26 Apr 2011

Mohd Sabu Tawar Diri Sebagai Timbalan Presiden - Pandangan GB.

Mat Sabu tawar tanding jawatan timbalan presiden

Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Mohamad Sabu bersedia untuk memikul peranan sebagai timbalan presiden jika itu yang dihasratkan oleh ahli-ahlinya.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini, beliau yang mesra dikenali sebagai “Mat Sabu” berkata, sehingga kini pencalonan diterimanya bagi jawatan timbalan presiden PAS amat menggalakkan.

Beliau pernah mencuba nasib merebut jawatan nombor dua itu pada pemilihan 2009 tetapi tewas mengatasi Nasharudin Mat Isa.

Justeru, kata beliau, keputusan untuk bertanding bagi jawatan itu dibuat ekoran pencalonan memberangsangkan dari peringkat kawasan.

“Saya bersedia memberi khidmat bagi jawatan timbalan presiden... saya bersedia sekiranya diberi peluang pada pemilihan PAS Jun ini,” kata bekas ahli Parlimen Kuala Kedah ini.

“Saya diberitahu telah menerima banyak pencalonan daripada kawasan untuk jawatan timbalan (presiden), tapi saya tidak tahu berapa banyak, yang saya sudah terima dan difahamkan saya terima pencalonan daripada PAS kawasan di Johor, Perak dan juga Selangor,” katanya.

Beliau merupakan naib presiden ketika bertanding jawatan timbalan presiden dua tahun lalu.

Mohamad, 55, berkata beliau tidak pasti sekiranya akan ada pertandingan bagi jawatan nombor dua kali ini.

“Sama ada ada pertandingan atau tidak, saya tidak tahu. Tapi saya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab itu kalau diterima perwakilan,” katanya.

PAS akan mengadakan pemilihan parti itu pada Muktamar Tahunan ke-57 di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad di Taman Melewar, Gombak awal Jun ini.

Tarikh akhir bagi mengemukakan pencalonan adalah 15 Mei.

Sebelum ini, Mohamad berkata, beliau hanya akan bertanding bagi jawatan timbalan presiden PAS sekiranya mendapat sokongan dan pencalonan yang kuat di peringkat kawasan.

Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ini berkata, beliau menawarkan diri sekali lagi untuk bertanding kerana mahu membantu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegakkan keadilan Islam, khasnya di negeri yang diperintah Pakatan Rakyat.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang sebelum ini disebut-sebut akan bertanding jawatan timbalan presiden telah mengumumkan tidak akan berbuat demikian.

Dua tahun lalu selain Mohamad, turut bertanding mencabar Nasharudin ialah Datuk Husam Musa, seorang lagi naib presiden ketika itu dan Exco Kerajaan Negeri. -TMI

Ulasan GB

Bagi GB, GB TIADA HALANGAN untuk Mohd Sabu bertanding jawatan Timbalan Presiden, sekalipun tidak pula menggalakkannya.

Beliau berhak menawar diri, apabila kita melihat PAS sebagai sebuah parti politik konvensyenal yang mengamalkan lunas demokrasi. Sesiapa pun boleh menawar diri dari bertanding untuk apa jawatan sekalipun.

Seorang pemimpin pemuda memberitahu GB bahawa kita perlukan Mohd Sabu untuk "menghidupkan" parti yang sudah lesu, kita perlukan Mohd Sabu untuk membawa parti ke jalanraya semula.

Mohd Sabu memang dikenali dengan kelantangan, keberanian dan kebolehannya sebagai "crowd puller". Himpunan BERSIH adalah sinonim dengan namanya.

Tetapi perlukah seseorang itu berjawatan tertinggi di dalam parti untuk tujuan berkenaan?

Kita perlu menyedari bahawa kepimpinan dalam Islam bukan sekadar mempengaruhi orang, tetapi pemimpin menurut Islam adalah pemandu umat dalam melaksanakan amanah ketuhanan, “devine trust” – memelihara agama dan menguruskan dunia. Kepimpinan dalam Islam merupakan Tanggungjawab dan Amanah, bukannya suatu “tasrif” (kebesaran/kebanggaan).

Jawatan Timbalan Presiden bukan calang-calang jawatan di dalam parti. Maknanya di sini, Timbalan Presiden akan mengambil alih jawatan Presiden apabila Presiden itu tiada lagi samada uzur, meletak jawatan, menjadi Mursyidul Am, meninggal dunia dan lain-lain. Dua pemegang jawatan tertinggi parti adalah juga "tempat rujuk" bagi umat Islam, apabila melihat parti Islam juga sebagai sebuah jemaah Islam, bukan sekadar sebuah parti politik.

Oleh kerana ia bakal menjadi tempat rujuk, untuk dua jawatan tertinggi di dalam parti itu sebaik-baiknya diisi oleh mereka yang setidak-tidaknya mempunyai ijazah sarjana, bukan sekadar seorang pemegang diploma. Tetapi bukan pula haram bagi pemegang diploma menawarkan diri untuk jawatan tersebut.

PAS kini perlukan pemimpin yang bukan saja pandai berpidato dan pandai mengarah, tetapi pandai bekerja. Pandai bekerja dalam ertikata berkeahlian di dalam merancang, mentadbir, mengurus, menyelia dan mengawal di dalam konteks dunia pengurusan moden, disamping pada masa yang sama mampu menjadi "imam" kepada ummah yang pada dirinya ada ciri yang mencontohi Rasulullah yang bergelar "uswatun-hasanah". Mesti berilmu. Wajib ada pada dirinya juga ciri-ciri siddiq, tabligh, amanah dan fatanah.

Sabda Rasulullah SAW ketika beliau menyampaikan hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah:

“Sesungguhnya kalian nanti akan sangat bercita-cita menjadi pemimpin, padahal kelak di hari kiamat ia akan menjadi penyesalan.” (HR. Al-Bukhari).

Daripada Abdul Rahman Ibn Samurah, katanya: “Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku: “Wahai Abd Rahman Ibn Samurah janganlah engkau memohon sesuatu jawatan pemimpin (kepimpinan). Sesungguhnya jika diberikannya (jawatan pemimpin) dengan permintaan engkau (disebabkan cita-citamu), maka engkau akan diserahkannya tanpa ditolong (menanggung seluruh bebannya). Tetapi jika engkau diberika kepimpinan tanpa meminta (ditugaskan tanpa cita-citamu), maka engkau akan ditolong (untuk mengatasinya).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Walau apapun, selamat maju jaya kepada Mohd Sabu yang TELAH BERSETUJU menawarkan dirinya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden.

p/s Jika Mohd Sabu nak menang, pastikan beliau tahu menggunakan facebook, twitter, blog secara sendirian (buakn mengupah orang mengendalikannya) kerana itu KEMESTIAN buat seorang pemimpin di zaman ini. Jika di zaman Rasulullah seseorang perlu tahu berperang menggunakan kuda, pedang dan panah, namun senjata-senjata itu kini adalah berupa facebook, twitter dan blog. Bukankah jenderal Islam yang akan memimpin jemaah Islam ke medan perang nanti perlu berperwatakan seperti Rasulullah dan para khalifah yang juga seorang Jenderal yang tahu menggunakan peralatan peperangan?


10 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

bagus ulasan gb, harap mat sabu baca.

Tanpa Nama berkata...

Hebat komen GB...cadang GB bertanding untuk Jawatan Presiden PAS versi maya.

Sangat jelas dan tepat analisisnya.

Sesuatu yg wajar dihayati oleh ahli PAS.

PAS Harapan Ummah

Tanpa Nama berkata...

Nak bertanding boleh dan di alu2kan. Tapi jangan angkat geng kempen macam umno bn.Tolong nasihat kpd pengikut2 taksub.....

Tanpa Nama berkata...

Dengan ikhlas saya katakan bahawa saya dari dulu sangat minat pada Mohd Sabu kerana beliau ramah dan pandai bercerita, lebih-lebih lagi tentang sejarah.

Tapi untuk memegang jawatan sepenting Timbalan Presiden PAS bagi saya tidak berapa kena dan kemungkinan diluar kemampuan beliau.

Ini adalah kerana didalam kepimpinan Pas masih ramai tokoh-tokoh yang berkebolehan dan juga komited, kerismatik dan menjadi idola kepada segenap lapisan masyarakat.

Kepada ahli-ahli Pas yang bijaksana, saya nasihatkan supaya perhalusilah dengan baik dalam memilih pemimpin masa hadapan kerana Pas pada masa hadapan bukan lagi duduk dikerusi pembangkang akan tetapi Pas sudah berada di bahagian kepimpinan Kerajaan Pusat sepertimana yang sedia ada di Kerajaan (Perak)Kelantan dan Kedah.

Unknown berkata...

Setuju dgn Pandangan GB tu dan klu bleh x pyh la nak buat kelab penyokong plak, ingat apa AF ke....

abu shahid berkata...

Salam bro GB..

Hamba hanya nak sikit saja, abang mat atau mat sabu perlu mengisi jawatan Timbalan Presiden Pas.

abg mat sudah diuji dengan berbagai fitnah dan tohmahan,beliau sudah melaksanakan jawatan Ketua Pemuda Pas yang dipegangnya dulu hebat dan digeruni musuh.

Mari kita saksikan pula apakah beliau akan sekali lagi cemerlang apabila menjadi Timbalan Presiden.

Maaf cakaplah walau beliau hanya ada diploma tetapi beliau lebih commit dari Timbalan Presiden yang sedia ada.

Hanya satu pandangan peribadi.

Tanpa Nama berkata...

mat sabu tak sokong kerajaan perpaduan UG, patut sokong bertanding

Tanpa Nama berkata...

kesalahan mat sabu pecahkan undi timbalan presiden muktamar lalu diantara nasha (UG) lwn Husam (anti-UG) tidak mungkin dilupakan.

Tanpa Nama berkata...

ULASAN MANTAP DARIPADA GB. TAHNIAH!

Tanpa Nama berkata...

Sokong Mat Sabu sebagai Tim.Presiden.Pemimpin yang sudah masak,rajin dan pengerak reformasi rakyat.Tak ada Bersih jika tak ada Mat Sabu.Perwakilan kali ini waspada! jangan terpilih buku tebu lagi.