17 Jan 2012

Isu Lembu NFC: Kit Siang Desak Tubuh Suruhanjaya Diraja

Tuntut Suruhanjaya Diraja siasat NFC- Kit Siang

KUALA LUMPUR 17 Jan: Penasihat DAP, Lim Kit Siang menggesa agar Suruhanjaya Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat kes Skandal National Feedlot Corporation (NFC) melibatkan Keluarga Menteri, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Katanya lagi, skandal berkenaan jelas menunjukkan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku menteri pertanian meluluskan pinjaman projek sebanyak RM250 juta itu.

“(Justeru), serahkan kepada Suruhanjaya Diraja untuk menjawab soalan: Siapa selain Muhyiddin yang harus bertanggungjawab dalam “kemelut” NFC di mana objektif projek penternakan lembu tersebut adalah untuk meningkatkan keluaran bekalan daging negara,” kata beliau.

Muhyiddin antara menteri yang dikaitkan dalam skandal berkenaan apabila meluluskan projek berharga RM73.64 juta itu pada 2008.

Semalam, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar turut mengalihkan tanggungjawab tersebut kepada Muhyiddin apabila ditanya mengapa projek NFC tidak dihentikan.

Noh juga meminta wartawan bertanya kepada Muhyiddin ketika diajukan soalan mengenai tindakan yang akan diambil terhadap NFC, iaitu syarikat milik Datuk Seri Mohamed Salleh Ismail- suami kepada Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil.

Projek tersebut bukan saja gagal mencapai sasaran, malah pinjaman RM250 juta telah disalahguna untuk membeli dua unit kondominium mewah di Bangsar dan di Singapura serta pelbagai transaksi meragukan.

Ia termasuk pembelian kereta mewah Mercedez Benz dan wang NFC yang digunakan bagi tujuan pelancongan oleh keluarga Shahrizat.

Terbaru semalam, KEADILAN mendedahkan hampir RM600,000 digunakan dari dana NFC untuk membiayai kad kredit milik suami dan anak-anak Shahrizat.

Sebelum ini, Lim Kit Siang mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjawab semua persoalan itu tanpa cuba memperlekehkan rakyat Malaysia yang marah dengan penyalahgunaan kuasa dalam skandal tersebut.

Katanya, setelah lebih enam bulan dibongkarkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010, tiada apa-apa tindakan dilakukan oleh anggota Kabinet mahu pun NFC sendiri. -KD

Penjelasan NFC patut jadi asas tubuhkan suruhanjaya siasatan diraja

SIBU, 17 JAN: Penjelasan terbaru National Feedlot Corporation (NFC) yang mempertikaikan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Parlimen (PAC) serta membabitkan peranan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin patut menjadi asas untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Ketua Pembangkang DAP Lim Kit Siang berkata, selain “kisah-kisah seram” mengenai skandal “kondo lembu” RM300 juta, ia juga patut difokuskan kepada peranan dan tanggungjawab Muhyiddin yang mungkin terlibat secara langsung dalam skandal itu.

“Biarkan RCI yang menjawab: Siapa lagi selain Muhyiddin yang patut menanggung semua tanggungjawab berhubung ‘kacau bilau’ NFC di mana objektif projek untuk meninggkatkan peningkatan daging lembu menyimpang dan tidak sampai matlamatnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin pada 2007 memegang jawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, yang mana kementerian beliau meluluskan pinjaman RM250 juta kepada NFC ketika itu.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata RM250 juta dengan 2 peratus pinjaman telah dialihkan bukan sahaja untuk dihabiskan kepada dua kondominium mewah di Bangsar dan Singapura, tetapi juga dalam pelbagai urus niaga lain yang meragukan.

Beliau mengulas kenyataan NFC yang menafikan dakwaan telah menerima pinjaman dana berjumlah RM250 juta oleh kerajaan sebelum perjanjian pinjaman tersebut ditandatangani.

Justeru Kit Siang menjelaskan bahawa kenyataan tersebut mengingatkan rakyat Malaysia bahawa PAC juga bertindak dengan cara yang pelik dalam siasatan skandal “kondo lembu” NFC itu.

“…(PAC) gagal untuk menjalankan siasatan penuh skandal itu untuk dibentangkan laporannya kepada Parlimen pada 12 Mac depan, walau pun skandal itu adalah skandal besar dan utama!” katanya.

Pada November lepas, Pengerusi PAC Tan Sri Azmi Khalid berkata, selepas menyiasat beberapa pegawai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, pihaknya mendapati bahawa pinjaman dikeluarkan pada 2009 sedangkan kontrak itu dimeterai setahun kemudian, iaitu pada 2010.

Menurut Kit Siang, rakyat Malaysia berhak mengetahui kenapa PAC berkelakuan sedemikian yang mana jelas memberi gambaran bahawa badan itu cuba mengelak daripada menangani isu tersebut.

Beliau juga mahu PAC menyerahkan laporan skandal NFC kepada Parlimen pada 12 Mac depan. – Roketkini


Ulasan GB

Inilah yang dikehendaki sekarang iaitu penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja.

SPRM? Sukar untuk kita letakkan harapan kerana sejarah sudah membuktikan bahawa SPRM itu tidak cekap dan tidak profesyenal iaitu di dalam kes Teoh Beng Hock. Malah mereka cuba melindungi pula perbuatan jahat pegawai-pegawai mereka. Ia akhirnya hanya terbongkar melalaui Suruhanjaya Siasatan DiRaja.

GB menyatakan sebelum ini:

Sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja sepatutnya ditubuhkan untuk menyiasat penyelewengan NFC ini. Ia bersangkut-paut dengan penyalahgunaan wang rakyat. Yang bersalah mesti diambil tindakan.

Jika tidak, pastikan UMNO BN dihukum di dalam pilihanraya akan datang ini.


Laporan sebelum ini
klik untuk baca





Tiada ulasan: