3 Jul 2009

ISU MANEK URAI : 77% Sifatkan Keretakan Pakatan Rakyat Kedah Dikategorikan Kecil

Di dalam satu undian SMS Edisi 7 malam ini, 77% responden berpendapat keretakan Pakatan Rakyat di Kedah boleh dikategorikan sebagai kecil dan cuma 23% menyatakan disebaliknya.

Ia memberikan nafas lega bagi pemimpin-pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat bukan sahaja di Kedah malah diseluruh negara kerana sepastinya isu berkenaan akan gagal dipergunakan oleh UMNO BN untuk meraih sokongan rakyat kepada mereka.

Sementara itu, Jawatankuasa Kerja Pusat DAP dijangka akan mengadakan mesyuarat minggu depan bagi membincangkan tindakan DAP Kedah keluar daripada pakatan pembangkang di negeri itu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata mesyuarat itu akan diadakan selepas mendapat maklum balas daripada Penasihat DAP, Lim Kit Siang, esok.

"Saya percaya surat (daripada DAP Kedah) telah dihantar ke ibu pejabat (DAP). Saya belum baca surat itu lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Fotografi sempena pengisytiharan Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia, di sini, hari ini.

Rabu lepas, Pengerusi DAP Kedah, Thomas Su mengumumkan DAP keluar daripada pakatan pembangkang negeri kerana tidak berpuas hati dengan beberapa isu termasuk tindakan merobohkan satu-satunya pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya, Alor Setar.

Beliau juga menyifatkan kerajaan Kedah pimpinan PAS sebagai lemah dan sering menimbulkan masalah termasuk mengenakan kuota perumahan Bumiputera sebanyak 50 peratus.

Di dalam perkembangan berkaitan wakil rakyat tunggal DAP di Kedah Lee Guan Aik hari ini mengisytiharkan dirinya sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) bebas dan berkecuali dan tidak lagi menjadi penyokong kerajaan negeri.

Sebagai ADUN bebas dan berkecuali, katanya, beliau juga tidak akan menyokong Barisan Nasional (BN) tetapi sebaliknya hanya menyokong pihak yang benar sahaja.

Lee, ADUN Kota Darul Aman itu, berkata pendirian DAP negeri untuk keluar dari pakatan pembangkang Kedah telah dimaklumkan kepada DAP pusat menerusi sepucuk surat dua hari lepas.

"Bagaimanapun, kita tidak menghantar surat kepada Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Azizan Abdul Razak)," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya DAP negeri sedang menunggu jawapan balas dari DAP pusat mengenai keputusan mereka berundur dari Pakatan Rakyat di negeri tersebut.

Lee berkata, kerajaan negeri pimpinan PAS mungkin tidak sedar bahawa DAP telah memainkan peranan untuk memancing undi kaum Cina menyokong Pakatan Rakyat termasuk memberi undi kepada PAS pada pilihan raya umum lepas. "Kita kesal dengan layanan yang diberikan kepada DAP kerana saya telah naik turun berjumpa Menteri Besar untuk meminta agar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAs) menangguh operasi meroboh pusat penyembelihan babi itu sementara menunggu keputusan kerajaan negeri meluluskan tapak pusat yang baru", katanya.


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sedikit keburukan kerajaan pakatan rakyat kedah, berbanding banyak kebaikan,jika dibandingkan semasa kerajaan BN dulu banyak keburukan kpd rakyat berbanding kebaikan...

Tanpa Nama berkata...

Spatutnya disediakan tempat penyembelihan alternatif khinzir tu diberi, sebelum robohkan. Nampak kurang bijak kempimpinan PAS. Semacam 'high-handed' sikit Majlis Bandarya Alor Setar. Dah kecoh baru nak cari fomula penyelesaian. Kalau tak salah saya zaman nabipun, hak-hak bukan Islam Nasrani atau Yahudi dihormati, tidak dirosakkan oleh pihak berkuasa.