28 Mei 2011

Pelatih PLKN Lahirkan & Buang Bayi Di Belakang Asrama [updated]

Rahsiakan Kelahiran Bayi, Pelatih PLKN Cancun Park Ditahan

PASIR MAS 27 MEI : Seorang pelatih perempuan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Cancun Park, Bukit Tuku dekat sini ditahan polis kerana menyembunyikan kelahiran sehingga menyebabkan kematian bayinya, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Haliludin Rahim berkata kelahiran 'rahsia' pelatih berkenaan disedari selepas pelatih itu yang mengadu sakit dibawa mendapatkan rawatan di sebuah hospital di sini.

"Pihak hospital kemudian mengesahkan suspek telah melahirkan anak sebelum pihak kita menjalankan pemeriksaan mencari mayat bayi perempuan yang dilahirkan suspek di kawasan kem berkenaan kira-kira pukul 4 petang semalam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Gambar: MAYAT bayi perempuan seberat 2.6 kilogram dijumpai di dalam kawasan Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Taman Cancun, Pasir Mas dibawa ke Hospital Pasir Mas, Kota Bharu untuk dibedah siasat. - Foto Syamsi Suhaimi

Beliau berkata mayat bayi tersebut dipercayai dijumpai kakitangan PLKN kem berkenaan di belakang asrama pelatih perempuan dalam kawasan kem.

"Mayat bayi seberat 2.6 kilogram tersebut ditemui masih bertali pusat dan dilahirkan cukup sifat. Mayat itu kemudiannya di bawa ke hospital Pasir Mas untuk dibedah siasat,"
katanya.

Katanya pelatih berkenaan kini dibawa mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Kota Baharu dan ditahan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara Datuk Abdul Hadi Awang Kechil ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kes berkenaan.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti pelatih bagi menjaga maruah pelatih dan keluarga.

"Kita menerima laporan mengenai kes itu dan saya telah mengarahkan komander kem mengambil tindakan mengikut perintah yang ditetapkan dan membuat laporan polis," katanya.

Abdul Hadi berkata pelatih tersebut baru melaporkan diri bersama 300 pelatih lain untuk siri kedua pada 15 Mei lepas.

Menurutnya, pelatih tersebut menjalani pemeriksaan kesihatan seperti pelatih lain sebelum melaporkan diri dan lulus dalam pemeriksaan tersebut.


Tiada ulasan: