28 Mei 2011

Bas-bas Ekspres Berlanggar Berpunca Dari Sebuah Lori

Ipoh - Akibat berhenti secara mendadak, sebuah bas ekspres bukan sahaja dilanggar sebuah kereta tetapi turut menyebabkan dua lagi bas ekspres yang berada di belakang sama terlibat dalam kejadian itu.

Gambar: BAHAGIAN hadapan bas ekspress musnah selepas melanggar bahagian belakang sebuah bas ekspres lain yang cuba mengelak dari berlanggar dengan sebuah lori, di KM 282.4, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, berhampiran Plaza Tol Ipoh Selatan, menyebabkan 10 penumpang cedera, semalam. Foto Ikhwan Munir

Kejadian berlaku di lorong kecemasan kilometer 282.5 Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke Kuala Lumpur dekat susur masuk ke Simpang Pulai, awal pagi semalam, ketika bas ekspres itu secara tiba-tiba menekan brek bagi mengelak daripada dihimpit sebuah lori treler.

Akibat tindakan itu, sebuah kereta yang berada di belakang melanggar bas berkenaan diikuti dua bas ekspres lain yang turut berlanggar secara berturutan menyebabkan lima cedera ringan.

Ketua Trafik Ipoh, Deputi Superitendan Mohd Rodzi Rejab ketika dihubungi berkata, perlanggaran itu menyebabkan lima penumpang bas terakhir cedera sementara bas yang pertama, kereta dan bas kedua mengalami kerosakan yang serius di bahagian belakang serta hadapan.

Menurutnya, bas milik syarikat Sri Maju yang berada di hadapan dipercayai dalam perjalanan dari Alor Setar ke Johor Bharu sementara bas kedua iaitu Intercity dari Alor setar ke Melaka dan bas ketiga iaitu Maraliner dipercayai dalam perjalanan dari Kangar ke Kuantan.

“Semua penumpang yang cedera hanya mmengalami cedera ringan dan menjalani rawatan pesakit luar di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Rodzi berkata, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 10, Akta Pengangkutan Jalan 1987, khususnya terhadap pemandu bas Maraliner yang berada di belakang sekali.

Katanya, sebarang keputusan juga akan merujuk kepada akta berkenaan. -SH

Tiada ulasan: