11 Jun 2011

4 Sekeluarga Mangsa Kemalangan Dikebumi Dalam 1 Liang

Kuala Kangsar: Jenazah empat beranak yang terkorban dalam kemalangan ngeri di Kilometer 73 Jalan Kuala Kangsar-Grik di Sauk, dekat sini petang kelmarin, selamat disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kenas, di sini semalam.

Gambar: SUASANA pilu menyelubungi majlis pengebumian empat sekeluarga di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kenas, Kuala Kangsar.

Suasana hiba menyelubungi sebaik satu persatu jenazah iaitu pasangan pesara guru, Allahyarham Zenodin@Zainuddin Abas dan isteri, Azizah Mahmood, masing-masing berusia 69 tahun; anak perempuan mereka, Zalinda, 33, serta cucu yang juga anak Zalinda, Aishah Suffian Afendi, 7, diturunkan ke dalam liang.

Suami Zalinda, Suffian Efendi Ahmad Apandi, 35, yang bertugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat di ibu negara, hanya mampu menahan sebak menyambut jenazah isteri, anak dan kedua ibu bapa mentuanya sebelum teresak-esak sebaik mula menyiram pusara selepas selesai pengebumian kira-kira jam 11.30 pagi.

Beliau bagaimanapun enggan ditemubual wakil media kerana terlalu sedih dengan tragedi terbabit, malah perasaan sama turut dikongsi sanak saudara terdekat keluarga itu yang berada di tanah perkuburan berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 petang kelmarin, kereta dipandu Zenodin yang dalam perjalanan pulang dari kampung keluarga isterinya di Pasir Mas, Kelantan ke rumah mereka di Taman Sultan Yusuf, Bukit Chandan, di sini dipercayai terbabas sebelum merempuh besi penghadang jalan yang kemudian tertusuk masuk ke dalam kenderaan.

Seorang lagi anak perempuan Zalinda, Nurul Sarah, 2, parah dan masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Sementara itu, anak kedua Zenodin, Zalita, 42, pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata ibu bapanya memang selalu berjalan jauh termasuk ke ibu negara melawatnya dan empat lagi adik beradik, tetapi tidak pernah terbabit dalam kemalangan walaupun arwah bapanya menghidap darah tinggi.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air negeri, Datuk Ramly Zahari, berkata laluan menghubungkan Kuala Kangsar-Grik sepanjang kira-kira 200 kilometer itu memang banyak merekodkan kemalangan maut sejak beberapa tahun lalu. -BH


Empat sekeluarga maut apabila besi pengadang tertusuk kereta

KUALA KANGSAR (Perak): Empat sekeluarga terbunuh manakala seorang lagi parah dalam kemalangan ngeri apabila besi pengadang jalan tertusuk ke dalam kereta mereka yang terbabas di Kilometer 73, Jalan Kuala Kangsar-Gerik, di Sauk, dekat sini, kelmarin.

Mereka yang terbunuh dalam kejadian kira-kira 2.40 petang itu ialah pasangan guru pesara, Encik Zenodin@Zainuddin Abas dan isterinya, Cik Azizah Mahmood, masing-masing berusia 69 tahun; anak perempuan mereka, Cik Zalinda, 33 tahun, serta cucu mereka yang juga anak Cik Zalinda, Aishah Suffian Afendi, tujuh tahun.

Seorang lagi anak Cik Zalinda, Nurul Sarah, yang juga adik Aishah, parah dan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Ketika kejadian, mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Bukit Chandan, dekat sini, bagi menghadiri kenduri kahwin selepas menziarahi keluarga Azizah di Pasir Mas, Kelantan.

Cik Zalinda dan dua anaknya tinggal di Kuala Lumpur dan mereka pulang ke kampung sempena cuti sekolah sebelum mereka sekeluarga pergi ke Kelantan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Timbalan Superintenden (DSP) Guan Beng Kang, berkata siasatan awal mendapati Encik Zenodin yang memandu dipercayai gagal mengawal kenderaan dan terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan itu.

'Berikutan kejadian itu, tiga daripada mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi maut ketika mendapat rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Sauk. Nurul Sarah pula dihantar ke HRPB bagi rawatan lanjut,' katanya.

Sementara itu, suami Cik Zalinda, Encik Suffian Efendi Ahmad Apandi, yang ditemui di HRPB tidak dapat ditemu bual kerana terlalu sedih dengan kehilangan isteri dan seorang anaknya itu.

Anak perempuan sulung Encik Zenodin, Cik Zaliana, 44 tahun, pula berkata, kali terakhir beliau bertemu ibu bapanya adalah pada Rabu lalu sebelum mereka bercuti ke Kelantan.

'Dalam pertemuan terakhir itu, bapa pernah bertanyakan saya bila mahu pulang ke Kuala Kangsar. Namun, saya tidak menyangka pesanannya itu tanda beliau mahukan kesemua anaknya berkumpul dan melihat jenazahnya buat kali terakhir,' katanya. -- BH


Tiada ulasan: