3 Okt 2011

Apabila Pengarah Seronok Pungut Jutaan Ringgit Hasilkan Filem Hantu Perbodohkan Rakyat

Pengarah: Jangan hukum filem genre seram, hantu

KUALA LUMPUR, 3 Okt — Penggiat dan pengarah filem hantu dan seram menafikan karya mereka menjadi punca kepada suburnya amalan kepercayaan tahyul di kalangan penonton atau merosakkan akidah mereka, selain percaya ia mempunyai banyak nilai positif seperti kekeluargaan dan agama.

Ada antara mereka berpendapat filem sedemikian lebih bercorak hiburan, mendapat permintaan tinggi dan diselitkan dengan unsur komedi, bukan untuk meracuni minda masyarakat.

Pengarah yang banyak menghasilkan filem seram, Ahmad Idham Ahmad Nadzri turut dilapor mempertikaikan cadangan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mahu bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan isu lambakan filem itu kerana ia disifatkan sebagai tidak adil, sekali gus berniat untuk membunuh kerjaya mereka.

Sebaliknya beliau meminta Majlis Fatwa Kebangsaan menemui pemain-pemain utama industri filem bagi membincangkan pengisian yang sepatutnya, sekali gus mengawal lambakan filem genre sebegitu.

“Jangan menghukum filem genre seram atau menjadikannya alat untuk kepentingan politik,” kata beliau dipetik Berita Harian hari ini.

Laporan media semalam memetik bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, lambakan cerita hantu yang ditayangkan di televisyen dan menerusi filem ketika ini boleh menggalakkan kepercayaan karut yang tidak membantu membina masyarakat berproduktif, termasuk menyelesaikan masalah dengan pendekatan saintifik.

Beliau berkata lambakan cerita hantu yang berasaskan mitos banyak menyumbang kepada serangan histeria di kalangan pelajar perempuan Melayu.

“Filem dan drama televisyen memaparkan kisah hantu hanya menggalakkan kepercayaan tahyul yang tidak mempunyai asas sama sekali.

“Kita, terutama umat Islam, perlu tahu bahawa hanya Allah mempunyai kuasa ke atas segala-galanya,” kata Dr Mahathir.

“Sebagai contoh, dalam bidang perubatan, manusia mempunyai apa yang dipanggil sebagai ‘peripheral vision’.

“Jadi sekumpulan pelajar perempuan di asrama yang bercerita mengenai hantu akan melihat imbasan lembaga atau bayang-bayang melalui ekor mata dan terkena serangan histeria,” kata beliau.

Dr Mahathir berkata rakyat Malaysia kini perlu memberi tumpuan kepada usaha mencari kaedah lebih saintifik untuk menyelesaikan masalah.

Majlis Fatwa Kebangsaan pula mahu kerajaan membincangkan isu lambakan filem atau drama hantu kerana dikhuatiri boleh memesongkan akidah terutama di kalangan remaja Islam.

Ahli jawatankuasa majlis itu, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, pihaknya mahu kerajaan memperincikan kawalan terhadap penerbitan filem atau drama hantu yang jelas berunsur khurafat dan mempromosikan karut.

Mengulas lanjut, Ahmad Idham yang baru-baru ini menjadi fokus kontroversi filem Hantu Bonceng juga berkata dalam filem seram perkara yang perlu diberi perhatian oleh pembikin filem ialah isi kandungan filem itu sendiri.

“Dengan lambakan filem seram sejak kebelakangan ini, satu perkara yang dapat membezakan setiap filem seram itu adalah isu kandungannya.

“Isi kandung filem hantu perlu dikaji semula supaya pemikiran penonton tidak terus dibelenggu dengan kepercayaan karut,” katanya.

Malah katanya, “sebelum ini pun saya pernah menghasilkan filem seram yang tidak bergantung kepada jampi serapah atau bomoh sebagai penyelesaian.”

Misalnya, kata beliau, filem Damping Malam menggunakan pendekatan saintifik seperti yang dikatakan oleh Dr Mahathir apabila “pelakon filem mendapatkan pakar khidmat terapi untuk menyelesaikan masalah mereka.”

Turut bersetuju dengan Ahmad Idham ialah pengarah filem Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Zombie Kampung Pisang, Mamat Khalid yang memberitahu bahawa tidak semua cerita seram menyuburkan kepercayaan kolot di kalangan penontonnya.

“Kalau filem seram melambak di pasaran dan kebanyakan mesej di dalamnya positif, saya tidak anggap ia salah.

“Lainlah jika filem itu dalamnya yang boleh merosakkan akidah, memang patut disekat,” kata beliau.

Pengarah urusan Cube Film Sdn Bhd dan juga pengarah yang banyak menghasilkan drama seram, Michael Ang berkata, kebanyakan judul seram dihasilkannya memberi pengajaran kepada penonton.

“Saya terbitkan filem seram bukan sekar untuk menakutkan penonton, tetapi sebagai memberikan hiburan kepada mereka.

Setengah penonton mendakwa perasaan takut sewaktu menonton filem hantu memberikan keseronokan buat mereka,” katanya yang pernah menghasilkan filem Hantu Kum Kum, Pontianak Kampung Batu dan Dendam Sundel Bolong.

Lagipun katanya, kebanyakan “filem seram kami dibuat dalam bentuk komedi dan juga bukanlah daripada cerita hantu yang asal.” -TMI

Ulasan GB

Demikian hebat perwatakan pengarah dan penerbit filem genre hantu dan seram sehinggakan sanggup melawan dan menentang sesiapa saja kerana mengaut keuntungan tanpa memperdulikan kaedah dan cara.

Kita juga ingin tahu tinggi manakah ilmu agama Ahmad Idham itu sehingga sudah berani mempertikaikan cadangan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mahu bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan isu lambakan filem hantu dan seram?

Semata-mata kerana filem sedemikian kononnya bercorak hiburan, mendapat permintaan tinggi dan diselitkan dengan unsur komedi yang mempersendakan agama diabaikan?

Malah beliau menuduh pula tindakan majlis Fatwa itu berniat untuk membunuh kerjayanya sedangkan kerjayanya itu sendiri telah disalahgunakan untuk hasilkan filem-filem yang merosakkan aqidah dan mempersendakan nilai-nilai agama!

Beliau juga menuduh Majlis Fatwa ada mempunyai kepentingan politik.

“Jangan menghukum filem genre seram atau menjadikannya alat untuk kepentingan politik,” katanya.

Kepentingan politik siapa Ahmad Idham maksudkan? UMNO? PAS? BN? PR?

Kita ingin ulangkan kepadanya, ini bukan soal kepentingan politik. Tetapi sekali lagi kita tegaskan, ia soal penyelewengan akidah dan pemunduran minda rakyat!

Ahmad Idham juga meminta Majlis Fatwa Kebangsaan menemui pemain-pemain utama industri filem bagi membincangkan pengisian yang sepatutnya, sekali gus mengawal lambakan filem genre sebegitu.

Demikian, keceluparan Ahmad Idham sudah melampau. Banyak besar pangkat kamu sampai orang terpaksa jumpa dan tunduk kepada kamu semata-mata kamu sekarang sudah kaya-raya kerana pungutan hasil filem sedemikian? Sepatutnya kamu yang mengadap Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum menghasilkan filem-filem berkenaan.

Justeru itu, rakyat perlu MENGHUKUM mereka ini dengan mempastikan filem-filem hantu dan seram ditolak dan kerajaan perlu proaktif bagi mempastikan tiada lagi unsur khurafat, syirik dan tahyul dibenarkan ditayangkan kepada masyarakat.

7 ulasan:

Unknown berkata...

aiyoo..depa kaya raya, kita makin takut...

Jom terjah sini:
1)Apabila Butang “Mute” Wujud Dalam Dunia Realiti
2)Kena Kejar Sebab Mandi Bogel
3) Bagaimana Nak Bagi Gigi Kuning Jadi Putih?
4) Porno Bagi Kesan Buruk Kepada Otak

tehtarikkurangmanis berkata...

Tuan dijemput follow blog dan tukar link. blog tuan dalam senarai bloglist Media Portal.

terima kasih


http://zhaf-akumenulis.blogspot.com/

Awanama berkata...

slah kerajaan BN yang luluskan, filem luar negara pun berlambak dalam RTM

Awanama berkata...

hanya rakyat yg suka diperbodohkan oleh pengeluar filem melayu je gi tengok filem mcm ni...kebanyakan filem melayu pun tkde mutu...cuma 5% saja filem yang betul2 berkualiti...seram tp tidak menampilkan babak2 yg melampau...

satuduatiga berkata...

kalau betul majlis fatwa nak buat kerja sgt, apa kata kalau buat fatwa haramkan cerita2 dan filem2 dari luar negara yg menampilkan artis seksi2 dan aksi yang mengghairahkan...tak adil kalau haramkan cerita seram je...

Awanama berkata...

Orang bodoh menjadi makanan orang cerdik.

Awanama berkata...

Tak salah pun nak buat filem hantu atau tahyul. Masalahnya filem-filem yang dibuat amat rendah kualiti. Nampak sangat cetek akalnya pengarah/penerbit filem kita. Tak habis-habis menciplak dari populariti filem seram thailand/Korea dll. Kalau benar pengkarya tulen, hasilnya harus mencabar pemikiran penonton dengan idea yang segar bugar bukannya yang penonton dah tahu.