5 Feb 2010

Petronas Tidak Boleh Berdolak-dalik - Ku Li

Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah, hari ini menjelaskan kehadiran beliau memberi ceramah di Stadium Sultan Mohamad IV adalah atas jemputan 52 badan bukan kerajaan (NGO) dari Kelantan dan Terengganu, bukannya di pentas kerajaan negeri pimpinan Pas.

Malah, beliau menegaskan kedatangan beliau itu adalah untuk menunaikan amanah Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri kedua yang mahu hasil minyak diagih-agihkan kepada negeri-negeri di Pantai Timur, Sabah dan Sarawak sekiranya terdapat minyak di pesisiran pantai negeri berkenaan.

"Saya bukan hadir perhimpunan di Kelantan itu kerana saya hendak sokong Pas... tidak ... saya ahli Umno.

"Kebetulan saya bekas Pengerusi Petronas yang asal dari Kelantan. Kalau rakyat di sana hendak saya jelaskan mengenai Petronas dan Akta Kemajuan Petroleum 1974, apakah saya tidak patut pergi? Saya kena bagi penerangan.

"Saya bukan fikir soal Kelantan sahaja, tapi juga soal seluruh rakyat Malaysia," katanya kepada Bernama dalam temubual khas berhubung isu royalti minyak Kelantan di sini hari ini.

Beliau berkata, pada zaman pemerintahannya, Tun Abdul Razak sememangnya mahukan hasil minyak diagih-agihkan kepada negeri-negeri di Pantai Timur untuk membangunkan Kelantan, Terengganu dan Pahang selain di Sabah dan Sarawak.

Katanya, formula pemberian lima peratus daripada hasil minyak kepada negeri-negeri berkaitan, adalah hasil rundingan dengan Ketua Menteri Sarawak, Abdul Rahman Yaakob, yang pada masa itu, mendakwa Kerajaan Pusat tidak ada hak ke atas minyak di Sarawak.

"Tun Razak seronok sangat kerana Pantai Timur boleh dapat faedah walaupun tidak nampak tanda-tanda ada minyak, tapi tahu sekurang-kurangnya di pesisir (offshore).

"Sebab itu kita buat Akta Kemajuan Petroleum itu, menyatakan bahawa kalau jumpa minyak di pesisir di mana-mana negeri, maka negeri itu akan mendapat lima peratus sekiranya negeri-negeri itu meletak hak seluruh hasil minyak kepada Petronas. Jadi, jelas, tidak ada apa yang hendak dipertikaikan," katanya.

Tengku Razaleigh berharap Petronas menjalankan tugas dan tanggungjawab berdasarkan apa yang telah termaktub dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan tidak berdolak-dalik berhubung pembayaran royalti minyak kepada Kelantan.

"Saya bukan hendak paksa Petronas atau Kerajaan Pusat bayar kepada kerajaan negeri (Kelantan) tapi ini mereka (Petronas) sendirilah kena mengikut perjanjian itu.

"Dia (Petronas) telah menerima amanah ini dan tidak boleh hendak berdolak dalik dan kena menasihat kerajaan bahawa inilah yang sepatutnya dilakukan. Kalau tidak, apa ertinya ada perjanjian antara negeri-negeri dan apa ertinya persekutuan," katanya.

Menjawab dakwaan bahawa beliau mengeluarkan kenyataan yang bercanggah daripada apa yang dikatakannya 10 tahun lalu mengenai isu yang sama, Tengku Razaleigh berkata: "Saya tidak pernah kata itu, takkan saya nak bercakap bercanggah dengan apa yang saya buat. Saya tidak nyanyuk lagi."

Ahli Parlimen Gua Musang itu dilaporkan berucap pada malam ceramah Perdana Royalti Minyak di Stadium Mohamad IV di sini Khamis lalu.

Antara intipati ceramah beliau, menyebut mengenai Kelantan layak untuk menerima royalti minyak, iaitu bercanggah daripada keputusan kerajaan berhubung isu terbabit. - Bernama

Ulasan GB

Terima atau tidak, hakikat sebenar orang yang mula-mula mencabul perjanjian royalti ini adalah mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir.

Beliau tersentak pada tahun 1999 apabila Kelantan dan Terengganu jatuh ke tangan PAS.

Justeru beliau hapuskan royalti dan ganti dengan wang ihsan, malah Perjanjian diantara Petronas dan kerajaan negeri diketepikan begitu sahaja dan dianggapnya sebagai MOU.

Yang aneh tiada kesungguhan untuk membawa kes tersebut ke mahkamah. Tiada kesungguhan untuk mengheret Tun Mahathir ke penjara lantaran kezalimannya.

Orang PAS pada ketika itu (malah kini juga) terlena dengan kemenangan yang banyak dan masih seronok dengan ceramah dari buat kerja-kerja yang lebih bermakna.

2 ulasan:

Awanama berkata...

Yang kata Tengku di pentas pembangkang tu Tun Dr Mahathir. Dia pernah berdiri di pentas pembangkang lepas disingkir dari UMNO dulu. Rupanya dia juga spesis mudah lupa. Dia ingat semua yang dia buat masa berkuasa 22 tahun dulu semuanya betul? Dialah yang sebenarnya pengkhianat bangsa!!! Di dunia barangkali dia terlepas, tapi di akhirat belum tahu.

Awanama berkata...

TDM tu menyesal tinggalkan kerusi PM. Dia la ni gila talak. Ceramah sana, ceramah sini. Mempopularkan diri melebihi Najib. Dia perasan orang masih nak dengar cakap dia. PSMI tu punca kebencian orang kat dia. Itupun masih tak sedar lagi. Masih terhegeh-hegeh sana-sini. Cukuplah awak dah senja. Nanti tak sempat bertaubat ajal tiba!!