3 Jul 2009

ISU KE MANEK URAI : PKR Minta Guan Eng Timbang Semula Pemecatan Johari

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang mahu kerajaan negeri menimbang semula keputusan memecat Johari Kassim sebagai Anggota Majlis Perbandaran Seberang Perai.

Pengerusi PKR negeri, Datuk Zahrain Mohammed Hashim berkata Johari telah menyesali tindakannya dan sanggup berjumpa Ketua Menteri Lim Guan Eng bagi menyelesaikan isu tersebut.

"Kita berharap kerajaan negeri akan mempertimbangkan tindakannya terhadap Johari kerana hukuman itu dilihat agak terlalu keras," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PKR negeri di sini semalam.

Pada 4 Jun lalu, Johari mengetuai lapan anggota majlis dari PKR memboikot majlis angkat sumpah presiden MPSP yang baru.Zahrain berkata dari maklumbalas yang beliau terima daripada Timbalan Ketua Menteri 1, Mansor Othman, Lim bersedia untuk berjumpa semua ahli PKR tidak lama lagi.

Sementara itu, Zahrain menyerahkan kepada lembaga disiplin parti untuk membuat keputusan ke atas dua pemimpin PKR negeri, Cheah Kah Peng dan Peter Lim Eng Nam yang didakwa cuba merasuah calon Bebas, Aminah Abdullah ketika pilihan kecil Dewan Undangan Negeri Penanti, Mei lalu.

"Jawatankuasa yang ditubuhkan menyiasat dakwaan itu sudah menghantar laporan ke PKR pusat yang akan merujuk kepada lembaga disiplin parti untuk membuat keputusan," katanya.

Ketika kempen pilihan raya kecil Penanti, Aminah mendakwa kedua-dua pemimpin PKR itu menawar jawatan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang jika menarik diri.

Aminah juga mendakwa beliau ditawarkan wang tunai dan jawatan Timbalan Ketua Menteri I jika menang tetapi perlu menyertai semula parti itu. Pilihan raya kecil itu dimenangi oleh Mansor.


Tiada ulasan: