9 Jan 2012

[Video & Bergambar] Menjelang Keputusan Kes Anwar - Ribuan Sudah Berada Di Ibu Negara

Amanat Anwar: Ribuan banjiri ibu negara

Ditemani pemimpin tertinggi pembangkang, dianggarkan 5,000 memenuhi padang Kelab Sultan Sulaiman bagi menunjukkan sokongan kepada Anwar yang dituduh meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.

Malah, keadaan sesak menyebabkan ada yang terpaksa duduk di anak tangga bangunan berkenaan untuk tidak melepaskan peluang menatap wajah pemimpin kesayangan mereka -- yang menghadapi kemungkinan dihukum penjara.

Jumlah kehadiran yang besar didorong juga dengan kemasukan penyokong daripada luar yang mula memenuhi Kuala Lumpur sejak awal petang tadi untuk menghadiri perhimpunan besar di Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada jam 7 pagi esok.

Sokongan itu menyebabkan Anwar yang juga ketua Umum PKR memberikan ucapan penuh semangat, sekali gus dilihat pasrah akan kemungkinan yang bakal dihadapinya esok.

Sambil berseloroh, Anwar berkata, sekiranya Pakatan menang dalam pilihan raya umum akan datang dan membentuk kerajaan, beliau yakin akan dibebaskan.

"Malam ini kita menang, selamatlah saya, apa susah sangat," katanya disambut tepukan dan sorakan gemuruh daripada orang ramai.

Pada saat-saat terakhir menjelang keputusan yang dinanti-nantikan esok, Anwar mendedahkan anggota keluarganya meluahkan kebimbangan beliau dipukul seperti dalam perbicaraan kes liwat pertama yang melibatkannya sebelum ini.

Bagaimanapun, Anwar berkata, beliau menjawab perkara tersebut "tidak mungkin berlaku" lagi.

Ucapannya juga turut diiringi dengan ucapan takbir, reformasi dan lawan slogan popular pembangkang "lawan tetap lawan".

Turut hadir berceramah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua, Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md Akin dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.

Anwar dan puluhan pemimpin PKR sebelum ini giat menjelajah ke seluruh negara bagi menggerakkan sokongan terhadap perhimpunan "Bebas Anwar 901" esok. -mk


Ribuan juga bersama Anwar di padang Kelab Sultan Sulaiman


Ketua Pembangkang yang juga ahli parlimen Permatang Pauh, Anwar Ibrahim sedang berucap di hadapan lebih LAPAN RIBU hadirin dan rakyat yang bersama bersolidariti dengan pimpinan Pakatan Rakyat di perkarangan dan padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di ibu negara.

Anwar yang kelihatan berbaju kemeja putih dikawal ketat oleh sekumpulan pengawal peribadi yang ditugaskan khas menjaga keselamatannya susulan daripada insiden yang berlaku ke atas pengawal peribadinya yang mengiringi isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail di Cherok Tok Kun, Permatang Pauh, malam tadi.


Ribuan rakyat turun membanjiri padang sejak seawal jam 7 malam untuk menantikan ketibaan Anwar yang disambut oleh pemimpin Pakatan Rakyat yang turut mengadakan acara "Grand Final" di Kampung Pandan yang terletak lebih kurang enam kilometer dari Kampung Baru.


Dalam ucapannya, Anwar jelas sama sekali tidak gentar dengan penguasa zalim yang mahu memenjarakannya kerana perjuangannya bukan terbatas dari dalam penjara tetapi apabila rakyat sudah bangun menentang kezaliman, rejim Mesir yang diketuai bekas presiden Hosni Mubarak yang kuat pun boleh dikalahkan.

Tambahnya lagi, kekuatan sebenar dirinya adalah dari dalaman yang teguh berpaksikan keimanan dan perjuangannya bak membujur lalu melintang patah, sekali mara tidak akan undur.


Terdahulu, Anwar menyertai ratusan jamaah lain menunaikan solat hajat di kediamannya di Bukit Segambut yang diketuai bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Md Hashim Yahya.




Sumber: Jalan Pulang dan Pink Turtle





KEPUTUSAN KES ANWAR HARI INI



Kuala Lumpur – Sama ada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dipenjarakan atau bebas daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan diketahui hari ini.

Selepas hampir dua tahun dibicarakan dengan melalui pelbagai kontroversi, takdir dan nasib Anwar, 64, dalam genggaman keputusan akhir Mahkamah Tinggi yang difahamkan akan diumumkan Hakim, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah pada pagi esok.

Sekiranya barisan pe­guam Anwar diketuai Karpal Singh berjaya menimbulkan keraguan munasabah, maka Anwar dan penyokongnya boleh sahaja berteriak dan bergembira, tetapi sebaliknya jika keputusan mahkamah memihak kepada hujah pendakwaan diketuai Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, maka Anwar akan mengulangi sejarah kes liwat pertama pada 1998.

Bebas atau penjara, kedua-duanya membawa revolusi terhadap politik negara.

Sejak kes ini meletup selepas Mohd Saiful membuat laporan polis mendakwa diliwat orang kenamaan, kes berprofil tinggi ini mendapat perhatian luar biasa terutama penyokong Pembangkang yang menganggap kes sebagai komplot ‘membunuh’ karier politik Anwar.

Kes seks songsang ini diberi jolokan kes liwat II selepas kes liwat pertama di mana pada 2000, Anwar disabit kesalahan dan dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi setelah didapati bersalah meliwat bekas pemandu isterinya, Azizan Abu Bakar.

Bagaimanapun, selepas empat tahun, Mahkamah Persekutuan menolak sabitan itu, sekali gus mengetepikan hukuman penjara terhadapnya dan Anwar bersemuka kembali dengan dunia politik negara sebagai Ketua Pembangkang.

Mohd Saiful, 26, membuat laporan polis pada 28 Jun 2008 dan kes membuka tirai di Mahkamah Tinggi Jalan Duta selepas Anwar menghadapi tuduhan meliwat pemuda itu pada 7 Ogos 2008.

Selepas beliau gagal membatalkan pertuduhan liwat itu pada 1 Disember 2009, perbicaraan bermula 3 Februari 2010, seterusnya ditutup peringkat pembelaan pada 15 Disember lalu.

Sekiranya dicongak, perbicaraan mengambil masa cukup lama kerana banyak berlaku penangguhan akibat kontroversi tidak sudah-sudah dan pelbagai permohonan difailkan oleh Anwar.

Permohonan untuk menyingkir Hakim, Mohamad Zabidin sahaja berlangsung tiga kali. Seramai 26 saksi pendakwaan memberi keterangan sementara pihak pembelaan membawa lapan saksi, termasuk Anwar sendiri yang telah memilih untuk memberi keterangan tanpa bersumpah di kandang tertuduh pada 22 Ogos 2011.

Ketika perbicaraan, keterangan Mohd Saiful sebagai saksi pertama sememangnya ditunggu di mana dia mendakwa marah dan ketakutan selepas Anwar mengucapkan “can I f**k you today?”.

Antara yang hangat, seluar dalam bersama beberapa helai pakaian Mohd Saiful dibawa ke mahkamah. Malah Mohd Saiful mengaku, sehelai seluarnya dibelikan oleh Anwar dan menafikan ada mengadu kepada seorang doktor Hospital Pusrawi bahawa terdapat kemasukan objek plastik ke dalam duburnya.

Pengadu itu memberi keterangan, bahawa dia tidak mencuci dubur selepas dua hari kejadian dakwa diliwat pada 26 Jun 2008 kerana mahu menyimpan bukti.

Berkenaan air mani Lelaki Y dalam dubur Mohd Saiful, profil asid deoksiribonuleik (DNA) air mani Lelaki Y itu didapati berpadanan dengan profil DNA pada berus gigi, tuala kecil Good Morning dan botol plastik air mineral yang diambil dari lokap tempat Anwar ditahan semalaman pada malam 16 Julai 2008.

