4 Mei 2010

Husam Minta Najib Jelaskan Fakta Sebenar

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu mendedahkan butiran mengenai keputusan kabinet melepaskan kedaulatan Malaysia yang mengandungi dua blok telaga minyak kepada Brunei.

Pengerusi Jawatankuasa Petroleum Negeri, Datuk Husam Musa berkata, sebelum ini rakyat hanya mengetahui hal berkenaan melalui sebuah syarikat yang menguruskan operasi di medan minyak tersebut, Murpy Oil selepas konsesinya terbatal akibat penyerahan yang dibuat oleh kerajaan.

“Perdana Menteri sendiri tidak pernah berterus terang dengan keputusan ini dan tidak mengambil langkah menjelaskan kepada umum sampai hari ini,” katanya ketika dipetik surat yang dihantar kepada Perdana Menteri semalam.

Kontroversi berhubung dua blok minyak itu timbul apabila Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam blognya pada Khamis lalu, mempersoalkan kenapa Blok L dan M tidak lagi menjadi milik Malaysia dan mendakwa keadaan itu menyebabkan Malaysia kerugian kira-kira US$100 bilion (RM320 bilion). Dr Mahathir mendakwa penggantinya, Tun Abdullah Badawi, telah menyerahkan kedua-dua blok itu sebagai pertukaran kepada Limbang.

Dalam pada itu, Husam yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri berkata, terdapat banyak keraguan yang timbul di sebalik pendedahan yang dibuat oleh syarikat minyak tersebut.

“Seperti disebut dalam kenyataan Tun Abdullah, ia adalah ‘overlapping area’(kawasan bertindih). Jika ia kawasan bertindih bagaimana lain seperti kawasan :JDA, (Kawasan Pembangunan Bersama): dan CCA (Kawasan Aturan Komersial), mengapa Malaysia dengan mudah melepaskannya.

“Jika kita tidak mempunyai hak ke atasnya sama sekali, bagaimana Brunei boleh mengizinkan kita terlibat sama dalam perkongsian pengeluaran bagi kedua-dua blok itu dalam tempoh 40 tahun?” katanya.

Dalam masa yang sama, Husam turut mempersoalkan adakah penyembunyian fakta ini ada kaitan semata-mata untuk menyenangkan hati Perdana Menteri di waktu itu dan seluruh kabinet menerima keputusan ini walaupun ia merugikan negara. -SH


Wisma Putra: Kawasan kaya minyak milik Brunei

Brunei mempunyai kedaulatan ke atas dua kawasan yang kaya dengan minyak mengikut peruntukan Konvensyen Undang-undang laut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982 dan kawasan berkenaan akan dibangunkan secara usahasama dengan Malaysia.

Sehubungan itu, menurut kenyataan media Kementerian Luar Negeri, hari ini, 'penyerahan' dua blok kawasan petroleum oleh Malaysia kepada Brunei menerusi “Pertukaran Surat” adalah selaras dengan undang-undang antarabangsa.

“Konsesi minyak blok L dan M Malaysia bertindan dengan blok J dan K Brunei yang diiktiraf menerusi 'Pertukaran Surat' sebagai kawasan maritim Brunei dan negara itu mempunyai hak atas kedaulatannya mengikut UNCLOS.

"Penamatan kontrak perkongsian pengeluaran membabitkan Blok L dan M, yang diberikan oleh Petronas kepada Petronas Carigali Sdn Bhd dan Murphy Oil pada 2003, adalah selaras dengan pewujudan CAA seperti yang ditetapkan dalam Pertukaran Surat," kata kenyataan itu.

Pertukaran Surat antara Malaysia dan Brunei pada Mac tahun lalu itu juga dikatakan telah menyelesaikan isu-isu dua hala tertangguh antara kedua-dua negara melalui penyelesaian secara baik.

Menurut Wisma Putra lagi, ia juga membawa lembaran baru dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

“Satu daripada elemen penting dalam perjanjian yang ditandatangani oleh mantan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, pada 16 Mac, 2009, adalah memuktamadkan penyempadanan kawasan maritim antara Malaysia dan Brunei,” katanya.

Selain itu, perjanjian itu berjaya menyelesaikan pewujudan Kawasan Aturan Komersial (CAA) bagi minyak dan gas, memuktamadkan modaliti bagi pembatasan sempadan darat antara Malaysia dan Brunei, dan hak laluan maritim yang tidak boleh dicabuli bagi warganegara dan penduduk Malaysia menyeberangi zon maritim Brunei.

Kontroversi berhubung dua blok minyak itu timbul apabila bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam blognya pada Khamis lalu, mempersoalkan kenapa Blok L dan M tidak lagi menjadi milik Malaysia dan mendakwa keadaan itu menyebabkan Malaysia kerugian kira-kira US$100 bilion (RM320 bilion).

Dr Mahathir mendakwa penggantinya, Abdullah, telah menyerahkan kedua-dua blok itu sebagai pertukaran kepada Limbang.

Menurut kenyataan Wisma Putra, kandungan “Pertukaran Surat” itu mendapat kelulusan Kabinet, dan malah kerajaan negeri Sabah dan Sarawak juga dirundingi dan diberikan taklimat penuh mengenai perkara berkenaan.

“Pertukaran Surat” antara Malaysia dan Brunei itu juga dikatakan telah berjaya menyelesaikan isu-isu dua hala tertangguh antara kedua-dua negara melalui penyelesaian secara baik. -mk




1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Alangkah baiknya jika Kelantan dan Trengganu seperti juga Brunei tidak menyertai Malaysia. Pastinya ketika ini rakyat Trengganu & Kelantan berbahgia menikmati hasil minyak spt rakyat Brunei.