28 Mei 2011

Bir Arab Haram! Mengandungi Kadar Alkohol Melebihi Yang Dibenarkan Syarak

Bir halal’ jadi haram

JOHOR BAHRU: Mengejutkan apabila ujian makmal yang dijalankan terhadap minuman yang popular sebagai `bir halal’ di kalangan pengguna Islam dikesan mengandungi alkohol pada kadar melebihi jumlah dibenarkan syariat.

Penemuan kandungan alkohol sebanyak 0.5 peratus itu terbongkar selepas pengguna yang meragui minuman itu membuat aduan kepada Jabatan Agama Johor (JAJ) dengan membawa sendiri ‘bir halal’ itu untuk dianalisis, seterusnya mendapatkan kepastian.

Menurut sumber, JAJ kemudian menghantar sampel minuman ke Jabatan Kimia untuk pengesahan dan hasil ujian makmal yang dijalankan mendapati bir halal diperbuat daripada pelbagai perisa buah-buahan itu mengandungi 0.5 peratus kandungan alkohol.

“Berikutan penemuan itu, JAJ memaklumkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) untuk tindakan selanjutnya.

“JAJ perlu memaklumkan penemuan itu kepada Jakim kerana difahamkan minuman itu (gambar) menjadi kegemaran ramai dan selama ini dianggap halal. KDRM pula perlu mengambil tindakan lanjut kerana minuman itu diimport dari luar negara,” katanya.

Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin ketika mengulas perkembangan itu berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan kandungan alkohol dalam makanan serta minuman yang dibenarkan syariat Islam ialah tidak melebihi 0.01 peratus.

“Makanan atau minuman disahkan halal jika terdapat kandungan alkohol tidak melebihi 0.01 peratus. Ulama bersepakat menetapkan jumlah alkohol dengan kuantiti itu kerana ia boleh terhasil dalam makanan dan minuman secara semula jadi.

“Kuantiti itu amat kecil dalam kebanyakan buah-buahan serta tumbuh-tumbuhan. Ia bukan najis dan boleh dimakan atau diminum umat Islam,” katanya.

Sementara itu, sumber Jakim berkata, kebanyakan pengguna Islam yang gemar minum minuman itu mungkin tidak menyangka kewujudan alkohol dalam minuman itu berikutan ia dikilang dan diimport dari negara Islam di Timur Tengah.

Menurutnya, tambah meyakinkan apabila label pada luar produk berkenaan tertera tulisan minuman itu bebas alkohol dan hadir dalam pelbagai jenis perisa buah-buahan.

“Ia mula popular sejak lebih setahun lalu di kalangan masyarakat apabila minuman botol itu mudah diperoleh di kedai runcit, restoran termasuk kafe pada harga antara RM3 hingga RM5 sebotol
.

“Persoalan bagaimana alkohol ini wujud dalam minuman ‘halal’ berkenaan masih dalam siasatan berikutan ia berkemungkinan di kilang di dalam bangunan sama dengan minuman keras,” katanya. -hm

6 ulasan:

1 Malaysia berkata...

Mana ada 'bir halal' dalam Islam? Ini yang dikatakan Melayu. Sikit-sikit tak salah. Rasuah sikit, tak pa. Pegang sikit, tak pa. Minum bir sikit, tak pa sebab tak mabuk. Lepas ni mungkin suatu hari nanti, ambil sikit daging babi pun tak pa kot.
Macam kes rokok, majlis fatwa kata haram. orang Melayu kata tak pa, makruh aja. Ada yang sampai kata, dalam Al-Quran tak tulis pun rokok tu haram. Yang ada, minuman yang memabukkan. Itu pun ambil sikit tak pa sebab tak mabuk. Kena tunggu sampai mabuk, baru haram. Ini fatwa Melayu kita la tu. Kalau tidak, mana mungkin wujud 'bir halal'? Mangkok punya manusia, otak kat lutut.

Awanama berkata...

betul tu

abdullah iman berkata...

Ada satu hadis tentang akhir zaman,

Daripada Abu Malik Al-Asy'ari r.a. bahawasanya ia mendengar Rasulullah saw. bersabda, "Sesungguhnya ada sebahagian dari umat ku yang akan meminum khamar dan mereka menamanya dengan nama yang lain (mereka meminum) sambil dialunkan dengan bunyi muzik dan suara artis- artis. Allah swt. akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi (dengan gempa) dan Allah swt. akan merobah mereka menjadi kera atau babi".

Hadis ni riwayat ibn Majah.

Tula kita manusia, masa kat dunia tidur, dah mati baru terjaga!

Skinner berkata...

nasib baik aku xpenah minum. cmna la bnda2 mcm ni bole terlepas pandang. rasuah kut...

Awanama berkata...

byk kot air lain.... nak nak jugak ayer kencing tuh... kaler dah lebih kurang... ha3...

Awanama berkata...

Masa g umrah dulu, perasan kat arab bnyk botol2 menyerupai bir ni, saya tk berani nk minum tp ada jemaah yg jenis tk sensitif, dia mcm ckp jgn kolot sgtlah igt botol mcm ni semua bir... saya ni cuma berhati2, mcm tempat kita la, negara org islam tp produk dibuat org bukan islam, bila dieksport, pembeli akan igt org islam yg buat... berhati2 bila mknn atau minuman menyerupai sesuatu yg haram dimakan... cth kan ada snek jepun yg menyerupai tuala wanita, tahi dsb..