4 Mei 2010

Kes Anwar: Mahkamah tolak laporan perubatan HKL

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengenepikan kes tuduhan liwat yang di hadapinya.

Ketika membuat keputusan itu hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria berkata "laporan perubatan bagi menyokong permohonan Anwar untuk menolak kes ini, hendaklah di baca secara keseluruhannya.

"Oleh itu ianya tidak dapat menyokong rayuan Anwar," kata Arifin yang mengetuai tiga panel hakim. Dua hakim lain yang duduk bersama beliau ialah hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri James Fong Cheng Yuen, dan hakim Mahkamah Rayuan Datuk Surayadi Halim Omar.

Peguam bela yang mewakili Anwar terdiri daripada Karpal Singh, Datuk Param Cumaraswamy, Sankara Nair dan Wan Anwar Shadat manakala Peguam Cara Negara II, Mohd Yusof Zainal Abidin mewakili Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Ini bermakna kes tuduhan liwat yang difailkan oleh Saiful terhadap Anwar di sambung semula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mei depan.

Sebelum itu, Mohd Yusof dalam hujahnya, turut membantah bahawa mahkamah tidak mempunyai kuasa memutuskan kredibiliti pihak pendakwaan pada ketika ini.

Beliau menjelaskan, sebarang penghakiman mengenai kelemahan atas kredibiliti hanya boleh dibuat pada penghujung pendakwaan atau atas kes pembelaan.

“Ini bukan proses keadilan. Ia juga tidak hampir kepada kes bersifat ‘mala fide’ (berniat jahat)." kata beliau.

Karpal Singh pula membantah hujah Mohd Yusof bahawa pendakwaan ke atas Anwar berniat jahat, menindas dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Laporan tiga doktor pakar HKL

Menurut Karpal, melalui laporan perubatan daripada tiga doktor pakar daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL) jelas tidak wujud sebarang penetrasi (penetration) ke dalam dubur Saiful.

Karpal mendakwa sampel air mani yang diambil daripada badan Anwar telah dengan sengaja dipalitkan ke badan Saiful.

Sementara itu Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga isteri Anwar, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang ditemui di luar mahkamah melahirkan perasaan kecewa dengan keputusan mahkamah tersebut.

"Keputusan hakim berupa dua baris perkataan sahaja. Saya sungguh tidak puas hati dan merasa sungguh kecewa. Tetapi saya sudah menjangkakan keputusan tersebut," kata beliau.

Namun beliau berkata, "kita akan tunggu untuk perbicaraan sepenuhnya kemudian."

Ditanya mengenai Anwar, Wan Azizah berkata, "Anwar berada di luar negeri dan tidak dapat hadir."

Sankara Nair, seorang lagi peguam Anwar, turut melahirkan rasa kecewa kerana hujah yang dikemukakan oleh pihak peguam bela sangat kukuh, tidak berlaku penetrasi.

Beliau berkata, "saya kecewa dengan keputusan mahkamah ini. Hakim kata hujah ini tidak mencukupi sedangkan isu penting di sini adakah wujud penetrasi.

Sankara menjelaskan, "permohonan kita amat kukuh dan sahih melalui laporan perubatan daripada tiga pakar perubatan yang mengesahkan tidak berlaku penetrasi" katanya.

Ketika ditanya mengenai tindakan seterusnya Karpal menyatakan bahawa tiada permohonan lain akan dikemukakan sebaliknya akan meneruskan soal balas terhadap pengadu, Saiful.

"Ini merupakan peringkat akhir dan kami tidak akan membuat apa-apa permohonan lain. Kami akan meneruskan soal balas terhadap Saiful minggu depan," kata Karpal. -FMT

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Apakah doktor yang buat laporan tu tak berwibawa? Kalau macam tu Klinik 1 Malaysia yang diuruskan oleh Pembantu Perubatan tak boleh rawat pesakitlah. Janganlah perbodohkan rakyat berterusan! Rakyat dah cerdik bukan macam ADUN UMNO Kedah yang pernah jadi Exco dan bakal jadi MB kalau BN terus berkuasa di Kedah SRP ambil sampai 3 kali. Tak lulus juga. Mujur PR berjaya gantikan BN, MB sekarang adalah bekas pensyarah dan bekas Profesor Pelawat sebuah universiti di Filipina. Dalam majlis angkat sumpah sebagai MB dulu tu bercakap Inggeris dengan isteri dia! ADUN-ADUN yang ada khabarnya terlopong tengok hal itu.