16 Feb 2010

Veteran Wanita UMNO sertai PKR

Bekas Veteran Pergerakan Wanita UMNO Cawangan Kuala Ina, Dara Ahmad mengambil keputusan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekali gus mengikuti jejak langkah anak-anaknya menyertai parti tersebut tahun lepas.

Ketua PKR Melaka, Mahani Masban berkata, penyertaan Dara ke PKR sangat dialu-alukan dan rumah beliau kini dijadikan lokasi Ranting PKR Kuala Ina yang dirasmikan baru-baru ini.

“Kita difahamkan ramai lagi rakan beliau (Dara) akan mengikuti jejak langkahnya menyertai kami (PKR),” katanya kepada Sinar Harian selepas Penyerahan Borang Keahlian PKR di rumahnya, di sini.

Menurut Mahani, sehingga kini seluruh jentera wanita PKR semua kawasan dan negeri tetap meneruskan aktiviti bersama rakyat meskipun pelbagai spekulasi melanda parti tersebut sejak kebelakangan itu termasuk kes perbicaraan Penasihat PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, spekulasi melanda tidak mematahkan semangat untuk terus berjuang dan menarik penyertaan masyarakat dalam PKR.

Sementara itu, Mahani memaklumkan pihaknya turut menghantar seramai 20 orang dari setiap cabang secara bergilir-gilir untuk menghadiri mahkamah sepanjang perbicaraan berlangsung.

“Inilah tanda sokongan tidak berbelah bahagi kami kepada pucuk kepimpinan dan percaya beliau (Anwar) pasti dibebaskan berhubung fitnah yang mengaibkan beliau,” katanya.

Terdahulu Wanita PKR Melaka turut meraikan Pesta Ponggal yang berlangsung di Taman Serkam Maju melibatkan penyertaan ahli PKR Ranting Serkam Darat dan Ahli Jawatankuasa Cabang Jasin dihadiri Ketua Wanita PKR Pusat merangkap Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamarudin.


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sekarang dah ramai yang sedar bahawa wakil rakyat dan kawan-kawanya yang menyokong UMNO sebenaranya berjuang untuk mengisi tembolok mereka saja. Ciss!!!