2 Mac 2012

PAS Persoal Kementerian Belia Taja Program Hassan Ali

Mahfuz dakwa kementerian biaya program Hasan Ali

Naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar hari ini menuntut supaya satu audit penuh dijalankan ke atas satu unit strategik di Kementerian Belia dan Sukan yang didakwa telah menyediakan sejumlah dana untuk membiaya program bekas ahli PAS Datuk Hasan Ali.

Mahfuz mendakwa, jumlah sebanyak RM30 juta untuk unit strategik "seperti cawangan Umno" itu telah dikumpul daripada unit lain di kementerian berkenaan.

Mahfuz juga mendakwa, unit berkenaan akan membantu membiayai aktiviti berkenaan untuk menarik belia supaya menyokong Umno dan BN.

Beliau turut mendakwa bahawa keseluruhan dana RM30 juta itu, atau sekurang-kurangnya sebagian daripadanya telah diperuntukkan bagi tujuan itu. -mk

PAS dakwa kementerian belia seleweng duit untuk politik

KUALA LUMPUR, 2 Mac: PAS menuntut Kementerian Belia dan Sukan menjelaskan kewujudan Cawangan Strategik dan Urat Saraf di bawah kementerian itu yang didakwa digunakan untuk tujuan pilihan raya.

Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, kewujudan cawangan itu sangat diragui ketelusannya lebih-lebih lagi ia tidak mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Menurutnya, cawangan tersebut tiada organisasi khusus, malah peruntukannya diambil daripada bahagian lain dalam kementerian.

"Banyak peruntukan di bawah Kementerian Belia dan Sukan untuk kepentingan belia tapi hakikatnya cawangan ini digunakan untuk tujuan politik, bagi tujuan pilihan raya dengan mewujudkan unit-unit tertentu dalam kementerian.

"Saya angap ini satu penyelewengan apabila mengambil peruntukan dari bahagian lain.

"Semasa pilihan raya Sarawak, cawangan ini bermukim di Sarawak selama tiga bulan dan mengadakan pelbagai program gerak saraf belia yang memakan belanja sehingga RM40 juta. Saya minta Menteri Belia dan Sukan jelaskan perkara ini," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut menambah, Ketua Setiausaha Kementerian juga telah mengarahkan cawangan ini untuk mengadakan program politik di semua daerah lebih iaitu 2,000 program setiap negeri dengan kos RM30 juta untuk Pakar Motivasi, Datuk Dr. Hasan Ali berceramah kepada pengundi muda.

"Nampak sangat Umno guna peruntukan untuk kepentingan politik Umno. Sekarang mereka tak perlu turun padang, hanya guna Hasan Ali sebagai mata kapak dan hulu kapak," katanya.


Selain itu, beliau turut mempersoal "kehilangan RM8juta peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk belia pada Himpunan Sejuta Belia 2011.

Menurut maklumat, hanya RM2 juta diterima oleh Majlis Belia.

"Saya setuju kalau peruntukan untuk pembangunan belia, tapi bukan dalam bentuk program himpunan sehari yang tidak memberi apa-apa kesan, hanya seperti Karnival Jom Heboh dan sebagainya," katanya.

Turut dipersoal beliau, kos yang terpaksa ditanggung kerajaan akibat pembatalan belia kreatif 2012 yang sepatutnya diadakan pada 10 hingga 12 Februari lalu serta sebab pembatalannnya.

"Karnival ini telah diiklan secara meluas di media massa tapi akhirnya dibatalkan. Kenapa program ini dibatalkan dan berapa pula kos yang terpaksa ditanggung kerajaan setelah pelbagai promosi telah dilakukan?" soalnya.

Dalam pada itu, beliau meminta Kementerian terbabit menjelaskan bagaimana projek perkhidmatan kafe di 17 Instititut Kemahiran Belia Negara (IKBN) hanya diberikan kepada sebuah syarikat yang berpangkalan di Kelantan.

"Kalau betul kerajaan ingin membangunkan syarikat bumiputera, kenapa hanya beri kepada sebuah syarikat? Sepatutnya kalau ada 17 IKBN, berilah kepada 17 syarikat," katanya. -HD


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Apa lagi, kumpul bukti dan bawa ke mahkamah cepat-cepat..... jangan cakap kosong, takut2 kita yg komplen macam2 ni terjebak dgn mengupat, adu domba, maki hamun dan lain2 dosa kering yg maha dahsyat