21 Nov 2010

Hukuman Ke Atas Gadis Malaysia Dikurangkan Kepada 12 Tahun Penjara

Pasir Puteh: “Jika benar hukuman penjara seumur hidup yang dikenakan terhadap anak saya dikurangkan kepada hanya 12 tahun, saya sekeluarga sangat bersyukur.

“Selama ini saya ingat anak sulung saya akan mati di dalam penjara, namun mimpi ngeri itu nampaknya akan bertukar,” kata Mohamad Lazim, 54, ayah kepada Umi Azlim (gambar), 26, gadis Malaysia yang dipenjara di Guangzhou, China kerana kesalahan mengedar hampir tiga kilogram heroin.

Mohamad Lazim berkata, berita gembira itu diperolehnya daripada seorang saudara yang berhubung dengan kakitangan kedutaan Malaysia di China dan berharap ia adalah benar.

“Setakat ini saya berharap apa dikhabarkan kepada saya benar belaka. Saya bersyukur kerana rayuan dibuat sebelum ini mungkin mendapat maklum balas daripada mahkamah di China,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini keluarganya tertekan kerana Umi Azlim dijatuhi hukuman mati sebelum ditukar kepada penjara seumur hidup.

“Saya menganggap jika benar hukuman ke atas Umi Azlim dikurangkan kepada penjara 12 tahun, tiada yang lebih menggembirakan adik- beradiknya, terutama adik kembarnya Umi Azmira dan Umi Azuraiha, 18.

“Meskipun kami sekeluarga belum mendapat pengesahan mengenai perkara itu, sedikit sebanyak berita ini menceriakan kami, malah memberi harapan rayuan kami mungkin diterima,” katanya yang bekerja sebagai mekanik di Taman Desa Anda, di sini, semalam.

Mohamad Lazim (gambar) berkata, dia menyerahkan surat rayuan itu kepada pihak mahkamah ketika melawat Umi Azlim bersama arwah isterinya, Umi Slaia Ibrahim dan penyelaras Tabung Umi Azlim, Hu Pang Chaw, tiga tahun lalu.

“Pada awalnya kami menjangkakan hukuman penjara seumur hidup itu yang terakhir dikenakan terhadap Umi Azlin dan menganggap mungkin hayatnya akan berakhir di sana.

“Namun kini dengan berita yang kami peroleh, mungkin harapan untuk dia dibebaskan akan terlaksana,” katanya.

Menurutnya, daripada maklumat yang diberitahu kepadanya, bukan anaknya saja yang kini dipenjara di China atas kesalahan dadah, malah ramai lagi rakyat Malaysia ditahan atas kesalahan sama.

“Sebagai bapa, saya menasihatkan ibu bapa supaya mengawasi pekerjaan anak mereka, terutama jika membabitkan perjalanan ke luar negara.

“Saya tidak mahu apa yang menimpa anak saya turut berlaku ke atas anak orang lain dan anggaplah ia sebagai pengajaran,” katanya yang memaklumkan dia mendapat tahu mengenai berita itu melalui adiknya pada sambutan Aidilfitri lalu.

Sebelum ini, Umi Azlim didakwa menyeludup dadah jenis heroin seberat 2,983 gram ke negara itu pada 19 Januari 2007 dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Undang-undang Jenayah Guangzhou pada Mei 2007, tetapi ditukar kepada penjara seumur hidup selepas rayuannya diterima.

2 ulasan:

wak parjoe berkata...

Wak juga tumpang gumbira dan berdoa moga anak Mohd Lazim boleh ditempatkan di Malaysia. Wak puji si bapak ni, bukan masuk sebelah anak dia, dah tu pesan pulak agar ibu bapa MENGENALI anak-anak mereka ! Ini contoh bapak yang baik, bukannya asyik nak salahkan polis saje.

Tanpa Nama berkata...

Patut gantung saje macam di Malaysia. Mat Saleh bawak candu ke Cina, Mek Minah pula bawak Heroin...memang Malaysia boleh. Jangankan orang luar, kalo rakyat dia orang main dadah, mak ayah dipaksa bayar kos peluru untuk anak mereka. Kita duk kutup komunis tak habis2 tapi nampak mereka lebih bertimbang rasa atas rakyat kita walaupun dia orang dah dapat bermacam berita kaum Cina disini ditindas berlipat ganda setiap tahun. Tahukah berapa juta peminat diperolehi Namewee di Taiwan, Cina dan HK.

Kalo dihitung pompuan cina dengan pompuan melayu keluar negara setiap tahun, senang2 dapat nisbah 100-1 tapi kenapa hanya pompuan melayu jer yang suka main selit dadah dalam tubuh. Konsulat ligat bukan main setiap kali ada kes macam ini. Lebih susah hati dari bapok pengedar. Mungkin orang yang sama kot.Kalo tidak mana boleh dadah hilang dari store Polis. Tukar BN dan tukar semua yang tak bersih supaya Malaysia tak jahanam.