26 Apr 2011

Siapa Si Perut Boroi Dalam Video Seks Itu Masih Jadi Tandatanya

Video Seks: Polis Akan Dedah 'Si Pelaku' Sekiranya Perlu

SUBANG: Polis tidak teragak-agak untuk mendedahkan "si pelaku" dalam video seks yang didakwa mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada umum sekiranya perlu, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar.

"Siasatan masih lagi dijalankan. Apa jua perkara yang kita perlu dedahkan kepada umum kita akan dedahkan, yang mana perkara yang tak perlu kita dedahkan kita tak perlu dedahkan.

"Bagi pihak kami (polis) siasat dahulu, apabila sampai masanya polis akan beritahu siapa pelakunya dan kita masih siasat kes ini di bawah Seksyen 292 Akta Kanun Keseksaan (kerana kesalahan mengedar bahan lucah)," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Ketua-ketua Jabatan Siasatan Jenayah dari seluruh negara di sini Selasa.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin, timbalannya Datuk Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah.

Ditanya mengenai sebab Peguam Negara mengembalikan semula kertas siasatan kes berkenaan, Khalid menegaskan bahawa ia merupakan prosedur biasa dalam melengkapkan kertas siasatan sesuatu kes.

"Kita dah siapkan kertas siasatan itu, sudah tentu kita akan hantar kertas siasatan kepada pejabat Peguam Negara. Sekiranya dia (Peguam Negara) melihat terdapat perkara-perkara yang belum jelas pada kertas siasatan itu ianya akan dipulang semula kepada kita.

"Dengan ini kita akur dengan apa jua arahan yang diberikan pada kita. Ini proses biasa dan kemungkinan kita akan serahkan semula kertas siasatan kepada Peguam Negara minggu ini," katanya.

Pada 21 Mac lepas, video itu dipertontonkan kepada beberapa wartawan terpilih oleh satu kumpulan yang dikenali sebagai "Datuk T" di Carcosa Seri Negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar baru-baru ini mengumumkan bahawa rakaman video seks itu adalah tulen selepas disahkan oleh pakar tempatan yang memeriksa video berkenaan.

Mengenai perkembangan kes kematian pegawai kanan Kastam Diraja Malaysia, Ahmad Sarbani Mohamed di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur, Khalid berkata Peguam Negara masih meneliti kertas siasatan yang telah diserahkan pada Jumaat lepas.

"Kita masih lagi menunggu beberapa laporan-laporan dari pakar yang belum siap sepenuhnya sebelum Peguam Negara boleh buat keputusan," katanya.

Mesyuarat pada Selasa membincangkan mengenai perkara-perkara baru dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk cara menyelesaikan siasatan kes dan mengesan saksi.- BERNAMA


Polis mahu lindungi 3Boroi, usaha kenakan DSAI - Shamsul

KUALA LUMPUR: Pihak polis sekali lagi berdolak-dalik dalam isu video seks palsu, apabila mengeluarkan kenyataan yang menjurus usaha untuk mengenakan tuduhan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terbaru, kenyataan polis yang diumumkan Timbalannya yang baru dilantik, Datuk Khalid Abu bakar bahawa mereka tidak akan teragak-agak untuk mendedahkan pelaku yang didakwa mirip Ketua Pembangkang itu.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pendirian polis itu dilihat cenderung menyebelahi Trio Datuk T, sedangkan polis telah membuat kenyataan untuk menyiasat ketiga-tiga saspek tersebut sebelum ini.

“Apakah mereka mempunyai keistimewaan? Daripada pemerhatian kita, setiap kali Rahim dan yang lain mengeluarkan kenyataan, ia ‘disambut’ oleh pihak polis, sama ada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah atau pun Timbalannya.

‘Perkara ini adalah percubaan kepada keadaan untuk membina persepsi di kalangan orang ramai, sedangkan kes tersebut masih dalam siasatan. Ini menguatkan hujah kita bahawa dari awal lagi kes ini jelas bermotif politik.

“Apa yang kita lihat, kenyataan polis seolah-olah mengugut pengadu (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” kata Shamsul kepada Keadilandaily.

Menurut Shamsul, polis menerusi Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Acryl Sani Abdullah, 18 April lalu mengesahkan kemungkinan untuk mengenakan tindakan terhadap Datuk T kerana kesalahan mengedar dan menayang video lucah- mengikut seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Bagaimana pun, sehingga kini Trio tersebut yang terdiri daripada bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, Ahli Perniagaan Datuk Eskay Shazryl Abdullah dan bendahari Pribumi Perkasa, Datuk Shuib Lazim, masih belum dikenakan tindakan.

Dalam pada itu, Shamsul mempersoalkan kenyataan polis yang tidak konsisten, apabila mendedahkan kepada media mengenai maklumat separuh masak yang mengelirukan orang ramai.

Dalam laporan Berita Harian bertarikh 21 April 2011, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, video tersebut dianalisis oleh sebuah agensi penyiaran yang tidak dinamakan dan kononnya berpangkalan di Korea Selatan.

Manakala pada hari ini, Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin seperti dilaporkan Bernama memaklumkan, video tersebut dianalisis oleh pakar tempatan.

“Yang mana satu sebenarnya? Kenyataan yang dikeluarkan oleh polis tidak konsisten dan mengelirukan.

Dalam hal ini, wujud dua set undang-undang. Satu untuk Barisan Nasional dan satu lagi untuk Anwar Ibrahim.

Malah kata Shamsul, keterangan yang diberi Eskay sebelum ini, juga bercanggah dengan kenyataan yang dibuat pihak polis.

Antaranya Eskay memaklumkan bahawa kejadian tersebut membabitkan seorang pelacur warganegara China di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Manakala pihak polis pula menyatakan pelaku wanita dalam video seks tersebut adalah seorang pelajar sebuah kolej swasta dan ia dirakam di sebuah kondominium di ibu negara.

“Polis sepatutnya meneruskan siasatan terhadap ‘Trio Datuk T’, bahkan sehingga hari ini, laporan Qazaf terhadap mereka bertiga telah dibuat. Namun tiada sebarang tindakan diambil.

“Ini adalah percubaan Barisan Nasional untuk meneruskan siri-siri serangan terhadap Anwar. Selepas kes fitnah liwat gagal, kini mereka bersiap sedia untuk memulakan serangan terbaru,” ujar Shamsul. -keadilandaily


Tiada ulasan: