3 Okt 2011

Putrajaya Tarik Balik Rang Undang-undang Kg Baru

Rang undang-undang Kg Baru ditarik balik

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin menarik balik Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru yang sepatutnya dibaca kali kedua di parlimen hari ini.

Bagaimanapun, menurutnya, undang-undang kontroversi itu akan digantikan dengan versi baru yang ditambah baik selepas mendapat maklum balas pelbagai pihak.

Sebelum itu, Pakatan mengisytiharkan kemenangan terhadap perjuangan menentang rang undang-undang itu selepas menteri menariknya kembali dalam sidang parlimen ke-12 yang bersambung hari ini.

"Viva, kejayaan untuk Pakatan Rakyat dan arwah Dr Lolo," kata Tian yang juga naib presiden PRK, merujuk kepada bekas anggota parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo' Ghazali yang meninggal dunia Mei lalu akibat barah.

PAS menjadi peneraju utama kempen menentang rang undang-undang itu. Mereka menuntut termanya dirunding semula dengan penduduk, pemilik tanah dan kampung tradisional Melayu.

Rang undang-undang yang antaranya bertujuan menubuhkan perbadanan bagi mengambil alih pembangunan di Kampung Baru dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 14 Disember, 2010.

Bacaan kedua rang undang-undang itu sepatutnya dibuat semasa persidangan Parlimen pada Mac, tetapi ditangguhkan bagi membolehkan tuan tanah dan waris mereka memberi maklum balas. -mk

Putrajaya tarik balik akta baru pembangunan Kg Baru

KUALA LUMPUR, 3 Okt — Di sebalik tekanan dan bantahan berterusan, Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru yang sepatutnya dibacakan buat kali kedua di Parlimen yang bermula hari ini, ditarik balik.

Perkara itu dimaklumkan pada hari pertama sidang Dewan Rakyat pagi ini oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Memaklumkan perkara itu menerusi mesej Twitter sebentar tadi, Naib Presiden PKR Tian Chua berkata, ia satu kemenangan kepada perjuangan Pakatan Rakyat.

“Agenda pertama di sesi Parlimen ini, Menteri Wilayah Persekutuan Raja Nong Chik tarik balik Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru. Kemenangan Pakatan, Kg Baru selamat!” katanya.

Selain itu beliau yang juga Ahli Parlimen Batu turut menulis bahawa “penduduk Kg Baru boleh beraya betul-betul hari ini, buat kenangan pengorbanan (Allahyarhamah) YB Titiwangsa Dr Lo’Lo yang banyak berusaha membantah Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru.”

Maklumat mengenai perkara itu turut dimaklumkan oleh seorang lagi Naib Presiden PKR Fuziah Salleh, yang antara berkata, “Menteri Wilayah umum tarik balik Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru.”

Pertengahan bulan lalu, Raja Nong Chik berkata rang undang-undang yang tertangguh tiga kali sebelum ini akan dibawa ke Parlimen pada sesi yang bermula bulan depan bagi membolehkan pembangunan dilakukan di kawasan itu.

Beliau berkata, input dalam rang undang-undang itu antara lain adalah daripada perbincangan mendalam dengan beberapa pihak termasuk badan bukan kerajaan, pemilik dan waris tanah di kawasan itu.

Tambah beliau, pihak Peguam Negara juga meneliti rang undang-undang tersebut tanpa membelakangkan pandangan daripada pihak-pihak berkepentingan di kawasan penempatan eksklusif orang Melayu itu.

Raja Nong Chik berkata dengan adanya akta khusus bagi pembangunan Kampung Baru, ia akan membawa kawasan itu setanding dengan lain-lain kawasan yang pesat membangun di bandar raya ini.

Bagaimanapun pengumuman Raja Nong Chik bulan lalu menerima reaksi bercampur-campur.

Pemilik tanah di kawasan penempatan eksekutif orang Melayu itu terus menentang keras akta pembangunan itu dilaksanakan.

Malah ketika ditemui The Malaysian Insider, rata-rata pemilik dan pewaris tanah berusia 111 tahun itu mahu Putrajaya membatalkan terus cadangan penubuhan sebuah perbadanan di kawasan itu.

Selain itu, ada juga antara mereka menegaskan tidak pernah sama sekali memberi persetujuan agar rang undang-undang digubal bagi membangunkan kawasan itu.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat MAS Shamsuri Suradi berkata, tiga klausa penting yang mendapat bantahan keras daripada pemilik dan pewaris tanah harus dipinda sebelum ia dibawa untuk bacaan kali kedua.

“Kita mahu MAS tidak dibubarkan, keanggotaan kepada pemilik dan pewarisn tanah ditambah dan imuniti kepada perbadanan dipinda, ini yang perlu dilakukan.

“Sebelum ini ia telah banyak kali dibincangkan dan kerajaan bersetuju untuk meminda tiga perkara ini, jadi saya harap ia dilaksanakan,” katanya.

Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru dibaca kali pertama pada Disember lalu, tetapi menerima protes berterusan daripada pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru.

Kemudian Putrajaya mengadakan referendum di kalangan pemilik dan pewaris tanah tetapi difahamkan sambutan kurang memuaskan.

Akhir Jun lalu, majlis pentadbir Kampung Baru meminta Putrajaya agar menangguhkan bacaan kali kedua Rang Undang-undang Perbadanan Kampung Baru memandangkan respons ke atas referendum dingin.-TMI


Ulasan GB

Walau bagaimanapun Pakatan Rakyat perlu berhati-hati taktik licik UMNO BN ini.

Mereka mungkin sedang mengatur penipuan, rang undang-undnag yang sama bakal dibentangkan semula selepas pilihanraya umum ke 13.

Hubaya-hubaya!

Laporan sebelum ini
sila klik untuk baca





1 ulasan:

Awanama berkata...

Satu lagi yang bahaya ialah ISA yang belum dimansuhkan tetapi nak dibentang dua Akta Patriot (Akta Pak Turut Amerika). Kalau diluluskan bukankah dah jadi 3 Akta dalam tempoh hingga tahun depan. Apa-apapun semua MP baik BN mahupun PR wajar mengusulkan ISA dimansuhkan dahulu baru dua akta yang tidak diketahui biji butir dibentang di Parlimen.