2 Mac 2012

Abang, Bangun.. Jangan Tinggalkan Saya..

Kereta tiba-tiba 'terbang'

LEDANG – “Mulanya saya nampak sebuah kereta 'terbang' disusuli dengan bunyi dentuman yang kuat. Saya bergegas keluar rumah dan nampak kereta kancil ini sudah masuk dalam parit,” kata saksi kejadian kemalangan maut di kilometer (KM) 1 Jalan Muar-Tanjung Agas, kelmarin.

Saksi, Sa’yon Hamid, 66, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, dia sedang berehat di ruang tamu rumahnya berhadapan jalan terbabit sebelum ternampak sebuah kereta Perodua Kancil dipandu seorang lelaki.

“Tetapi saya hairan apabila kereta ini secara tiba-tiba 'terbang' semasa menghampiri simpang berdekatan kedai makan di sini.

“Saya sangat terkejut lalu keluar rumah dan melihat kereta Kancil ini sudah masuk ke dalam parit berhampiran,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Sa’yon berkata, jarak rumahnya dengan tempat kejadian hanya pada jarak kira-kira 100 meter.

Katanya, setibanya di tempat kejadian, dia melihat pemandu itu berada dalam keadaan lemah di tempat duduk pemandu dengan buih keluar dari mulutnya.

“Mungkin lelaki ini sakit ketika memandu menyebabkan dia hilang kawalan lalu terbabas ke dalam parit.

“Orang ramai mula membanjiri tempat kejadian, lalu salah seorang rakannya menghubungi pihak ambulans Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar tetapi mangsa meninggal dunia beberapa minit kemudian,” katanya.

Isteri mangsa, yang mahu dikenali sebagai Yee, 40-an berkata, dia menganggap insiden yang menimpanya suaminya itu hanyalah mimpi.

“Saya masih tidak percaya dan tidak dapat terima berita ini kerana sebelum kejadian suami tidak menunjukkan sebarang perubahan yang aneh.

“Pagi tadi sebelum keluar bekerja, dia seperti biasa dengan sikap cerianya dan berbual bersama ketika sarapan pagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, mayat mangsa, Low Kia Hin, 51, dari Jalan Kim Kee, Muar dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa berpunca daripada tekanan darah tinggi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. -SH

‘Bangun, jangan tinggalkan saya’

LEDANG: “Bangunlah, jangan tinggalkan saya,” kata seorang wanita ketika memeluk jenazah suaminya selepas lelaki berkenaan meninggal dunia akibat kemalangan di Kilometer 1, Jalan Muar-Tanjung Agas di sini, kelmarin.

Kehadiran wanita dikenali sebagai Yee di tempat kejadian menyebabkan orang ramai sedih apabila enggan melepaskan mayat suaminya sebelum dipujuk ahli keluarga lain, kira-kira 30 minit kemudian.

Yee dikatakan bergegas dari rumahnya di Jalan Kim Kee di sini, selepas mengetahui suaminya, Low Kia Hin, 51, meninggal dunia ketika memandu dipercayai akibat serangan darah tinggi.

Menurutnya, dia masih tidak percaya suaminya sudah tiada kerana sebelum keluar rumah, mendiang kelihatan sihat.

“Saya masih tidak percaya dia sudah meninggal dunia. Semua ini bagai mimpi,” katanya.

Saksi kejadian, Sa’yon Hamid, 66, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 4.45 petang ketika dia berehat di ruang tamu rumahnya, kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.

Menurutnya, pada mulanya, dia melihat sebuah kereta seolah-olah ‘terbang’ disusuli bunyi dentuman kuat.

“Saya terus bergegas keluar dan nampak sebuah Perodua Kancil berada dalam parit.

“Memang pelik kerana kereta itu tiba-tiba terbang ketika menghampiri simpang,” katanya.

Katanya, dia kemudian terus melihat mangsa yang ketika itu begitu lemah dan mulut berbuih.

“Mungkin lelaki itu diserang penyakit ketika memandu menyebabkannya hilang kawalan dan keretanya terbabas sebelum seorang rakan mangsa menghubungi ambulans Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

“Mangsa disahkan sudah meninggal dunia tidak lama selepas itu,” katanya.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tangkak untuk dibedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa berpunca akibat tekanan darah tinggi dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
-hm


1 ulasan:

♥ shimAA ♥ berkata...

tak sangke uncle dah takde ..dia mmg sangat baik :')