9 Nov 2010

Lagi Isu RON95: Kerajaan Akan Kaji Punca Kenderaan Terbakar

Punca kenderaan babit nahas terbakar dikaji

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan bercadang untuk melaksanakan kajian berhubung punca kenderaan terbakar selepas terbabit kemalangan jalan raya.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri, berkata kementerian memandang serius perkara itu walaupun bilangan kemalangan membabitkan kenderaan terbakar dan menyebabkan mangsa rentung kecil.

Beliau berkata, sehingga kini tiada sebarang kajian, tetapi kementerian akan melihatnya secara serius dan membuat penyelidikan berhubung perkara itu.

“Kajian itu akan dilaksanakan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Bahagian Automotif Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas beberapa kemalangan jalan raya yang menyebabkan kenderaan terbakar dan yang terbaru membabitkan empat saudara termasuk bekas wartawan Berita Harian apabila kereta yang mereka naiki merempuh sebuah treler bermuatan kelapa lalu terbakar di Kilometer 119 Jalan Kuantan-Segamat, Muadzam Shah, Pahang, 6 November lalu.

Terdahulu, Abdul Rahim merasmikan majlis pelancaran Bengkel Keselamatan Jalan Raya Antarabangsa Malaysia-Sweden Kali ke-3, di sini, semalam.

Hadir sama, Duta Besar Sweden di Malaysia, Per-Arne Hjelmborn dan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh.

Mengulas wujudnya spekulasi penggunaan petrol RON95 adalah punca kenderaan terbakar pula, beliau berkata orang ramai tidak boleh membuat sebarang andaian kerana tiada kajian saintifik membuktikan perkara itu.

“Setakat ini kita tidak mengetahui penyebab sebenar kenderaan yang terbabit kemalangan terbakar. Kita akan buat kajian untuk mengetahui puncanya terlebih dulu,” katanya.

Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan juga akan berbincang Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) mengenai keperluan menyediakan perkhidmatan ambulans di lebuh raya bagi menyelamatkan mangsa kemalangan sekali gus mengurangkan angka kematian.

“Syarikat konsesi lebuh raya mungkin boleh membantu menyediakan perkhidmatan ambulans berpusat di plaza tol kerana kemalangan yang berlaku di lebuh raya berkemungkinan jauh dari hospital dan ia menyulitkan operasi menyelamat mangsa,” katanya.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

tak perlu buat kajian, ganti saja kerajaan BN dengan pakatan rakyat

Tanpa Nama berkata...

biar ramai lagi rakyat mati, baru pemimpin UMNO buat kajian

Tanpa Nama berkata...

Saya pernah guna petrol RON95 untuk bakar sampah. Ini pertama kali saya guna RON95 kerana untuk membantu membakar sampah kebun kerana sebagian darinya masih hijau dan tidak mudah di bakar. Setelah menabur RON95 ke atas sampah dan mencucuh api dari jauh dengan sekelip mata ianya MELETUP dan mengegar kawasan perumahan saya dan sekitarnya. Letupan sungguh kuat sehingga isteri saya yg sedang solat asar ketika itu terus belari keluar rumah untuk menyelamatkan diri yg disangkanya Tong Gas di dapur meletup. Begitulah pengelaman dan experiment yg tak disengaja mengguna RON95. Sungguh bahaya penggunaan RON95 dan sampai sekarang saya fobia dgn kejadian ini. Harap pihak yg berkenaan ambil tindakan segera mengharam penggunaan Petrol RON 95.

Tanpa Nama berkata...

sebelum BN selesai buat kajian, mereka dah tak perintah malaysia lagi