18 Nov 2011

[Video] Aaliyah, 8 Tahun, Pemenang Pingat Emas Termuda Sukan SEA Ke 26

Palembang - Pada usia 8 tahun, Aaliyah Yoong Hanifah muncul atlet paling muda negara memenangi pingat emas pada Sukan SEA Ke-26 kali ini selepas menjuarai acara tricks wanita dalam sukan ski air di Palembang semalam.

AALIYAH (dua dari kiri) diapit kakaknya, Phillipa (kiri) Alex (dua dari kanan) dan bapanya, Hanifah selepas menang emas bagi acara tricks wanita dalam sukan ski air di Palembang semalam.

Apa yang paling membanggakan, murid tahun 2 Sekolah Kebangsaan Bandar Seri Putera, Bangi, Selangor itu menewaskan peluncur yang lebih berusia daripadanya sekali gus menjadi tumpuan bukan sahaja media Malaysia tetapi juga dari negara tuan rumah.

"Ini kali pertama saya menyertai Sukan SEA dan apabila menang emas memang rasa seronok sangat. Saya gembira dan merasa amat teruja dengan kejayaan ini," katanya yang masih kekok ketika bercakap kepada media.

Anak daripada isteri kedua Hanifah Yoong ini menewaskan peluncur dari Thailand di tempat kedua dan Indonesia (ketiga).

Terdahulu, Aaliyah sudah menunjukkan tanda awal dia mampu memenangi emas apabila mengungguli pusingan pertama dengan mengumpul jumlah mata tertinggi.

Ini sekali gus memberi kelebihan kepadanya untuk beraksi dengan lebih baik pada final ketika dia turun sebagai peluncur paling akhir untuk membuat persembahan.

Sementara itu kakak tiri Aaliyah, Philippa Yoong turut menyumbang emas buat kontinjen negara semalam apabila menjuarai acara slalom wanita sukan ski air.

Phillipa, 33, anak daripada isteri pertama Hanifah dan adik kepada Alex Yoong menewaskan peluncur Singapura, Sasha Christian di tempat kedua dan Thoyibhatus Ummu Sholika dari Indonesia, ketiga.

Ibu kepada tiga anak itu turut mencatat rekod baharu Sukan SEA bagi acara tersebut iaitu 1bouy @55kph 13m line. Kali terakhir acara ski air dipertandingkan ialah pada 1997 di Jakarta.

"Saya agak tertekan ketika beraksi kerana diletakkan harapan untuk menang emas di sini. Syukur saya akhirnya berjaya juga," katanya.

Ski air juga menyumbang pingat perak semalam menerusi Alex dalam acara slalom lelaki.

Kaliber si kecil

DOA yang dikirimkan guru dan kehadiran ibu bapa memberi sokongan menjadi titik kejayaan atlet termuda negara, Aaliyah Yoong Hanifah.

Hanya memiliki ketinggian 145 sentimeter dan berat 28kg, Aaliyah, 8, melakar sejarah Sukan Sea apabila muncul peserta termuda pada temasya ke-26 dengan meraih emas acara ski air.

Adik tiri kepada bekas pelumba formula satu (F1), Alex Yoong itu membuktikan kehebatannya apabila mengenepikan peserta lebih berusia malah mengejutkan kakak tirinya yang jauh berpengalaman, Phillipa Yoong Hanifah yang menduduki tempat ketiga dalam acara tricks.

Ski air terus menceriakan kem negara di Palembang apabila Phillipa terlebih dulu menghadiahkan emas pertama dalam acara slalom manakala Alex menyumbangkan perak acara sama.

“Kami tidak pernah memaksanya terbabit dalam ski air. Penyertaan ini hanya sebagai pendedahan kepada Aaliyah. Dia memang begitu berminat dengan sukan ini. Saya pernah menyekatnya untuk terbabit dalam acara ski air, tapi minatnya itu tidak dapat dihalang.

