6 Feb 2011

Bergaduh: 2 Pengawal Keselamatan Mati Ditetak

Kuala Lumpur: Dua pengawal keselamatan mati dipercayai akibat ditetak dengan senjata tajam dalam satu pergaduhan di tapak pembinaan di Damansara Perdana, malam Jumaat.

Gambar: Di kawasan tapak pembinaan inilah dua pengawal keselamatan mati dibunuh di Damansara Perdana, Petaling Jaya semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 malam itu, kedua-dua lelaki yang berusia 20 dan 26 tahun tersebut maut di tempat kejadian dengan kecederaan parah akibat tetakan di seluruh badan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohammed berkata kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara seorang pengawal keselamatan di tapak pembinaan terbabit dengan beberapa pekerja asing yang tinggal di rumah kongsi di situ.

"Pengawal itu bertengkar dengan beberapa pekerja asing di sini sebelum bertindak memanggil dua rakannya yang juga pengawal keselamatan yang bertugas di tempat lain.

"Kemudian sekumpulan warga asing yang dipercayai terdiri daripada 12 hingga 15 orang datang dengan membawa senjata tajam," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata sejurus kemudian tercetus pergaduhan menyebabkan dua pengawal keselamatan terbabit ditetak manakala yang seorang lagi sempat melarikan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Mayat kedua-dua mereka dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat.

"Kumpulan warga asing itu juga sempat melarikan diri. Namun kita telah menahan pengawal keselamatan di tapak pembinaan itu dan dua warga Indonesia yang turut menghuni di rumah kongsi terbabit untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

"Polis masih menjejaki kesemua suspek dan sedang menyiasat motif pembunuhan. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," kata Arjunaidi. - BERNAMA

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ini satu masalah besar negara yang dikaitkan dengan pendatang asing.