26 Sep 2011

Syarikat Dari KL Buang Al-Quran Di Bangsal Lembu Di Bachok

Buang al-Quran di bangsal lembu

BACHOK - Penduduk Kampung Pauh Sembilan dekat sini gempar apabila menemui beribu-ribu naskhah al-Quran yang ditinggalkan di sebuah bangsal lembu dipercayai untuk dilupuskan secara tidak sah.

SEBAHAGIAN daripada beribu naskhah al-Quran yang dibuang di bangsal lembu di Bachok, Kelantan semalam.

Seorang penduduk, Mamat Harun, 65, berkata, kira-kira pukul 12 tengah hari kelmarin, sebuah treler telah memasuki kampungnya dan dia sempat melihat beberapa lelaki sedang memunggah kotak ke dalam sebuah lori kecil.

Menurutnya, treler tersebut berhenti dalam jarak satu kilometer dari bangsal tempat al-Quran tersebut ditinggalkan dan terpaksa menggunakan lori kecil untuk mengangkutnya.

"Jalan ke bangsal ini sempit, jadi treler berhenti di simpang jalan dan mereka menggunakan sebuah jengkaut untuk memindahkan al-Quran dari treler ke sebuah lori kecil sebelum dihantar ke bangsal tersebut.

"Saya sempat tanya, mereka beritahu dari Kuala Lumpur dan diarahkan untuk menghantar al-Quran tersebut ke sini untuk disimpan," ceritanya ketika ditemui semalam.

Tambahnya, jarak antara rumahnya ke bangsal tersebut hanyalah 200 meter dan pada mulanya dia tidak mengesyaki apa-apa yang pelik.

Bagaimanapun dia mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena berlaku selepas beberapa orang polis dan pegawai pejabat agama datang ke kawasan tersebut petang kelmarin.

Katanya, bangsal tersebut yang seluas 1.4 meter x 2.8 meter itu pernah dijadikan tempat menyimpan makanan lembu seperti dedak dan rumput namun tetapi kini tidak lagi digunakan oleh pemiliknya.

Sementara itu, sumber Pejabat Agama Jajahan Bachok memberitahu, siasatan awal mendapati al-Quran tersebut mungkin untuk dilupuskan.

Ia berikutan terdapat kecacatan daripada segi cetakan dan reka bentuk ataupun kesilapan pada ayat al-Quran itu sendiri.

Katanya, al-Quran tersebut telah dihantar ke sini oleh sebuah syarikat dari Kuala Lumpur dan akan diserahkan kepada individu tertentu untuk dilupuskan dan bangsal tersebut hanya dijadikan transit.

"Kita telah membuat laporan polis dan siasatan akan dijalankan untuk mengesan individu terbabit kerana tindakan melupus al-Quran perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan hanya boleh dibuat di kawasan tertentu sahaja.

"Saya dimaklumkan tempat untuk melupus al-Quran ini hanya di Kuala Lumpur dan prosesnya melibatkan kos yang tinggi. Jadi, ini mungkin salah satu cara pihak tersebut untuk mengurangkan kerugian yang dialami," ujarnya.

Jelas beliau, pihaknya telah menutup kawasan tersebut dan kesemua al-Quran terbabit juga ditutup dengan rapi bagi mengelakkan ia disalah guna.

Kawasan tersebut kini di bawah pemantauan polis sehingga siasatan selesai dan tindakan susulan diambil. -kosmo

Helaian al-Quran tersilap cetak terbiar

BACHOK: Penemuan puluhan ribu kertas tertera ayat suci al-Quran yang ditinggalkan di sebuah bangsal di Kampung Tok Edeng, dekat Beris Kubor Besar, di sini, menggemparkan penduduk kampung berkenaan, semalam.

Difahamkan, helaian al-Quran tersilap cetak yang dibawa dari Kuala Lumpur menggunakan sebuah treler itu akan dilupuskan dengan cara dibakar, tetapi kerja melupuskan itu belum dilakukan.

Penduduk, Mamat Ali, 60, berkata, pada mulanya dia ternampak sebuah treler ditutupi kanvas berhenti di tepi jalan kira-kira 200 meter dari rumahnya, pada jam 12 tengah hari.

Katanya, sebaik treler itu berhenti, sebuah jengkaut menghampiri kenderaan itu dan memunggah helaian al-Quran berkenaan ke sebuah lori kecil sebelum diletakkan di sebuah bangsal.

“Sebelum itu, seorang adik angkat saya berusia 40-an di Kuala Lumpur memaklumkan mahu menghantar helaian al-Quran yang tersilap cetak untuk dibakar.

“Saya tidak menyangka jumlahnya terlalu banyak serta tindakannya itu dibimbangi menyalahi undang-undang dan sepatutnya ia dimaklumkan kepada pihak berwajib,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurut Mamat, penemuan helaian al-Quran tersalah cetak itu dimaklumkan kepada penduduk kampung lain sebelum menghubungi polis dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) untuk pemeriksaan.

Katanya, adik angkatnya akan berurusan dengan pihak Maik mengenai perkara berkenaan sementara menunggu tindakan lanjut.

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Muhamad Shukri Mohamad, ketika dihubungi berkata, berdosa dan haram hukumnya kepada mana-mana individu yang membuang ayat suci al-Quran di merata tempat.

Katanya, Islam menggariskan beberapa peraturan dalam usaha melupuskan naskhah al-Quran sudah rosak, buruk dan tidak boleh digunakan, namun ia perlu mengikut kaedah tertentu termasuk dilakukan syarikat dilantik khas Kementerian Dalam Negeri (KDN) Bahagian Penerbitan Al-Quran yang mempunyai cawangan di negeri ini.

“Jika ayat suci al-Quran itu dibuang di merata tempat, individu terbabit disifatkan menghina kesucian al-Quran kerana jika hendak dilupus sekalipun perlu menggunakan kaedah tertentu seperti dibakar menggunakan tong khas sebelum abunya dikumpulkan dan dibuang ke laut atau ditanam di kawasan khusus.

“Kaedah ini diperakukan KDN kepada pihak yang diberi tanggungjawab. Oleh itu, saya menyifatkan tindakan pihak berkenaan membuang helaian ayat al-Quran dengan sewenang-wenangnya dosa mengikut hukum syarak,” katanya. -hm



5 ulasan:

Awanama berkata...

kenapa pilih tempat di kelantan? jarak perjalanan yang terlalu jauh. Kenapa tidak di KL atau N Sembilan atau Melaka? Mungkin ada muslihat jahat, dan kenapa tidak mengikut kaedah yang dibenarkan?

Awanama berkata...

nak sabotaj kelantan laa kot

1 Malaysia berkata...

Haram jadah punya manusia. Khianat? Sudah pasti. Jom ramai-ramai robohkan syarikat tu.

Awanama berkata...

tak tan tak rau lagi ,ini semua tektik nak nak buruk2kan n kelantan dibawah pas.

Pelupusan Ayat-Ayat Suci Al-Quran berkata...

Janganlah kita politikkan agama. Islam mengajar kita bertanggungjawab. Masih terbuka lagi pintu taubat.

Perkhidmatan Pelupusan Ayat-Ayat Suci Al-Quran