18 Nov 2011

[Kejam] Gadis Dikurung Untuk Paksa Gugurkan Kandungannya

Serdang: Seorang ibu bersekongkol dengan anak lelakinya berusia 17 tahun untuk mengurung seorang remaja perempuan dalam bilik rumah mereka sebelum memaksa mangsa menggugurkan kandungan berusia dua bulan hasil hubungan sulit dengan remaja lelaki terbabit. Gambar hiasan.

Remaja perempuan berusia 16 tahun yang masih bersekolah dilaporkan hilang oleh keluarganya dan dikurung dalam satu unit kediaman di pangsapuri di Puchong, sejak dua minggu lalu.

Mangsa yang mengandung dua bulan hasil hubungan terlarang dengan teman lelakinya yang tidak lagi bersekolah juga berdepan maut apabila dipaksa menelan pelbagai ubat-ubatan bagi menggugurkan kandungannya.

Menurut sumber polis, mangsa keluar dari rumah ibunya di Kajang pada 30 Oktober, kira-kira jam 8 pagi sebelum dibawa ke rumah teman lelaki dan dikurung serta dipaksa tinggal sebilik.

Katanya, ketika teman lelaki bersama ibunya ke tempat kerja, mangsa dikurung dan dilarang meninggalkan rumah hingga mereka pulang.

“Mangsa dipaksa menggugurkan kandungan bagi mengelak diketahui jiran mengenai hubungan sumbang mereka,” katanya di sini, semalam.

Sumber berkata, mangsa sebelum ini sanggup tinggal bersama kerana terpedaya dengan janji manis teman lelakinya yang mahu bertanggungjawab dan berkahwin dengannya.

Namun, janji tidak ditunaikan, malah mangsa dipaksa menggugurkan kandungan.

“Perbuatan kejam dua beranak itu membuatkan mangsa tertekan dan cuba melarikan diri dengan keluar dari rumah, namun hampa selepas semua pintu dikunci dari luar.

“Mangsa kemudian menjumpai alat jalur lebar milik teman lelakinya sebelum menghubungi ibunya melalui e-mel,” katanya.

Katanya, kira-kira jam 5 petang kelmarin, ibu mangsa bersama beberapa anggota polis ke rumah terbabit sebelum memecahkan pintu besi dan membawa pulang gadis berkenaan.

Mangsa bersama ibunya membuat laporan di Balai Polis Serdang, di sini, bagi tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah mengesahkan menerima laporan berhubung kes berkenaan. -hm

1 ulasan:

syaril berkata...

Salam.. apa yang dilakukan oleh remaja itu memang salah dan menjatuhkan air muka keluarga. Tapi.. mengurung remaja tersebut tidak akan menyelesaikan masalah. Sepatutnya langkah pencegahan harus dan wajib diusahakan. Salah satu cara block kandungan lucah, porno yang ada dalam internet. Ini memerlukan kerjasama pihak syarikat pembekal talian internet. Sekarang, kat mana2 pun boleh melihat kandungan lucah ini. Nak pulak sekarang tel pun dah boleh access internet. Lagi mudah la remaja2 bahkan orang2 dewasa akan terpengaruh kandungan tersebut.