26 Sep 2011

Inkues Sarbaini: Tak Bunuh Diri & Tak Dibunuh, Suruhanjaya Siasatan Diraja Diperlukan

Inkues: Tiada unsur jenayah dalam kematian Sarbaini

Mahkamah Koroner Kuala Lumpur memutuskan Penolong Pengarah Kastam Selangor Ahmad Sarbaini Mohamed, 56 jatuh dari pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kuala Lumpur selepas berada pada belebas tingkap bangunan itu.

Koroner Aizatul Akmal Maharani, dalam penghakimannya kepada mahkamah yang penuh sesak, berkata teori bahawa SPRM terlibat dengan kematiannya tidak boleh diterima.

Sehubungan itu, beliau menolak bunuh diri, homisid ataupun penglibatan pihak ketiga bagi alasan kematian.

"Tidak ada tanda-tanda pergelutan pada kejadian itu dan mahkamah juga menolak bahawa dia membunuh diri."

Menurut koroner, beliau percaya Ahmad Sarbaini terjatuh dari bangunan itu dan dalam keadaan sedar semasa jatuh.

"Mahkamah juga mendapati dia mati serta-merta dalam kejatuhan itu dengan kakinya terjatuh dahulu sehingga mencederakan kedua-dua belah kakinya dan juga mengalami kecederaan teruk di kepala."

Peawai Pejabat Peguam Negara Mohd Abazafree Mohd Abbas membantu dalam inkues itu manakala SPRM diwakili oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Keluarga Ahmad Sarbaini pula diwakili oleh peguam Awtar Singh mewakili manakala peguam Rosli Dahlan dan Nadia Marni Mat Zin bertindak sebagai pemerhati bagi syarikat multinasional DB Schenker Logistics (M) Bhd.

Antara penemuan penting inkues itu adalah bahawa sistem litar tertutup CCTV SPRM didapati diganggu dengan 22 jam rakaman termasuk tempoh apabila Ahmad Sarbaini datang ke premis agensi itu telah dipadamkan.

Seramai 34 saksi memberi keterangan pada inkues yang mengambil masa 14 hari untuk selesai.

Saksi-saksi yang tampil, termasuk dua ahli patologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Faridah Md Nor dan Dr Shahrum Abd Wahid.

Ahmad Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang, ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu pejabat SPRM di Jalan Cochrane 6 April lalu.

Beliau sebelum itu ditangkap sebagai sebahagian daripada program 3B tetapi kemudiannya dibebaskan sebelum kembali kepada SPRM pada hari kejadian itu.

Beliau dilaporkan ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62 pegawai Kastam.

Kawan-kawan dan ahli-ahli keluarga mendakwa terdapat unsur jenayah dalam kematiannya. Mereka berkata, Ahmad Sarbaini adalah seorang pegawai yang bersih dan telah merancang untuk menunaikan fardu haji tahun ini bersama isteri dan ibu bapanya.

Balu allahyarham Masiah @ Maziah Manap dan pengerusi Sosial Care Tan Sri Robert Phang turut hadir di mahkamah. -mk


Peguam keluarga Sarbaini: Keputusan sukar dipercayai

Keluarga allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed mahu lebih banyak masa sebelum mengulas secara rasmi keputusan inkues berhubung kematian penolong pengarah kastam itu.

Abang iparnya, Mohd Shah Jaafar berkata balu Ahmad Sarbaini letih hari ini kerana beliau telah pergi ke bangunan Tabung Haji.

Masiah @ Maziah Manap (kiri) dan Ahmad Sarbaini dijadual menunaikan fardu haji tahun ini.

Berikutan kematian Ahmad Sarbaini, anaknya akan mengantikan bapanya ke Tanah Suci.

Mengulas keputusan Mahkamah Koroner, peguam keluarga, Awtar Singh berkata adalah sukar untuk mempercayai bahawa arwah Sarbaini telah memanjat tingkap untuk melarikan diri.

"Mengapa dia perlu berbuat demikian? Dia pergi (ke sana) secara sukarela. Tambahan pula, tidak ada cap jari yang kelihatan di cermin tingkap dan mereka tidak mengambil pakaian ketua penyiasatan SPRM KL, Ahmad Fauzi (Husin), untuk menjalankan ujian DNA."

Awtar berkata SPRM perlu bertanggungjawab atas kematian itu kerana kejadian berlaku di perkarangan bangunannya.

"Kami sedang memikirkan untuk memfailkan semakan kehakiman, tetapi saya akan menunggu arahan daripada keluarganya."

Mahkamah Koroner hari ini memutuskan kematian Ahmad Sarbaini, 56, disebabkan nahas kerana terjatuh dari aras tiga bangunan SPRM dengan tidak disengajakan.

Koroner Aizatul Akmal Maharani membuat keputusan itu selepas bersidang selama 13 hari dan memanggil 34 saksi sejak 4 Julai lalu.

Aizatul juga menolak unsur dibunuh dan membunuh diri.