“Pada usia lima tahun dia sudah menunjukkan bakatnya. Pada mulanya dia mendapat tunjuk ajar daripada ayahnya selain mengikut abang dan kakaknya berlatih biarpun tidak mempunyai papan luncur yang sesuai,” kata ibunya, Norzeela Sulaiman. Norzeela berkata, biarpun Aaliyah terlalu muda dan sikap keanak-anakan itu masih jelas ketara, namun ketika dalam pertandingan dia begitu matang dan keinginannya untuk menang dapat dilihat daripada usaha dipamerkan.

Aaliyah mengumpul 5,770 mata untuk menewaskan peluncur Thailand, Sareeya Promsuntisit, 4,980 mata manakala Phillipa ketiga, 3,750 mata.

Anak sulung dari tiga adik-beradik hasil perkahwinan kedua Hanafiah Yoong pernah muncul juara bawah 17 tahun di Kejohanan Asia yang berlangsung di Putrajaya, Oktober lalu.

Mengulas kekalahan Phillipa kepada adiknya itu, dia berkata, Aaliyah memang layak untuk menang. “Dia berusaha keras menjalani latihan sebelum beraksi di Sukan Sea ini. Saya gembira dengan kejayaan Aaliyah,” katanya yang menghadiahkan satu emas dan satu gangsa pada kali terakhir acara ini dipertandingkan di Sukan Sea Jakarta 1997.

Sebagai peserta yang memiliki tubuh jauh lebih rendah dan kecil berbanding atlet lain, penyertaan Aaliyah menjadi tumpuan penonton dan media.

Aaliyah berkata, dia teruja kerana memenangi pingat emas untuk Malaysia.

“Keyakinan saya tidak pernah luntur walaupun saya hampir hilang imbangan pada pusingan pertama, tapi mujurlah dapat mengatasinya,” kata atlet luar biasa ini kepada wartawan. -hm

'Lepas menang boleh minta hadiah'

Mama (Norzeela Sulaiman) ingatkan jangan jatuh saja: Aaliyah Yoong

BIARPUN papan ski air digunakan jauh lebih besar daripada saiz kakinya, atlit termuda kontinjen negara, Aaliyah Yoong Hanifah tidak menjadikan itu satu halangan menewaskan lawan yang jauh lebih tua daripadanya.

Baru mencecah usia lapan tahun, pelajar Sekolah Kebangsaan Bandar Seri Putra, Bangi itu terpaksa menggunakan peralatan digunakan atlit berusia 10 tahun ke atas kerana perbelanjaan menempah papan ski air khas adalah mahal.

“Saya buat macam biasa, tak ada tekanan. Mama (Norzeela Sulaiman) ingatkan jangan jatuh saja dan lepas menang nanti saya boleh minta hadiah,” katanya yang mahukan alat permainan video atau pun patung Barbie sebagai hadiah kemenangan.

Dengan hanya ketinggian 145 meter dan berat 28 kilogram, Aaliyah mempamerkan aksi menarik dalam acara trick terbuka wanita dengan menewaskan enam atlit lain apabila mengumpul 5,770 mata. Atlit Thailand, Promsuntisit Sareeya memenangi perak (4,980) manakala seorang lagi atlit negara, Phillipa Yoong merangkul gangsa (3,750).

Terpaksa bercuti lebih kurang tiga bulan daripada bersekolah, Aaliyah mencatat keputusan membanggakan apabila merangkul emas dalam acara trick bawah 17 tahun serta gangsa dalam acara trick terbuka pada Kejohanan Asia di Putrajaya, bulan lalu.

Ibunya, Norzeela berkata anak sulung daripada tiga beradik itu mula bermain ski air sejak berumur lima tahun dan tidak pernah mengadu penat atau sakit kerana perlu berlatih lima hari seminggu.

“Aaliyah seperti kanak-kanak lain yang nakal dan suka bermain tetapi apabila bermain ski air dia fokus dan sangat matang dengan apa perlu dibuatnya. Saya lihat dia berbakat sejak kecil lagi dan sudah berkeras mahu menyertai ski air,” katanya yang berterima kasih dengan bantuan Perbadanan Putrajaya. -BH



Aksi Aaliyah Memenangi Sukan Ski Air Sukan SEA Palembang



[Video] Latihan Aaliyah Beberapa Bulan Sebelum Sukan SEA





Tiada ulasan: