5 Feb 2010

‘Roadshow’ Untuk Anwar Seluruh Negara

Kuala Lumpur menyaksikan laungan reformasi kembali bergema apabila 100 aktivis veteran reformasi berhimpun secara aman di perkarangan Masjid Wilayah, petang tadi.

Menghimpunkan aktivis-aktivis reformasi era 1998 dari wakil rakyat hingga ke aktivis jalanan, demonstrasi ini mengecam pertuduhan terhadap mantan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mereka sifat sebagai ulangan konspirasi 10 tahun lalu.

Perhimpunan berlangsung tanpa gangguan dibawah pemantauan pihak berkuasa. Gerombolan Cawangan Khas turut dikesan, serta ketumbukan Unit Simpanan Persekutuan turut dikerah ke lokasi.

Kain rentang tertulis “Perhimpunan Bantah Fitnah ke-2” dan “Keadilan Untuk Anwar” dikibarkan bagi memperlihatkan sokongan teguh kepada pemimpin reformasi itu.

Ahli Parlimen Tian Chua berkata perhimpunan seperti ini akan berterusan sepanjang perbicaraan Anwar.

Mereka juga dijangka menjelajah seluruh Malaysia memberi perkembangan terkini perbicaraan kepada segenap lapisan masyarakat.

“Selagi bicara ini berkalu perhimpunan akan berterusan. Bukan saja di mahkamah tetapi kita akan adakan ‘roadshow’ seluruh negara dan kita akan bawa mesej ini secara terus kepada rakyat. Kita akan lancar pelbagai perhimpunan besar-besaran di kota-kota lain di seluruh negara dan setiap malam di ibu pejabat Keadilan kita akan adakan sesi informasi untuk memberi penerangan kepada penyokong-penyokong kita yang tidak sempat hadir dalam sesi mahkamah”, kata beliau. -HY (Detik TVS)



1 ulasan:

Awanama berkata...

Takdirnya DSAI didapati bersalah aku rasa akan muncul lagi ramai penyokong yang akan lumpuhkan BN!!