Ketua Unit Jenayah Berat, Bahagian DNA Divisyen Forensik Jabatan Kimia Malaysia (JKM), Dr Seah Lay Hong mengesahkan air mani mengandungi sperma diambil daripada dubur luar dan dalam Mohd Saiful, berasal daripada sumber sama.

Sementara Ketua Unit Paterniti DNA Divisyen Forensik JKM, Nor Aidora Saedon yang menjalankan ujian perbandingan mengesahkan profil DNA pada tiga barangan itu padan dengan profil DNA Lelaki Y.

Pendakwaan berhujah, walaupun ada dakwaan bahawa keterangan saksi-saksi pendakwaan bercanggah, tetapi pihak pembelaan tidak memanggil seorang pun saksi pakar untuk menyatakan atau menafikan bahawa DNA Lelaki Y bukan milik Anwar.

Pada 16 Mei lalu, Anwar diperintah membela diri selepas pendakwaan berjaya membuktikan prima facie dengan memutuskan Mohd Saiful saksi boleh dipercayai dan berkredibiliti.

Bagaimanapun pembe­laan mendesak mahkamah menyemak keputusan akhir kes pendakwaan itu kerana menurut pembelaan, Mohd Saiful berbohong dan kela­kuan pemuda itu juga tidak menunjukkan seperti dia diperlakukan seperti didakwa (liwat).

Pembelaan turut memohon mahkamah mengambil kira keterangan saksi pembelaan, bekas doktor Hospital Pusrawi, Dr Mohamad Osman Abdul Hamid iaitu doktor pertama memeriksa Mohd Saiful, selain mengenai keterangan tanpa bersumpah Anwar yang didakwa bersifat penafian oleh pendakwaan juga wajar diambil kira kerana ia merupakan penafian Anwar.

Menurut pembelaan, jika benar seperti didakwa, Mohd Saiful mempunyai peluang untuk melarikan diri dan meminta tolong. Dalam satu hujah seorang lagi peguam Anwar, Sankara Nair, bahawa siapa yang membawa masuk karipap dan kopi yang didakwa dimakan kedua-duanya , selepas kejadian itu.

Kes dikatakan bersifat konspirasi fitnah itu terus hangat kerana turut mengheret Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang dikenakan sepina, mengehendaki kedua-duanya memberi keterangan berikutan Mohd Saiful ada bertemu Najib pada 24 Jun 2008, iaitu dua hari sebelum kejadian. Bagaimanapun suami isteri itu berjaya mengetepikan sepina tersebut. -SH



5 ulasan:

Blog Berita Online berkata...

aku x percaya anwar dapt lakukan. korang fikir seorang lelaki seperti saiful tidak boleh tendang jika anwar cuba merogol dia. even mak nyah pun boleh lakukan. unless saiful seorang gay.

pak din tua berkata...

Aku kesal dengan apa yang dilaporkan oleh berita malam tadi. Isu pembohongan Azmin ! Alaa yang ketua polis tu marah2 tu. Sesapa yang tau tolong cite sikit........

Tanpa Nama berkata...

Ya Allah, jika DSAI trgolong dlm org teraniaya maka selamatkan lah beliau sbgmana Engkau pelihara golongan mukminin yg lain...jika sebaliknya, maka tunjukkan lah kebenaran nya. Lawan tetap lawan!!! 901~

awang samiun berkata...

Allahu Akbar!!Doa rakyat dikabulkan.Teruskan agenda ke Putrajaya!!

Tanpa Nama berkata...

Alhamdulillah, semuga kebenaran berterusan menyerlah. Semuga kehidupan dan perjuangan murni DSAI, penyokong dan rakyat sejagat diberkati Allah. GB, penamu tajam umpama pedang. Teruskan. Wassalam.