14 Sep 2009

Era Najib Altantuya : Syed Azman Setuju Pandangan Mahathir

Pas menganggap kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) berkemungkinan akan mengalami nasib seperti parti Liberal Demokratik (LDP) di Jepun sebagai suatu pandangan tepat.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa Pas Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, tidak mustahil UMNO dan BN akan tumbang sebagaimana parti LDP, selepas lebih 50 tahun parti berkenaan memerintah di negara matahari terbit itu.

Menurutnya, lebih jelas apabila beliau melihat sokongan rakyat dalam lapan pilihan raya kecil di negara ini semakin berpihak kepada pembangkang dan sokongan rakyat terhadap pembangkang tidak berganjak walaupun pelbagai isu berlaku di negeri ditadbir Pakatan Rakyat (PR).

“Kita menyedari UMNO dan BN menghadapi masalah krisis keyakinan paling teruk ketika ini ditambah dengan masalah dalaman MCA, MIC dan Gerakan sehingga terpaksa menggunakan isu perkauman bagi menarik perhatian rakyat.

“Perkara ini sebenarnya tidak pernah berlaku dalam politik negara dan apa yang Dr Mahathir katakan adalah tepat,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Dr Mahathir kelmarin berpendapat UMNO dan BN mungkin akan mengalami nasib sama seperti LDP di Jepun yang ditolak rakyat negara itu setelah memerintah negara tersebut lebih 50 tahun.

Dr Mahathir berkata, situasi politik yang berlaku dalam UMNO dan BN dilihat seakan-akan mengikut jejak langkah Jepun dan tidak mustahil pilihan raya akan datang, fenomena yang sama turut berlaku dan berpendapat BN hanya boleh diselamatkan jika prestasi pembangkang lemah.

Dr Syed Azman yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat dan Terengganu berkata, kenyataan Dr Mahathir berhubung perkara itu disifatkan sebagai amat berani.

“Kita mengucapkan terima kasih atas pandangan berani itu walaupun beliau tidak lagi memimpin kerajaan,” katanya.

Menurutnya, PR kini sedang memperkukuh kedudukan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Katanya, komponen parti PR bukan sahaja akan mengekalkan empat negeri yang diterajui pembangkang, malah dengan kekuatan dan kepercayaan yang ada, beliau yakin PR mampu menawan Malaysia. -SH

Tiada ulasan: