya : Khalid Jawab Kenyataan Biadab Muhyiddin

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menolak dakwaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan Pakatan Rakyat Selangor cuba bermain wayang berhubung insiden yang menimpa Teoh.

“Orang mati kita tak main wayang, ini soal kematian seorang pemuda yang disoal siasat di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan ia adalah di bawah jagaan pencegah rasuah,”
katanya.

"Kita tak campur-adukkan dengan hal-hal lain, yang ini adalah satu tragedi. Seorang anak muda telah mati," tambahnya.

Tan Sri Khalid berkata demikian kepada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Kakitangan Awam di Dewan Jubli Perak, Shah Alam, pagi tadi.

Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Hwa telah hadir di Ibu Pejabat Polis Shah Alam untuk memberi keterangan berhubung laporan yang dibuat terhadap soalsiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jumaat lalu.

Tan yang ditemani peguamnya, Ivan Hock dan ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San tiba di Ibu Pejabat Polis Shah Alam kira-kira jam 8.50 malam, selepas beliau diarahkan untuk tampil membuat percakapan berhubung aduannya.

Tan adalah antara tiga lagi yang diminta memberi keterangan berhubung kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock yang ditemui di tingkat lima, dipercayai jatuh dari pejabat SPRM di tingkat 14, bangunan Plaza Masalam, Jumaat lalu.

Dua lagi yang diminta hadir memberi keterangan di ibu pejabat polis ialah Exco Pengurusan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Kota Alam Shah, M Manoharan.

Kedua-dua mereka didapati menghubungi Teoh sebelum bekas wartawan Sin Chiew Daily itu pergi ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan pada hari Khamis, kira-kira jam 5.15 petang .

Polis menemui telefon bimbit Teoh daripada seorang pegawai SPRM Selangor, minggu lalu.

Sehingga ini, polis telah mengambil keterangan daripada 33 saksi, termasuk 8 pegawai dan kakitangan SPRM, yang dipercayai dapat membantu siasatan.


Era Najib Altantuya : Pem Khas Exco P.Pinang Serah Memo Kepada SPRM

Kerana bimbangkan keselamatan mereka, Urusetia Pembantu-Pembantu Khas Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang sepakat untuk tidak memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga kerajaan menjamin keselamatan mereka.

Kesemua pembantu khas exco Pulau Pinang berkata mereka takut kejadian yang menimpa Teoh Beng Hock akan menimpa mereka juga, seraya mendesak penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kematian pembantu kepada Exco Kerajaan Selangor itu.

Bahkan, mereka hanya akan membantu siasatan jika mereka disoalsiasat di premis Kerajaan Negeri.

Ng Wei Aik, Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang menegaskan supaya jawatan mereka sebagai pembantu tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk digunakan.

"Ingin saya tegaskan disini bahawa pembantu-pembantu khas memang adalah tidak berdosa, mereka tidak harus dikambing hitamkan untuk dijadikan sasaran untuk mencipta untuk mereka dakwaan-dakwaan untuk mendapat bukti untuk mendakwa ahli-ahli exco atau menteri-menteri yang berkenaan. Jadi saya rasa bahawa SPRM hendaklah lebih profesional dalam menjalankan siasatan mereka".

Pulau Pinang adalah negeri kedua selepas Selangor mengambil pendirian ini. Sejurus selepas kematian Teoh, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mengarahkan semua pembantu khas Exco hanya dibenarkan disoal-siasat di premis Kerajaan Negeri.

Kesemua pembantu khas exco kerajaan negeri Pulau Pinang berkumpul di hadapan pejabat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Pulau Pinang bagi menyerahkan memorendum kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM Malaysia berhubung kematian Teoh yang menjadi tanda tanya sehingga kini.

Lebih 40 orang pembantu khas yang hadir melahirkan rasa kesal dan sedih mereka diatas kematian rakan sejawat mereka di negeri Selangor itu. Mereka juga mendesak kepada SPRM agar memberi penjelasan mengenai kematian Teoh.

Mereka juga menyuarakan sekiranya SPRM gagal memberikan penjelasan yang telus dan benar serta menyelindung mana-mana pihak berkepentingan dan tidak membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan, semua pembantu khas kepada Adun dan Exco kerajaan negeri tidak akan sesekali memberikan kerjasama kepada SPRM.

Sementara itu, Rezal Huzairi Md Zaki, Pembantu Khas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang menggesa supaya Suruhanjaya Diraja segera dibentuk bagi membantu menyelesaikan kemelut kematian mengejut Teoh Beng Hock.

"Pertama yang kita highlightkan adalah untuk supaya diwujudkan suruhanjaya bebas ataupun suruhanjaya diraja yang dapat memaklumkan kepada, boleh dikatakan semua yang hadir hari ini adalah pembantu khas agar apakah yang boleh di maklumkan kepada kami yang berkerja dibawah pembantu khas kepada semua ahli MMK tentang masa depan. Adakah perkara ini akan boleh berlaku lagi ataupun perkara ini berlaku disebabkan apa? Jadi itu sajalah yang kami semua pembantu-pembantu khas ingin tahu sendiri daripada pihak SPRM tentang kejadian yang berlaku kepada sahabat kami juga yang berada di Selangor".

