26 Apr 2011

JPJ Pasang Kamera Lebih Canggih, Sekalipun Polis Hanya Kata Saman Terus

566 kamera canggih rakam pemandu laju

KUALA LUMPUR: Awas kepada pemandu yang suka memandu laju tetapi sering mempertikai saman ekor kerana kononnya ia tidak adil. Menjelang akhir tahun ini mereka akan diperhatikan oleh 566 kamera statik berteknologi tinggi yang boleh merakam wajah pemandu dan jenis kenderaan dengan jelas walaupun memandu melebihi 100 kilometer sejam.

Kamera berteknologi Jerman itu adalah satu daripada komponen Sistem Penguatkuasaan Elektronik (AES) yang akan dipasang oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di lokasi strategik, terutama kawasan berisiko kemalangan di seluruh negara bagi memerangkap pemandu melebihi had laju.

Selain kamera, pemandu juga diawasi 266 kenderaan penguat kuasa elektronik yang dilengkapi kemudahan canggih bagi memantau pesalah trafik dan menahan mereka yang tidak mematuhi peraturan jalan raya.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri, berkata prosedur operasi standard (SOP) bagi mewujudkan ketelusan dalam penguatkuasaan peraturan itu membabitkan pemasangan papan tanda amaran bagi membolehkan pemandu mengetahui kewujudan kamera perangkap laju seperti diamalkan di negara maju.

“Saman yang dikeluarkan nanti adalah berasaskan gambar yang dirakam pemegang konsesi penyumberluaran yang dilantik kerajaan dan wajib disahkan agensi penguat kuasa, iaitu JPJ sebelum notis saman dikeluarkan.

“Gambar yang dirakam ini lebih tepat... tidak kabur, walaupun pandu kereta lebih 100 kilometer sejam.

“Ia akan beroperasi selewat-lewatnya hujung tahun ini dan dijangka meningkatkan persepsi kebarangkalian ditangkap ke tahap 90 peratus,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau diminta mengulas usaha kerajaan mengurangkan kemalangan jalan raya di samping kaedah baru diguna pakai pihak berkuasa termasuk mengeluarkan saman pada hari sama kesalahan dilakukan.

Ditanya kos dibelanjakan kerajaan untuk menyediakan kemudahan AES itu, Abdul Rahim berkata, kerajaan tidak mengeluarkan peruntukan sebaliknya dua syarikat konsesi dilantik menanggung kos berkenaan menerusi perolehan diterima daripada kutipan saman.

Mengulas lanjut cadangan notis saman dikeluarkan pada hari sama kesalahan dilakukan, Abdul Rahim berkata sukar bagi pihak berkuasa seperti polis mengeluarkan saman trafik pada hari sama, terutama membabit kesalahan memandu laju yang banyak dilakukan di lebuh raya.

“Polis perlu ambil masa untuk proses dan hantar surat. Kalau saman letak kenderaan atau sekatan jalan tidak ada masalah surat saman dikeluarkan pada masa itu juga. Tidak ada sistem di dunia boleh bagi saman pada ketika itu juga. Polis tidak ada ‘kepak’ untuk kejar kenderaan itu bagi surat saman,” katanya. -BH



Ulasan GB

Hanya baru kelmarin polis menyatakan:

"Kita tidak lagi menyorok balik tiang, kita saman terus dan kalau sudah kena saman jangan lupa bayar,"

Kini mereka menyatakan:

Tidak ada sistem di dunia boleh bagi saman pada ketika itu juga. Polis tidak ada ‘kepak’ untuk kejar kenderaan itu bagi surat saman

Kedua-dua kenyataan di atas saling bertentangan.

GB sudah menyatakan sebelum ini, bahawa hanya mahkamah yang berhak menentukan samada tindakan polis berkenaan betul atau salah.

Yang penting di dalam isu ini ialah Polis dan JPJ TIDAK BERHAK menyenaraihitamkan kenderaan atau pemandu dan menghalang mereka memperbaharui lesen atau cukai jalan.

Mahkamah telah membuat keputusan di dalam kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak & Anor [2009] 6 CLJ 280 yang telah memutuskan bahawa tindakan JPJ menghalang pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan di bawah Seksyen 17(1)(d) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987) tanpa siasatan dan alasan yang wajar adalah salah di sisi undang-undang dan bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan Malaysia.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

''Ditanya kos dibelanjakan kerajaan untuk menyediakan kemudahan AES itu, Abdul Rahim berkata, kerajaan tidak mengeluarkan peruntukan sebaliknya dua syarikat konsesi dilantik menanggung kos berkenaan menerusi perolehan diterima daripada kutipan saman.''

-lepas ni lagi banyak saman la jawabnya.

Ir.black

Tanpa Nama berkata...

sokong lagi BN

Tanpa Nama berkata...

Tak payah la nak cakap pasal kamera berkuasa tinggi kalau setakat gambar hitam putih.

Tanpa Nama berkata...

Takde ke yg nak suarakan pasal roadtax mahal untuk kenderaan diesel nih. Reason dulu pasal minyak diesel murah. lani diesel pon dah sama ngan petrol. Biasanya kenderaan pakai diesel ni heavy vehicle dan 4x4. biasanya 4x4 ni byk kegunaan untuk offroad....takla byk mana dok atas road. isu ni nampak mcm terpencil tapi makin hari kenderaan diesel ni makin diminati malah byk juga dijadikan kenderaan persendirian. minta2 la JPJ pakat kaji semula.