30 Nov 2011

Lesen Perniagaan Siap 1 Jam Di Shah Alam

Shah Alam: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mempertingkatkan lagi sistem penyampaian dengan memperkenalkan pengeluaran lesen perniagaan dalam tempoh satu jam dalam usaha menggalakkan lebih ramai pelabur dan penduduk untuk menjadi usahawan.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata, pengeluaran lesen perniagaan dalam tempoh satu jam adalah inisiatif berterusan pihak MBSA yang sentiasa berusaha untuk memudahkan dan mempercepatkan proses kerja bagi memberi keselesaan kepada orang ramai.

Beliau berkata, pihak MBSA juga sudah mengenal pasti 80 jenis aktiviti perniagaan yang tidak berisiko seperti lesen perniagaan kedai dobi, kedai pakaian, kedai runcit dan kedai kasut.

“Sebagai salah sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang penting di negeri Selangor, kita tidak perlu lagi beri alasan seperti, ‘kami akan semak’ atau ‘Datuk Bandar sibuk’ kepada masyarakat.

“Jawapan untuk setiap pertanyaan perlu diberikan serta-merta bagi memastikan setiap perkhidmatan yang diberikan cekap dan efisien,” katanya pada Majlis Perhimpunan bersama Datuk Bandar kali ke-9 di Auditorium MBSA, semalam.

Mohd Jaafar berkata, Jabatan Perlesenan dan Penguatkuasaan sudah mula melaksanakan pengeluaran lesen dalam tempoh satu jam berkuat kuasa 1 Oktober lalu.

Katanya, pemeriksaan premis akan diadakan selepas tempoh dua bulan lesen itu dikeluarkan bagi memastikan pemohon mematuhi syarat ditetapkan pihak MBSA.

“Jika dahulu, pemohon terpaksa menunggu sehingga sebulan untuk mendapatkan lesen perniagaan, tetapi sekarang semuanya akan dilaksanakan dalam tempoh satu jam,” katanya. -HM

MBSA Lancar Pengeluaran Lesen Perniagaan Dalam Tempoh 1 Jam

SHAH ALAM, 29 NOV : Majoriti peniaga boleh memperoleh lesen perniagaan dalam tempoh satu jam menerusi inisiatif berterusan yang diperkenalkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Bagaimanapun, pengeluaran lesen ini hanya melibatkan aktiviti perniagaan yang tidak berisiko serta premis perniagaan yang memiliki Sijil Layak Menduduki Bangunan (CF) atau Sijil Perakuan Siap dan Pemantauan (CCC).

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata, inisiatif MBSA ini akan mempermudahkan serta mempercepatkan proses kerja yang boleh memberi keselesaan dan kesejahteraan kepada orang ramai.

Katanya, setakat ini pihak MBSA telah mengenalpasti 80 jenis aktiviti perniagaan yang tidak berisiko dan boleh dilesenkan dalam tempoh sejam. Antaranya ialah kedai pakaian, kedai gambar, kedai dobi, kedai runcit, kedai kasut dan kedai gunting rambut.

"Kita mestilah mempunyai sistem sokongan yang membolehkan kita melaksanakan tugas dengan pantas. Contohnya, kalau dahulu dalam masa satu minggu, tetapi kini dalam masa satu hari atau satu jam.

Sebagai contoh, melalui Jabatan Perlesenan dan Penguatkuasaan, kita telah mula melaksanakan pengeluaran lesen dalam tempoh satu jam di mana pelaksanaan ini merupakan penambahbaikan dalam pengeluaran lesen-lesen perniagaan yang sebelum ini boleh diproses serta-merta," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pengeluaran Lesen dalam tempoh sejam di Auditorium MBSA, di sini hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas premis akan diadakan dalam tempoh dua bulan selepas lesen itu dikeluarkan bagi memastikan pemohon mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan MBSA.

Beliau berkata, sekiranya peniaga gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan, pihak MBSA akan mengeluarkan kompaun atau membatalkan lesen yang telah dikeluarkan.

Setakat ini sebanyak 64 permohonan telah diterima dan jumlah ini diharapkan akan terus bertambah.

"Setakat ini pemohon boleh mengemukakan permohonan di Ibu Pejabat MBSA. MBSA juga akan melebarkan cara permohonan atau pembaharuan lesen menerusi sistem online, pembukaan booth di pusat membeli belah dan sebagainya," katanya. -tvsnews





Tiada ulasan: