25 Sep 2011

Kenyataan Tidak Profesyenal, KPN Digesa Jangan Nampak Sangat Bela BN

KPN jangan nampak sangat bela BN

KUALA LUMPUR, 25 Sept: Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar didesak agar tidak menampakkan sangat beliau berkhidmat untuk Barisan Nasional (BN) apabila begitu risau parti itu kalah pilihan raya, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

Kenyataan dan pandangan Ismail secara terbuka bahawa kerajaan BN boleh kalah dalam pilihan raya umum jika tidak menangani isu berkaitan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan baik, dilihat tidak sepatutnya dikeluarkan seorang kakitangan kerajaan.

"Apa masalah kepada pasukan polis kalau BN kalah? Mengapa Ketua Polis Negara nampak risau sangat?

"Saya harap sangat tidak ada kaitan dengan apa yang disebut oleh (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) bahawa sudah jadi parti perasuah," kata beliau.

Mahfuz mempersoalkan, mengapa Ketua Polis Negara sibuk sangat sama ada BN menang atau kalah?

"Kalau Ismail dah terlupa, rakyat perlu bangkit beramai-ramai untuk mengingatkannya bahawa tugas polis menjaga kepentingan negara dan rakyat, bukan menjadi suruhan BN dan menjadi pengawal keselamatan parti itu.

"Polis sepatutnya dilihat tidak memihak," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu yang menyifatkan Ketua Polis Negara itu memperlihatkan dirinya lebih Umno dari Umno.

Mahfuz juga mempersoalkan apa perlunya pihak polis mengadakan sesi memerah otak, diskusi dan juga forum sehingga berbulan-bulan lamanya sebelum ISA dan lain-lain undang-undang darurat dihapuskan.

"Adakah polis sudah mengambil alih tugas Jabatan Peguam Negara?

"Kerja polis bukan menggubal undang-undang, kerja polis menguatkuasakan undang-undang,
" katanya.

Sambil mengakui pihak polis boleh dipanggil untuk memberikan pandangan dalam penggubalan sesuatu undang-undang yang berkaitan dengan bidang kuasanya, Mahfuz berkata adalah pelik kalau Ketua Polis Negara pula yang nampak lebih sudu dari kuah.

Beliau juga berharap Ismail mengurangkan kenyataan-kenyataan yang boleh memudaratkan dirinya sendiri.

"Sekarang semakin ramai yang menuduh (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) kelihatan lebih tidak cerdik dari (Tun) Abdullah (Ahmad Badawi).

"Saya harap Ismail lebih berhati-hati agar beliau tidak popular dengan tuduhan tidak cerdik seperti Abdullah," katanya. -HD

IGP: BN boleh kalah PRU jika gagal urus isu ISA

KUALA LUMPUR, 23 Sept ─ Dalam pandangan seumpama yang jarang-jarang dikeluarkan, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengingatkan, kerajaan Barisan Nasional (BN) boleh kalah dalam pilihan rayau mum jika tidak menangani isu berkaitan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan baik.

Pendirian itu digariskan dalam satu buku berkaitan dengan 1 Malaysia yang diterbitkan sebelum pengumuman pentadbiran Najib mengenai ISA minggu lalu.

Menurut Ismail, isu ISA iaitu undang-undang yang diperkenalkan pada 1960, akan terus menjadi topik politik yang hangat untuk diperbincangkan dan pihak pembangkang akan terus menagih simpati dan sokongan pengundi.

Ismail yang menggantikan Tan Sri Musa Hassan September 2010 berkata, walaupun kerajaan berjanji untuk melihat semula akta tersebut khususnya dalam hal tanpa perbicaraan, namun banyak pihak yang meragui langkah itu.

Penggubalan dan penguatkuasaan ISA terletak di tangan kerajaan pusat, yang diterajui oleh BN sejak negara merdeka.

“Kerajaan dikatakan akan tetap menggunakan ISA sebagai serampang dua mata. Pada pihak kerajaan ISA penting untuk mengekalkan keamanan dan mengawal keselamatan negara tetapi pihak pembangkang terus menangih simpati dan sokongan pengundi,” kata beliau.

Justeru katanya, “jika kerajaan tidak dapat mengurus isu ini dengan baik, ia akan membawa kepada kekalahan dalam pilihan raya umum akan datang.”


Ismail mengatakan demikian dalam satu bab bertajuk “Keamanan dan Keselamatan Ke Arah Pembentukan Negara Maju” dalam buku berjudul “1 Malaysia Menjana Negara Sejahtera dan Bahagia Menjelang 2020”.

Buku itu dikeluarkan sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerusi perutusan khas sempena Hari Malaysia mengumumkan pentadbirannya akan memansuhkan ISA dan menggantikan dengan dua undang-undang baru.

Ismail berkata, tindakan pantas dan ‘pre-emptive’ yang diambil oleh Polis Diraja Malaysia dalam menangkap elemen-elemen utama dalam kumpulan-kumpulan militan seperti Jemaah Islamiah (JI), Darul Islam (DI), Al-Qaeda dan Kumpulan Abu Sayyaf sejak 2001 merupakan faktor utama Malaysia terus selamat daripada sudut ancaman kumpulan militan di rantau ini.

Dalam tulisannya, Ismail juga menarik perhatian bahawa senario politik yang disaksikan pada Mac 2008 dijangka berlaturan pada masa-masa akan datang.

“Dalam pilihan raya umum ke-12, negeri Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak jatuh ke tangan parti pembangkang. Di peringkat Parlimen pula, BN gagal memperoleh dua pertiga majoriti.

“Ini menyebabkan keadaan politik di peringkat negeri tidak menentu dan rapuh. Keadaan ini dijangka berlarutan pada masa-masa akan datang,” kata Ismail.

Tambah beliau, pemerintah di peringkat negeri hanya memperoleh majoriti mudah seperti yang dapat dilihat di negeri Perak.

Perikatan Pakatan Rakyat menguasai kerajaan negeri itu pada pilihan raya umum 2008 tetapi tumbang awal 2009 apabila tiga wakil rakyatnya bertindak keluar parti masing-masing.

Dalam perutusan khas Hari Malaysia Khamis lalu, Najib mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Kata Perdana Menteri, dua undang-undang baru itu akan digubal di bawah “semangat serta payung” Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Najib menjelaskan, undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan polis yang lebih pendek daripada yang dijalankan pada masa ini.

Katanya, apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah kecuali undang-undang berkaitan keganasan, masih dikekalkan bawah kuasa menteri.

Dalam ucapan sulung selepas mengambil alih tampuk pemerintahan pada 3 April 2009 Najib telah berjanji untuk mengkaji ISA secara komprehensif.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa Akta Buang Negeri 1959 akan dimansuhkan di samping akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

Malah, kerajaan juga akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

Beliau juga berkata kebenaran berhimpun akan diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak dengan mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa. -TMI



5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

tugas polis menjaga kepentingan negara dan rakyat, bukan menjadi suruhan BN dan menjadi pengawal keselamatan parti itu.

Mudah, apabila UMNO BeEnd tewas dalam PRU13. Maka dengan segala hormatnya sila letak jawatan dan blaaa. Kamu dilantik untuk menjaga keselamatan rakyat bukan dipilih sebagai proksi UMNO BeEnd.

Tanpa Nama berkata...

pdrm ada nampak kalar ijau tak...tarak...aku nampak semua biru jugak.

Tanpa Nama berkata...

ismail omar.
kalau lu berani.
buka uniform.
letak jawatan kpn.
masuk umno.
minta najib jadikan lu calon pru13.
bertanding, mudah2an menang.
kpn apa, macam ni.
sepatutnya lu berkecuali.
bukannya jadi lembu umno.

- musang pillow.

Tanpa Nama berkata...

Terbukti PDRM bukan sebuah ajensi penguatkuasa yang profesional.Tak guna buang wang rakyat hantar pegawai-pegawai keuniversiti,belajar dengan FBI diAmerika Syarikat dan hantar pegawai berkrusus diEngland,tapi jadi cawangan UMNO.Tak ada faedah nak tunjuk pangkat berderet-deret atas bahu,tapi perangai macam ahli JKKK.

Tanpa Nama berkata...

Dah terhina macam tuh pun dia boleh selambe je. Same macam tuan dia jugak. Mati mempertahankan UMNGOK yang dilahirkan oleh british itu boleh dikira syahid ke...? Wahai mufti dan menteri ugama UMNgok mintak penjelasan...