17 Jan 2012

Exco Selangor: Siapa Ganti Hassan Ali Bakal Terjawab

PAS hantar calon ganti Hasan kepada MB Selangor

KUALA LUMPUR, 16 Jan: PAS Pusat telah menghantar nama calon bagi menggantikan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor kepada Pejabat Menteri Besar kira-kira jam 12.30 tengah hari ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, beliau menghantar nama calon berkenaan telah menerima nama itu daripada Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“PAS Pusat telah buat keputusan tentang orang yang akan menggantikan Datuk Hasan Ali dan saya telah menerima nama itu daripada Presiden dan nama itu telah pun saya maklumkan kepada Pejabat Menteri Besar Selangor sekitar pukul 12.30 tengah hari.

“Dan saya pun dah berhubung Pejabat Menteri Besar dan dah dimaklumkan mereka terima makluman itu,” katanya kepada Harakahdaily sebentar tadi.

Beliau bagaimanapun tidak bersedia mendedahkan nama calon yang dicadangkan itu.

“Tapi untuk hari ini, saya rasa saya tak sedia untuk memaklumkan nama itu sekarang kerana urusan selanjutnya urusan kerajaan negeri dengan DYMM Sultan Selangor,” ujarnya lagi.

Jelasnya, terserah kepada pihak-pihak berkenaan untuk mengambil langkah selanjutnya.

Semalam, beliau memberitahu Presiden PAS akan membuat keputusan calon bagi menggantikan Hasan sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Beliau berkata, nama itu akan beliau sampaikan kepada Menteri Besar Selangor.

"Kita jangka, jika tidak ada sebarang masalah, mesyuarat Exco Selangor Rabu ini akan mendapat anggota baru dari PAS," katanya.

Hasan dipecat daripada menjadi ahli PAS pada 8 Januari lepas oleh Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat.

Beliau bagaimanapun berpeluang membuat rayuan terhadap keputusan itu kepada Majlis Syura Ulamak dalam tempoh 30 hari selepas dipecat.

Bagaimana pun, malam semalam Hasan membuat keputusan tidak akan merayu. Ia diumumkan beliau dalam satu majlis di Gombak.

Pada 13 Januari lepas, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan perlantikan exco kerajaan negeri yang baru bagi menggantikan Hasan akan diadakan pada 18 Januari nanti di Istana Kayangan, Shah Alam.

Beliau yang hadir pada sidang media selepas mengadap Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberitahu pertemuan tersebut adalah bagi membincangkan status kedudukan Hasan yang tidak lagi menjadi ahli PAS. -HD


Exco: Fokus pada Dr Rani, Pas serah nama hari ini

SHAH ALAM - Dengan tumpuan memfokus ke atas Pesuruhjaya Pas Selangor Dr Abdul Rani Osman, parti Islam itu akan menghantar nama calon jawatan Exco Kerajaan Negeri, hari ini.

Ketua Penerangan Pas pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, nama pengganti Datuk Dr Hasan Mohd Ali sudah pun diputuskan kelmarin dan akan diserahkan kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini.

"Saya jangka ia akan diserahkan hari ini, Setiausaha Agung parti akan uruskan," kata beliau kepada Sinar Harian Online pagi ini.

Bagaimanapun beliau enggan berkongsi butiran calon yang telah pun diputuskan oleh Dewan Harian Pas pusat, yang mengadakan mesyuaratnya di Alor Setar kelmarin.

"Nama belum dihantar kepada Menteri Besar, jadi tidak boleh didedahkan. Maaf," katanya lagi.

Sinar Harian Online difahamkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mengeluarkan kenyataan mengenainya lewat hari ini.

"Saya difahamkan begitu. Itu sahaja yang boleh katakan sekarang," kata seorang pegawainya ketika dihubungi lewat malam tadi sama ada Hadi akan membuat kenyataan rasmi mengenainya.

Tuan Ibrahim berkata, pihaknya telah mempertimbangkan lebih daripada tiga nama yang disebut-sebut "layak" untuk menggantikan tempat Hasan.

"Selain nama yang dihantar oleh Pas Selangor, Pas pusat juga telah menghalusi beberapa nama lain," katanya lagi.

Hasan, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, dipecat sebagai ahli Pas 8 Januari lalu.

Selain Dr Rani, dua nama lain yang disebut-sebut ialah Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar yang juga merupakan Pembantu Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Nama Pembantu Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Ahmad Yunus Hairi, yang juga Adun Sijangkang, turut tersenarai dalam teka-teki layak mengisi jawatan tersebut.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, Hadi sepatutnya membuat keputusan berkenaan calon bagi menggantikan Hasan semalam.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dipetik media semalam berkata, "kita jangka, jika tidak ada sebarang masalah, mesyuarat Exco Selangor Rabu ini akan mendapat anggota baru dari Pas."

Khamis lalu, Sultan Selangor telah memberi perkenan untuk membatalkan pelantikan Hasan daripada jawatan Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Penyandang baru dijadual mengangkat sumpah, Rabu ini. -SH





Laporan sebelum ini
klik untuk baca





1 ulasan:

mnbhb berkata...

Kepada YB Dato HA...,
1. Title YB pun PAS yang punya.... sila letak jawatan jika masih ada prinsip perjuangan Islam jangan jadi YB IA. pendapatan yang dato dapat...haram kerana memburuk-burukkan PAS dalam masa yang sama menikmati segala kemudahan atas tiket PAS.

2. jangan lupa betulkan songkok supaya nampak NUR...di dahi