Teh Lai Heng, Pengerusi Persatuan Pembantu Khas Kerajaan Pulau Pinang juga turut melahirkan rasa sedih di atas kematian Teoh.

"Pertama sekali kami amat sedih dan dan kesal dengan kematian mendiang saudara Teoh Beng Hock . Beliau sebagai seorang Setiausaha Politik kepada YB Exco Selangor, Yang Berhormat Au Yong Heng Hua. Sepatutnya sebagai pembantu khas kita cuma menjalankan kerja. Saya ingat SPRM tidak patut dengan cara-cara siasatan dan saudara Teoh juga tak tau mengapa boleh mati di banggunan tersebut, so saya harap SPRM akan memberi kita satu kebenaran dan kepada semua orang especially family members dia. So bagaimana saudara Teoh boleh jatuh daripada bangunan SPRM Selangor, kita nak tau siasatan yang terperinci". -TVA


20 Jul 2009

Era Najib Altantuya : Perginya Seorang Anak Muda Bernama Teoh

Rribuan orang termasuk beberapa pemimpin Pakatan Rakyat memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Teoh Beng Hock, setiausaha politik kepada seorang Exco Selangor di Taman Seri Kelemak, di sini pada hari Isnin.

Upacara bermula jam 9.45 pagi dan keranda mendiang Teoh dijangka dibawa dari rumahnya di Taman Sri Kelamak kira-kira jam 11 pagi, untuk dikebumikan di taman peringatan Nirvana di Semenyih.

Turut hadir ialah tunang mendiang, Soh Sher Wei dan anggota dan pemimpin Pakatan Rakyat.

Suasana cukup sayu dengan kain-akin rentang di pasang di sekitar rumah mendiang yang menuntut keadilan terhadap kematian Teoh Khamis lalu, selepas disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salahguna peruntukan DUN di Selangor.

Semua pemimpin utama Pakatan memberi penghormatan terakhir pada jam 10.18 pagi, diikuti oleh exco kerajaan negeri Melaka dari MCA, Datuk Gan Tian Loo.

Kira-kira About 10 anggota polis berada di situ untuk memantau keadaan dan mengawal lalulintas.

Ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok mewakili DAP membaca ucapan takziah dari parti tersebut.

Antara yang hadir ialah wakil daripada beberapa persatuan dan pertubuhan Cina, dan anggota Pakatan Rakyat.

Perarakan pengkebumian tersebut bermula jam 10.45 pagi. Orang ramai mengiringi kenderaan yang membawa keranda mendiang yang dihiasi ikatan kain merah sebagai tanda kematiannya secara mengejut.

Anggota keluarga dan pemimpin Pakatan dan para penyokongnya berjalan kali mengiringi keranda tersebut sejauh kira-kira 1km.

Poster berwarna hitam putih dan foto Teoh dibawa oleh orang ramai, dengan tulisan 'jangan biarkan Beng Hock mati sia-sia'.

satu kain rentang besar dari PKR, dibawa di hadapan kenderaan yang membawa keranda Teoh, bertulis "Keadilan untuk Beng Hock".

kain rentang yang lain dalam tulisan Cina berbunyi 'kehadilan untuk Beng Hock' dan 'Rakyat mahu jawapan'.

Pada jam 11.05 pagi, perarakan itu berakhir dan ramai yang menaiki kenderaan untuk meneruskan perjalanan ke taman peringatan Nirvana di Semenyeh, tempat Teoh disemadikan.

Konvoi tersebut tiba di pekan Semenyeh pada jam 12.50 tenghari, di mana orang ramai menunggu sambil membawa kain rentang dan bunga..

Teoh, 30 ditemui mati di koridor luar tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam, yang turut menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Tingkat 14 pada Khamis lepas.

Beliau merupakan seorang saksi utama yang dipanggil untuk membantu siasatan SPRM berhubung kes salah guna peruntukan kerajaan negeri Selangor.

Sementara itu, Anwar ketika ditemui pemberita berkata beliau mahukan perubahan tatacara dan etika pihak berkuasa seperti SPRM dan Polis dalam mengendalikan kes siasatan terhadap saksi.

"SPRM dan polis terutama Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Ahmad Said Hamdan harus dipertanggungjawabkan kerana beberapa pelanggaran peraturan yang telah menyebabkan satu kematian," katanya.


Tatkala Negara Bincangkan Isu kezaliman UMNO, Ketua Pemuda PAS Sibuk Dengan Wacananya

Tatkala negara sedang sibuk dengan isu kezaliman UMNO BN yang mengatur strategi untuk merampas kuasa di negeri-negeri Pakatan Rakyat menggunakan SPRM dan lain-lain agensi, Ketua Pemuda PAS pula sibuk dengan wacana ilmiahnya yang pernah diutarakan sebelum pilihanraya Manek Urai.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi di dalam satu berita yang disiarkan oleh MSTAR menyatakan beliau yakin pertemuan pertama wacana ilmiah dengan Pemuda Umno pusat dapat diadakan sebelum bulan Ramadan hujung Ogos ini.

Kata Nasrudin, sekurang-kurangnya pertemuan pertama dapat diadakan bulan depan.

"Ya, sebelum bulan puasa bermula," kata beliau ketika dihubungi di sini.

Sehubungan itu kata Nasrudin, Dewan Pemuda PAS akan mengadakan mesyuarat selepas 26 Julai ini untuk membentuk jawatankuasa teknikal ke arah merealisasikan wacana membabitkan Pemuda PAS dan Umno.

Banyak pihak terkejut dengan sikap Ketua Pemuda PAS ini dan ia seolah-olah memberikan Pemuda UMNO satu talian hayat setelah UMNO sendiri menerima kritikan hebat dari rakyat ekoran kes kematian Teoh Beng Hock di bangunan SPRM kelmarin.

Hal ini mengingatkan kita akan hal yang serupa mengenai kenyataan Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dengan kenyataannya yang tersiar di dalam Berita Harian sehari sebelum pilihanraya Manek Urai berlansung dimana beliau telah menyatakan walaupun mungkin sukar untuk melaksanakan Kerajaan Perpaduan, beliau yakin matlamat untuk menyatukan Pas dan Umno boleh dicapai.

Kenyataan Pengerusi Lembaga Disiplin Parti, Tuan Ibrahim Tuan Mat yang sebelum ini mengeluarkan arahan keras menghalang ahli-ahli PAS berbicara mengenai Kerajaan Perpaduan nampaknya hanya sah kepada pihak yang menentang Kerajaan Perpaduan, tetapi sebaliknya memberikan ruang seluas-luasnya kepada pihak yang menyokong isu tersebut tanpa dikenakan apa-apa tindakan.

Tuan Ibrahim telah mengeluarkan arahan tersebut setelah tulisan YB Dr Dzulkefli Ahmad yang telah menjelaskan dari sudut ilmiah menjelaskan kenapa Kerajaan Perpaduan tersebut perlu ditentang tersiar di dalam Harakah yang kemudiannya telah dikeluarkan diatas arahan pihak atasan parti sehinggakan berpuluh ribu naskah Harakah terpaksa diulangcetak lantarannya.

Malah harakahdaily sendiri telah mengeluarkan dan mencedok tulisan-tulisan yang seolah-olah "bergembira" PAS menang tipis di Kelantan.


Era Najib Altantuya : Akhbar Filipina - Konspirasi Politik UMNO-SPRM Untuk Jatuhkan PR

Teoh Beng Hock telah "dikasari dan diugut" oleh pegawai penyiasat SPRM dalam sesi soal siasat yang berlanjutan sehingga 10 jam sebelum beliau dijumpai mati, sebuah akhbar Filipina melaporkan dengan memetik sumber-sumber yang rapat dengan SPRM.

Menurut laporan Philippine Inquirer, soal-siasat ke atas Beng Hock adalah sebahagian daripada konspirasi politik untuk menjatuhkan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat atas tuduhan kononnya mereka menyalahgunakan dana.

"Apabila beliau (Teoh) enggan berbuat demikian (bekerjasama), pegawai-pegawai berkenaan mengheretnya ke tingkap di bangunan 14 tingkat berkenaan dan mengugut akan mencampak beliau keluar," kata sumber berkenaan yang tidak diberi kebenaran untuk bercakap kepada media.

Beng Huat sepatutnya dijadualkan akan berkahwin pada hari mayatnya ditemui.
Tunang beliau sedang mengandung anak pertama mereka dan berikrar akan memelihara bayi terbabit sebagai simbol kasih sayangnya terhadap Beng Huat.

Pegawai-pegawai SPRM pula mendakwa Teoh bukanlah suspek tetapi enggan menjawab soalan mengapa beliau disoalsiasat bermula dari lewat petang hingga awal pagi keesokannya dan mengapa peguamnya tidak dibenarkan turut serta.

Menurut akhbar itu, seorang lagi ahli pembangkang Tan Boon Hwa memberi keterangan beliau dikenakan tekanan mental dan fizikal ketika disoal-siasat oleh SPRM bersama-sama Beng Hock, tetapi di bilik berasingan.

Boon Hwa dipaksa berdiri selama empat jam oleh pegawai SPRM yang mengugut akan mencederakannya.

"Mereka berulangkali memanggil saya Cina bodoh. Mereka berkata jika saya tidak "bercakap benar", isteri saya akan diculik dan tiada siapa yang akan menjaga anak-anak saya, namun saya enggan mengalah," kata Tan lagi.

Ramon Navaratham, penasihat kepada SPRM mengakui bahawa "tiada manusia biasa boleh manahan taktik soal-siasat SPRM yang menggunakan taktik tekanan mental dan fizikal" dan menggesa agensi itu mengkaji semula prosedur siasatannya.

"Kematian Teoh adalah satu tragedi dan tidak sepatutnya berlaku," katanya lagi.

Kerajaan BN di bawah pimpinan UMNO berjanji akan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kematian Teoh, namun segelintir sahaja yang mempercayai jaminan tersebut.