Ahmad Sarbaini ditemui mati di aras satu gelanggang badminton bangunan itu di Jalan Cochrane di Kuala Lumpur pada April lalu. -mk

Ulasan GB

Keputusan Koroner sudah dijangkakan. Kerana selama ini pun inkues TIDAK MENEMUI apa-apa bukti untuk membuat keputusan yang lain selain dari "tidak dibunuh dan tidak membunuh diri".

GB sudah mengulas hal ini semenjak inkues bermula:


Persoalan kini, relevankah inkues? Mengapa tidak terus tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja?

Ini kerana rakyat menjadi hairan sudah tiga inkues membuat keputusan yang hampir serupa - tidak menemui "pembunuh sebenar" kepada mangsa. Pergi balik pergi balik mahkamah yang kita perolehi, keputusan yang tidak ada keputusan.

1) Inkues kematian Gunasegaran di mana di dalam kes berkenaan koroner Siti Shakirah Mohtarudin memberikan "keputusan terbuka" berhubung inkues bagi menentukan kematian R Gunasegaran semasa dalam tahanan polis kerana tidak boleh dibuktikan dengan muktamad.

2) Inkues kematian Teoh Beng Hock di mana koroner Azmil Muntapha Abas memutuskan bahawa kes inkues itu juga adalah satu kes “keputusan terbuka” dengan beralasan yang serupa di atas: keterangan yang ada tidak mencukupi atau tidak mencapai tahap yang dikehendaki untuk merekod lain-lain keputusan.

3) Inkues kematian pengawal Istana Kelantan, Ramli Mohamad, Koroner Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat juga memberikan "keputusan terbuka" kerana dikatakan tidak mempunyai keterangan yang mencukupi untuk menyabitkan mana-mana individu yang menyebabkan kematian itu.

Apa cerita ni? Buang masa, buang wang negara dengan pewujudan inkues.

Hakim-hakim seperti "takut" untuk menetapkan hukuman dan seperti mahu melindungi pihak tertentu kerana ketiga-tiga kes di atas melibatkan pihak polis & pegawai SPRM sendiri.

Jika demikianlah keadaannya, rakyat wajar persoalkan peranan Istana Keadilan (Palace of Justice), peranan hakim-hakim dan peranan institusi kehakiman negara yang sepatutnya menjadi payung kebenaran dan keadilan tetapi kini musnah akibat dari sikap para hakim yang tidak bertaggungjawab.


Di dalam inkues kematian Sarbaini ini, apa yang nyata koroner TIDAK lansung mengarahkan siasatan mengapa CCTV tiba-tiba tidak berfungsi selama 22 jam dan rakaman termasuk tempoh apabila Ahmad Sarbaini datang ke premis agensi itu telah dipadamkan. Itu kecacatan paling besar di dalam inkues kematian Ahmad Sarbaini.

Ia adalah penting tetapi koroner mengabaikannya. GB sudah juga ulas hal ini. Petikan:

GB melihat isu ini sama seperti isu kematian Teoh Beng Hock - bahawa - Ahmad Sarbani adalah mangsa kepada pegawai-pgawai SPRM yang salahguna kuasa, angkuh dan sentiasa berdusta apabila memberi keterangan.

Kita masih tertanya-tanya: Siapa padamkan rakaman CCTV sewaktu Ahmad Sarbani disoalsiasat? Itu perlu diberikan penekanan di peringkat awal siasatan.

MUSTAHIL samasekali CCTV terhenti atau tidak berfunsi di dalam keadaan itu sedangkan CCTV dapat merakam ketibaan Ahmad Sarbani di pejabat SPRM dengan menaiki motorsikal sebelumnya. Ini bererti pihak orang dalam SPRM atau PDRM yang menyiasat TELAH menghapuskan rakaman CCTV berkenaan.


JUSTERU ITU, rakyat berpersepsi bahawa Suruhanjaya Siasatan perlu ditubuhkan. Tiada alasan lain lagi selepas ini. Jika sebelum ini pihak kerajaan menyatakan bahawa inkues perlu diadakan terlebih dahulu sebelum Suruhanjaya Siasatan, maka kini keputusan koroner itu amat tidak memuaskan kerana seperti menutup kepincangan di dalam SPRM seperti yang berlaku di dalam kes Teoh Beng Hock. Justeru itu Suruhanjaya Siasatan perlu ditubuhkan untuk membongkar misteri sebenar kematian ALlahyarham Ahmad Sarbaini.

1 ulasan:

Awanama berkata...

Kah... kah... kah... kah....

Aku teringat mahkamah yang diadakan sidangnya dalam wayang P.Ramlee 'anak bapak'. Kah... kah... kah... kah.... Lawok anrare bangse...

Rakyat dah tolak, dirakyatkan pulak pendatang asing supaya boleh mengundi. Kah.. kah.. kah... kah...

Pecacai yang tak sedar diri akan terjual sendiri. Jangan dah terantuk nanti baru nak tengadah...

Melayu.. melayu...

Kena 'hulur' sedikit dah layu... Aku turut sayu namun belum buntu. Ku tunggu PRU untuk membuat penentu.