21 Nov 2010

Pemilihan PKR Kecoh Lagi, Di Hulu Selangor Pula

Pemilihan Cabang Hulu Selangor kecoh

KUALA KUBU BHARU: Proses pemilihan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Hulu Selangor di Dewan Merdeka di sini, tegang selepas 100 ahli bertindak menghalang proses itu, semalam.

Kekecohan bermula jam 9 pagi apabila kumpulan ahli yang tidak berpuas hati bertindak menghalang sebuah kereta yang membawa kertas undi daripada memasuki pekarangan Dewan Merdeka. Tindakan kumpulan itu menyebabkan proses pemilihan yang sepatutnya bermula 10 pagi, ditangguhkan selama dua setengah jam.

Ketegangan memuncak apabila petugas Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) bertegas meneruskan pemilihan tetapi dihalang ahli tidak berpuas hati. Kekecohan ini kemudian menyaksikan adegan tolak menolak, perang mulut dan cabar mencabar antara pihak terbabit kira-kira jam 12.15 tengah hari.

Situasi tegang berterusan 15 minit berikutan ahli tidak berpuas hati dengan proses pemilihan MPP yang tidak dilakukan serentak dengan pemilihan semula cabang itu. Pada 2 Oktober lalu, pemilihan ketua cabang dibatalkan kerana didakwa tidak telus.

Sebelum ini, pemilihan Ketua Cabang Hulu Selangor yang mempunyai kira-kira 8,000 ahli berdaftar menyaksikan pertandingan tujuh penjuru.

Seorang calon ketua cabang, Zahar Rusuli berkata, petugas JPP gagal menunjukkan surat kuasa untuk mengendalikan pemilihan MPP tanpa mengadakan pemilihan semula cabang.

“Kita halang pengundian MPP sebab masalah pemilihan cabang belum selesai. Kita hanya mahu masalah pemilihan cabang diselesaikan dulu untuk menghormati suara ahli-ahli di bawah dengan pemilihan telus,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Zahar mendakwa, pemilihan cabang yang menyaksikan Mohamed Nazar Yakin muncul sebagai pemenang ketua cabang pada 2 Oktober lalu adalah tidak sah.

“Ini kerana berlaku penyelewengan seperti jumlah kertas undi melebihi jumlah pengundi. Ini menyebabkan pemilihan itu dibatalkan sebelum pemilihan serentak yang sepatutnya diadakan hari ini (semalam),” katanya.

Mengenai surat JPP kepada setiausaha cabang pada 10 November lalu yang menyatakan proses pemilihan cabang itu sah, Zahar berkata:

“Surat itu sah atau tidak, tak tahu kesahihannya sebab PKR, atas cakap lain, bawah cakap lain, tengah cakap lain.”

Seorang lagi calon ketua cabang, M Pubalan berkata, beliau menghantar memorandum bantahan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar kelmarin supaya pemilihan cabang yang didakwa tidak telus atas beberapa faktor termasuk undi hantu, dilakukan semula. -BH

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

setiausaha PKR dengan rasminya akan dilantik menggantikan pengerusi SPR.

Pengerusi SPR sekarang geleng kepala. "Ada juga yang lagi hebat dari aku rupanya".