Ahli Parlimen DAP, Liew Chin Tong, berkata kematian Teoh mendedahkan "elemen jahat kerajaan BN pimpinan Umno".

"Dalam cubaan (BN) untuk mengaitkan wakil rakyat pembangkang dengan rasuah supaya ini akan membuka jalan kepada satu lagi rampasan kuasa, SPRM sudah mula membunuh generasi muda kita.

"Kini, menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan Malaysia bebas daripada pemerintahan kejam BN dan keadilan ditegakkan di negara kita yang tercinta,"
tambahnya lagi.


Era Najib Altantuya : Gerakan, MCA dan MIC Turut Desak Tubuh Suruhanjaya Bebas Siasat Kematian Teoh

Tiada alasan lagi untuk UMNO BN mengelak daripada menubuhkan Suruhanjaya Bebas bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock.

Jika sebelum ini Presiden Gerakan yang juga Menteri di Jabatan perdana Menteri, Datuk Dr Koh Tsu Koon menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya bebas berkenaan, pada hari ini MCA turut mahu kerajaan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja bagi memastikan siasatan kes kematian setiausaha politik Exco kerajaan negeri Selangor, Teoh Beng Hock dibuat secara telus, profesional dan tidak diragui rakyat.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Ir Wong Foon Meng berkata MCA akan membawa saranan itu kepada kerajaan dan kepimpinan tertinggi negara tidak lama lagi

Sehubungan itu, Wong yang juga Yang Dipertua Dewan Negara yang baru berkata, usul itu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet yang akan datang dan mungkin akan dimaklumkan kepada kepimpinan negara lebih awal lagi.

"Kita memahami apa yang berlaku di atas mendiang Beng Hock dan kita berpendapat kematiannya perlu disiasat dengan cara yang sebaik mungkin, setelus mungkin.

"Sehubungan itu, MCA beranggapan adalah lebih baik kes ini disiasat oleh satu suruhanjaya penyiasatan khas yang boleh diterima semua," katanya pada sidang media di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini, hari ini. Wong sebelum itu menerima kunjungan Duta Besar Perancis ke Malaysia Marc Barety dan diikuti Duta Besar Korea Utara, Pak Ryong Yun.

Mayat Teoh, 30, ditemui di koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor Khamis lepas, dipercayai akibat terjatuh dari bangunan yang turut menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Teoh adalah seorang daripada beberapa saksi dalam siasatan SPRM berhubung dakwaan salah guna peruntukan exco kerajaan negeri Selangor.

Semalam, Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat juga berkata empat wakil parti itu dalam Kabinet akan mendesak bagi penubuhan suruhanjaya itu.

Sementara itu, MIC akan menyokong gesaan MCA bagi penubuhan suruhanjaya itu, kata presiden parti Datuk Seri S. Samy Vellu.

Katanya wakil MIC dalam Kabinet, Datuk Dr S.Subramaniam, yang juga Menteri Sumber Manusia, akan diminta menyokong cadangan MCA itu pada mesyuarat Kabinet akan datang.

"Kami akan menyokong cadangan itu kerana kami mahu keadilan dilaksanakan," katanya dalam kenyataan di sini.

Samy Vellu turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Teoh.

"Ia kejadian yang amat malang dan kami berharap melalui penubuhan suruhanjaya itu, kebenaran akan terbukti," katanya dan menurutnya semua pihak perlu berhenti menunding jari kepada mana-mana pihak sehingga penyiasatan polis selesai.

Sementara itu, Dr. Subramaniam berkata beliau akan melaksanakan arahan persiden parti.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini berkata Kabinet akan membincangkan penubuhan suruhanjaya itu pada mesyuaratnya akan datang manakala polis akan meneruskan siasatan mereka.

Tengku Temenggong Saman Manohara Dan Ibu Mertua RM105 juta

Bekas model, Manohara Odelia Pinot dan ibunya kini menggalas beban di bahu masing-masing apabila Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Ismail Petra hari ini secara rasmi memfailkan saman untuk menuntut ganti rugi berjumlah RM105 juta kerana didakwa memfitnah baginda.

Writ saman tersebut difailkan oleh peguam Mohd. Haaziq Pillay hari ini di kaunter pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil di sini.

Dalam tindakan saman itu, Tengku Muhammad Fakhry, 31, selaku plaintif menamakan ibu mertuanya, Daisy Fajarina dan Manohara, 17, selaku defendan pertama dan kedua.

Pasangan tersebut telah berkahwin pada 26 Ogos 2008 sebelum kembali ke Indonesia sembilan kemudian, secara mendadak tanpa sebarang kebenaran dan di luar pengetahuan suaminya.

Di Indonesia, plaintif mendakwa, defendan pertama dan kedua telah membuat beberapa siri sidang akhbar yang didakwa telah memfitnah dan memburukkan nama baik dan reputasi baginda.

Plaintif mendakwa antara bulan April sehingga bulan Jun lalu, defendan pertama telah secara palsu dan niat jahat melafazkan perkataan-perkataan yang bersifat umpatan (slander), sindiran yang tidak benar dan tidak berasas.

Perkataan-perkataan fitnah tersebut yang diterbitkan semula kata demi kata adalah sebahagian daripada perkataan-perkataan defendan pertama dalam media elektronik antaranya, AFP, Jakarta Globe, The Star, Malay Mail, Kosmo dan Online di Malaysia dan Indonesia serta penerbitan antarabangsa lain.

Dakwa plaintif, perkataan fitnah telah mengakibatkan kerosakan maksimum ke atas reputasi baginda di mata rakyat jelata, secara nasional dan antarabangsa.

Defendan pertama dan kedua dakwa plaintif, tidak memberikan sebarang peluang untuk baginda membuat komen atau menjawab tuduhan yang dibuat sebelum menyebutkan perkataan fitnah tersebut.

Plaintif juga mendakwa keseriusan perkataan-perkataan fitnah tersebut, telah menyebabkan perasaan sedih dan menimbulkan perasaan aib yang keterlaluan, merendahkan martabat baginda dan keluarga serta mencemarkan nama baik terutamanya di kalangan kerabat di raja dan masyarakat.

Akibat tohmahan yang sebegitu rupa, plaintif terpaksa mengambil tindakan undang-undang untuk membersihkan nama baik baginda yang telah tercemar.

Plaintif sehubungan itu menuntut ganti rugi teruk, am dan teladan masing-masing berjumlah RM35 juta bagi setiap kategori ganti rugi tersebut.

Selain itu, plaintif turut memohon perintah injunksi bagi menghalang defendan pertama dan kedua sama ada secara sendiri atau melalui pekerja-pekerja mereka daripada terus menyebut perkataan-perkataan yang serupa yang memfitnah beliau.

Plaintif turut menuntut faedah pada kadar lapan peratus setahun atas jumlah ganti rugi dari tarikh penghakiman sehingga tarikh penyelesaian penuh, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.


Era Najib Altantuya : DAP Akan Saman SPRM

DAP akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat berhubung kematian setiausaha politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, SPRM perlu bertanggungjawab terhadap kematian Beng Hock dan tidak boleh mengeluarkan kenyataan bahawa ketika ditemui mati, Teoh tidak lagi berada dalam pengawasan SPRM.

Beliau berkata, pejabat SPRM adalah sebuah bangunan keselamatan yang dikawal dan tidak boleh untuk melakukan urusan masuk dan keluar ke pejabat itu sesuka hati.

“Hanya pegawai SPRM yang mempunyai akses menerusi kad mereka untuk masuk dan keluar pintu pejabat berkenaan.

“SPRM mempunyai tanggungjawab keselamatan (terhadap Teoh) dan tidak boleh dinafikan Beng Hockk ditemui dalam kawasan bangunan SPRM,” katanya kepada pemberita selepas membuat kunjungan hormat kepada keluarga Beng Hock di Taman Seri Kelemak di sini, semalam.

Akhbar kelmarin melaporkan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Ahmad Said Hamdan yang menyatakan Beng Hock sewaktu ditemui mati tidak lagi berada dalam pengawasan SPRM dan atas sebab itu kematian Teoh tidak harus dipersalahkan kepada SPRM.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut mempersoalkan katiadaan CCTV di pejabat SPRM atas alasan ketiadaan wang.

Sementara itu, keluarga mendiang mahu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuh menyiasat kematiannya.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Dr Oh Ei Sun berkata, ada permintaan daripada keluarga Beng Hock supaya menyampaikan hasrat mereka itu bagi penubuhan Suruhanjaya Diraja kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Jawapan saya ialah mereka (keluarga itu) akan mengetahui keputusannya pada mesyuarat Kabinet Rabu ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan takziah Perdana Menteri kepada keluarga Teoh di Taman Seri Kelemak di sini petang semalam.

Ei Sun bagaimanapun berkata beliau akan menyampaikan permintaan keluarga Teoh itu kepada Najib.

Seorang jurucakap keluarga itu berkata, mendiang Beng Hock akan dikebumikan di Semenyih, Selangor, hari ini.


Era Najib Altantuya : PDRM Sama Dengan SPRM, Tubuh Suruhanjaya Bebas Segera!

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato' Paduka Husam Musa menegaskan bahawa Suruhanjaya Diraja perlu ditubuhkan dengan segera kerana institusi lain seperti polis dan SPRM sudah lagi tidak boleh dipercayai.

Beliau yang tidak bersetuju dengan pihak polis sendiri yang menyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam isu berhubung dengan kematian pembantu exco kerajaan negeri selangor, Teo Beng Hock baru-baru ini ketika dalam tahanan siasatan SPRM.

"Kita tidak bersetuju polis menyiasat SPRM keranan sendiri buat salah dan sendiri siasat, sampai bila kita tidak akan jumpa jalan penyelesaiannya, polis dan SPRM adalah sama sahaja," tegas beliau.

Tambah beliau, pihak polis dan SPRM adalah sama sahaja bahkan polis kadang kala lebih buruk dari SPRM dan SPRM lebih buruk dari polis.

Beliau memberi contoh kes Kugan yang mati dalam tahanan polis sehingga sekarang tiada sebarang pembelaan.

"Apa jaminan polis siasat SPRM, mereka akan dakwa pembunuh Teo Beng Hock, tidak ada jaminan sama sekali.

"Kita tidak boleh mempercayai sesiapa sahaja, tidak kira polis, ketua hakim, SPRM hatta Perdana Menteri itu sendiri. Kami tidak menaruh kepercayaan kepada pihak-pihak ini.

"Kerana itu, kita minta satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan dengan segera supaya kita boleh menyiasat keseluruhan episod ini," katanya.

Sementara itu, beliau menyifatkan anak muda ini sebagai hero Pakatan Rakyat kerana menyekat niat jahat BN mahu merampas Selangor dan usaha yang dilakukan oleh teo patut dihargai.

"Kita mesti memperjuangkan keadilan kepada hero kita ini dan keadilan yang kita tuntut ialah dalam masa sekarang ini," katanya sambil menyifatkan kematian Teo Beng Hock dan keluarganya adalah hero Pakatan Rakyat.

Katanya, dengan berlaku kematian Teo, usaha Barisan Nasional (BN) untuk menjatuh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor seperti yang pernah dilakukan untuk menjatuhkan kerajaan Perak menemui jalan kegagalan.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Himpuanan Soldariti 'Keadilan Untuk Teo Beng Hock' yang diadakan di Stadium Kelana Jaya dekat sini semalam yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Selangor.

Hadir sama dalam Himpunan Solidariti itu ialah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Lim Kit Siang dan semua Adun dan ahli exco kerajaan negeri Selangor.

Lebih 3,000 orang hadir memeriahkan solidariti ini dan diakhir perhimpuanan ini, ada pengunjung betindak membakar akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Tindakan ini berhubungan dengan kenyataan dalam akhbar tersebut mengenai kematian Teoh adalah berkenaan dengan isu perkauman.

Berkaitan dengan isu ini, Husam berkata, menurut Pengerusi SPRM, Ahmad Said Hamdan patut sedar bahawa isu kematian pembantu exco adalah bukan isu perkauman.

"Dia harus tahu bahawa Beng Hock adalah sama nilai nyawanya dengan nyawa orang melayu. Pedulikan melayu, cina dan india.

"Kita adalah anak bangsa Malaysia. Apabila salah seorang dibunuh kita wajib menuntut bela di sisi agama Islam," katanya sambil diiringi dengan tepukan yang gemuruh dari hadirin. -harakahdaily



Era Najib Altantuya : Polis Perbesarkan Hal Ahli PR Enggan Beri Keterangan

Dalam satu perkembangan yang memeranjatkan banyak pihak, pihak polis hari ini telah cuba untuk menunjukkan keengganan beberapa pihak di dalam Pakatan Rakyat kononnya enggan memberi kerjasama di dalam siasatan mereka terhadap kematian Teoh Beng Hock.

Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Booh Wah menolak permintaan untuk memberikan kenyataannya kepada polis yang kini sedang menyiasat kes kematian Setiausaha Politik Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata polis juga telah mengeluarkan saman terhadap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Perumahan dan Penyelesaian Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan untuk hadir memberikan keterangan berhubung kes tersebut.

Teoh yang merupakan seorang bekas wartawan adalah setiausaha politik kepada Ean Yong.

"Kita sudah menghubungi Tan tetapi beliau menolak, jika beliau menolak untuk tampil ke hadapan, kita terpaksa menyamannya di bawah Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah," katanya kepada media selepas memberikan taklimat kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengenai perkembangan kes berkenaan.

Siasatan awal mendapati Teoh Beng Hock sudah meninggal dunia empat atau lima jam sebelum mayatnya ditemui dekat pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor pukul 1.30 tengah hari Khamis lalu, kata ketua polis negeri.

Menjawab soalan kemungkinan setiausaha politik seorang exco kerajaan Selangor itu jatuh dari Tingkat 14, yang menempatkan pejabat SPRM itu, Datuk Khalid Abu Bakar berkata: "kemungkinan besar."

Ditanya mengenai barang-barang yang diambil dari pejabat SPRM itu semalam, Khalid berkata, polis melihat semula tempat kejadian dan apa yang tertinggal pada hari pertama kejadian.

Petang semalam, polis mengambil beberapa dokumen dan selak tingkap di Tingkat 14 bagi membantu siasatan kematian Teoh yang menimbulkan pelbagai pertanyaan.

Dalam sidang media bersama Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan di ibu pejabat polis negeri di Shah Alam hari ini, Khalid berkata, rakaman CCTV menunjukkan setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah memasuki bangunan itu jam 5.15 petang Rabu.

Bagaimanapun tiada rekod Teoh keluar keesokannya selepas dilaporkan selesai siasatan jam 3.45 pagi Khamis.

Khalid juga berkata, polis sudah mendapat telefon bimbit Teoh daripada seorang pegawai penyiasat SPRM.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut berkenaan rekod telefon tersebut kerana masih dalam siasatan polis.

Musa, dalam sidang itu, berkata polis setakat ini telah berjaya menyiasat 60 peratus kes kematian tersebut.

Banyak pihak mempersoalkan tindakan Ketua Polis Kuala Lumpur berkenaan yang mana sepatutnya mereka melakukan siasatan serapi-rapinya ke atas pegawai-pegawai SPRM yang menyoalsiasat Teoh Beng Hock sampai ke pagi, tetapi sebaliknya majikan dan mereka yang tidak terlibat yang hendak disoal-siasat.



Era Najib Altantuya : Bila Pengerusi SPRM Mula Bersuara

Tiba-tiba hari ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta semua pihak berhenti menuding jari kepada agensi itu sebagai punca kematian setiausaha politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock, kerana siasatan berhubung kejadian itu masih dijalankan.

Ketua Pesuruhjayanya Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata sejak insiden itu dilaporkan, banyak pihak telah mengeluarkan pelbagai kenyataan dan komen hingga menimbulkan spekulasi dan mengganggu siasatan yang dijalankan.

"Biarlah polis siasat dan selesaikan dahulu kes ini. Janganlah keruhkan keadaan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sedang yang pertama kali membuat kenyataan mengenai kematian Teoh Beng Hock adalah Pengarah Siasatan SPRM Datuk Shukri Abdull sendiri yang berkata mayat ditemui jam 1.30 tengah hari ini. Ditanya sewaktu itu bagaimana mendiang ditemui, beliau berkata seorang pegawai suruhanjaya ke tempat kejadian selepas mendengar jeritan seseorang (dipercayai tukang cuci bangunan tersebut) tentang mayat itu.

Menurutnya lagi, siasatan terhadap Teo - sebagai saksi kes - selesai kira-kira 3.45 pagi tadi tetapi dilihat masih berada di bangunan tersebut sekitar jam 6 pagi.SPRM tidak jelas sama ada beliau mati akibat terjatuh atau terjun dari bangunan tersebut.

Teoh, 30, ditemui mati di koridor luar tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam, yang turut menempatkan pejabat SPRM Selangor di Tingkat 14, pada 1.30 tengah hari Khamis lepas.

Teoh, yang merupakan setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah, merupakan seorang daripada saksi dalam siasatan SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan negeri baru-baru ini.

Oleh kerana Datuk Shukri hanya mengutara dua kemungkinan iaitu "terjatuh atau terjun" maka itulah sebabnya ia menimbulkan kemarahan rakyat kerana ia samasekali tidak dapat diterima oleh rakyat berdasarkan keadaan mayat yang ditemui yang tidak menunjukkan sebarang kecederaan fizikal yang sepatutnya ada jika Teoh terjatuh atau terjun dari tingkat 14 ke tingkat 5.

Ahmad Said berkata lagi kes penyalahgunaan peruntukan negeri yang disiasat SPRM itu hanyalah kes biasa dan bukannya kes besar sehingga boleh menimbulkan kematian.

"Bukan kerja kami hendak siasat sampai buat (kematian) macam itu sekali...kes biasa sahaja," katanya.

Ahmad Said berkata laporan sesetengah media didapati cuba mengeruhkan keadaan dan mewujudkan perselisihan faham dan tanggapan bahawa SPRM punca kematian Teoh.

"Jangan cuba wujudkan perselisian faham dan sensitiviti kaum...saya pun secara peribadi hendak tahu juga apa yang berlaku sebenarnya," katanya.

Jika anda sendiri menyatakan ia kes kecil, mengapa perlu kepada interogasi dan intimidasi para pegawai SPRM terhadap mangsa sehingga ke pagi?


Era Najib Altantuya : Nyalaan Lilin - Bila Kejahilan Berkurung Di Kepala Seorang Prof. Zuhdi

Ekoran dari kematian secara misteri yang menggemparkan seluruh negara ke atas Setiausaha Politik kepada Exco Kerajaan Selangor di Bangunan SPRM Selangor, dan membawa kepada beberapa sidang media dan perhimpunan yang diadakan diseluruh negara termasuklah yang telah dianjurkan olah Pakatan Rakyat Negeri Perak yang dihadari oleh DS. Muhammad Nizar Jamaluddin dan saya sendiri..

Isu yang sedang dibicarakan ialah mengenai tindakan kami berada dalam majlis yang kononnya memperingati kematian Teoh Beng Hock dan memegang lilin dan dikaitkan dengan tindakan kami yang kononnya bercanggah dengan ajaran Islam.

Berkebetulan sebagai seorang Cina Islam saya rasa terpanggil untuk menjawab isu tersebutAkhbar Sinar Harian edisi pada hari ini pada perenggan pertama, kedua dan ketiga menyiarkan kenyataan seperti berikut :-

"Tindakan Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin memegang lilin semasa menyertai majlis berkabung bagi memperingati kematian Teoh Beng Hock baru-baru ini, adalah luar budaya Islam

Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Ab. Majid berkata, sebagai pemimpin beragama Islam, Nizar tidak sepatutunya memegang lilin pada acara keagamaan itu, perbuatannya akan mempengaruhi masyarakat Islam kerana beliau adalah seorang pemimpin dan wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat.

Kita bimbang soal haram atau halal diketepikan semata-mata mahu mengejar kepentingan politik parti tertentu didalam negara ini" Katanya kepada Sinar Harian semalam"

Berikutan dengan itu saya suka untuk mengeluarkan beberapa kenyataan seperti berikut :-

1. Saya menafikan bahawa gambar dan majlis yang didakwa sebagai majlis berkabung bagi memperingati kematian Teoh Beng Huat seperti didakwa pihak diatas. Gambar tersebut dan upucara menyalakan lilin adalah semasa sesi Sidang Media pada jam 11.00pagi 17 July , bertempat di wisma DAP Ipoh. Sidang Media tersebut dianjurkan oleh Skretariat Pakatan Rakyat yang dihadiri oleh sekitar 20 ADUN PR dan pimpinan tertinggi parti.

2. Memegang lilin dan Colok bagi orang cina adalah budaya nenek moyang yang sudah turun temurun diamalkan. Kebetulan saya adalah bekas penganut agama Buddha selama 22 tahun sebelum memeluk Islam, saya ingin jelaskan bahawa menyalakan lilin adalah budaya yang diamalkan oleh bangsa kami turun temurun malah ia menjadi amalan kepada penganut Islam di negara China. Sebab itulah jika kita berkunjung dimana-mana mesjid di China kita pasti akan dapat membeli colok yang dijual dimesjid.

Semasa sembahyang hari raya puasa atau haji, jangan terkejut bila kita menyaksikan kumpulan Imam dan Persatuan Islam serta AJK Mesjid berbaris masuk ke dalam mesjid dengan memegang colok yang dinyalakan sambil mengalunkan takbir hari raya, dan sebelum melangkah masuh ke dewan sembahyang colok itu ditinggalkan diluar (saya ada koleksi gambar mengenai upucara ini).

3. Kami sama-sama memegang lilin sebagai menghormati acara selingan yang diadakan dalam sidang media itu dan bukannya bertafakkur seperti yang diminta. Sebelum ini sudah sekian banyak teman bukan muslim yang menghormati upucara membaca doa dan pelbagai majlis.

4. Saya mempersoalkan kenapa perkara ini diperbesarkan termasuk oleh Bapak Prof kita yang nampaknya berat sebelah dalam menilai perlakukan oleh pemimpin Pakatan Rakyat. kenapakah pokok persoalan asal yang lebih besar yakni tindakan menghilangkan nyawa yang merupakan hak Allah tidak dipersoalkan. Sepatutnya soal itu didahulukan dalam perkara ini.

5. Saya takut nanti pihak berkenaan nampak berani berkokok dalam masa lain melibatkan pemimpin UMNO senyap dan, "punggung penuh dengan najis".

6. Banyak lagi tindakan dan perlakukan pemimpin UMNO yang mengaku beragama Islam wajib ditegur olweh Bapak Prof. Kenapa hanya berdiam diri. Paling besar dalam persoalan upucara di Tugu negara yang telah difatwakan.

7. Saya berharap penjelasan ini meredakan suasana resah yang segaja menimbulkan firnah kepada kami serta tidak mustahil mengelirukan ahli PAS dan penyokong pakatan Rakyat.

Allahu Aklam....

Kenyataan media pada 20 July 2009

Drs.Khalil Idham Lim,
ADUN Titi Serong/
Ketua Penerangan PAS Perak

Kematian Teoh, Najib Altantuya Harus Dipertanggungjawabkan

Hari ini di Alor Gajah, ribuan manusia berhimpun atas di pengkebumian Teoh Beng Hock, membawa bersama mereka sepanduk "Keadilan untuk Beng Hock, Jawapan untuk Rakyat".

Semasa upacara dijalankan, tunang Teoh, Soh Sher Wei, memanggil Teoh supaya kembali ke pangkuannya. Lelaki, perempuan, tua dan muda menitiskan air mata hari ini, begitu juga pimpinan Pakatan Rakyat.

Bermula seawal 9.45 pagi lagi, lebih 2,000 orang mengarak jenayah yang dihiaskan dengan ikatan merah, tanda kematian mengejut.

Teoh ditemui maut kerana terjatuh dari tingkat 14 ibupejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disoalsiasat semalaman.

Setiap seorang hadirin memegang poster hitam-putih Teoh, yang memaparkan tulisan "Jangan Biarkan Beng Hock Mati Sia-Sia"Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yang turun memberi penghormatan terakahir menyeru kerajaan supaya tidak berdolak-dalik dan bertanggungjawab keatas kematian Teoh.

"Tindakan tegas mesti diambil oleh Polis dan Ketua Polis Negara Musa Hassan.

Pengerusi SPRM Tan Sri Abdul Aziz mesti dipertanggungjawabkan," kata Anwar.

"Kita lihat perlanggaran peraturan, penderaaan rakyat, dimana SPRM diperalatkan oleh penguasa. Kita harus ambil tindakan yang tegas. Ini membabitkan kematian, tidak termasuk kezaliman-kezaliman lain. Najib mesti dipertanggungjawabkan," tambah Anwar.

Pada 11.05 pagi, upacara tamat dan mereka beransur menuju ke Taman Peringatan Nirvana di Semenyih, dimana mayat akan dikebumikan. -TVA