5 Feb 2011

PRK Merlimau: Shahrizat Harap BN Pilih Wanita Sebagai Calon

Semalam Pergerakan Wanita UMNO mahu Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka mempertimbangkan calon wanita bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau pada 6 Mac ini.

Ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata harapan dan hasrat pergerakan itu sudah disampaikan kepada Pengerusi BN Negeri Datuk Seri Mohd Ali Rustam, yang juga Ketua Menteri Melaka.

"Kita menunggu keputusan daripada Ketua Menteri Melaka," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan di Sekolah Menengah Sungai Ramai dekat sini, Jumaat.

Mohd Ali juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Shahrizat, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, diminta mengulas tujuh nama termasuk seorang wanita yang diserahkan UMNO bahagian Jasin kepada Mohd Ali untuk dipertimbangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sebagai calon BN pada pilihan raya kecil itu.

Dan berdasarkan nama yang diserahkan itu, calon wanita tersebut adalah Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin, Zaleha Bujang yang juga seorang ahli lembaga pengarah Yayasan Melaka.

Shahrizat berkata jentera pilihan raya wanita UMNO telah bersiap sedia untuk membantu calon BN memenangi pilihan raya tersebut.

"Mereka sudah mahir dalam kerja-kerja pilihan raya dan mereka menunjukkan kepimpinan yang baik," katanya.

Kerusi DUN Merlimau kosong selepas penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, dari BN, meninggal dunia pada 20 Jan lepas akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Feb ini sebagai tarikh penamaan calon manakala pengundian pada 6 Mac jika ada pertandingan.




Tiada ulasan: