3 Jul 2009

ISU KE MANEK URAI : Kes Kg Buah Pala - Guan Eng Beri Amaran Kepada Pemaju

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memberi amaran akan memberhentikan projek pembangunan di Kampung Buah Pala, Bukit Gelugor, di sini, jika pemaju Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd, terus mengancam untuk merobohkan rumah dan enggan membayar pampasan kepada penduduk di situ, demikian lapor Bernama.

"Jangan cuba untuk uji kesabaran kerajaan negeri. Saya tidak teragak-agak untuk memberhentikan projek pembangunan itu," katanya sambil menjelaskan kerajaan negeri bersedia menanggung risiko membayar ganti rugi kepada pemaju jika terpaksa membatalkan projek itu.

Ditanya mengapa beliau enggan menemui penduduk kampung itu, Lim berkata: "Saya sudah serahkan tugas ini kepada Mansor (Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman) dan Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II, Prof.Dr P. Ramasamy).

"Jadi saya tidak mahu orang mempersoalkan kebolehan mereka," katanya.

Pada 24 Jun lepas, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengarahkan penduduk di kampung itu supaya berpindah.

Di dalam perkembangan berkaitan, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendesak Ketua Menteri, Lim Guan Eng 'turun padang' dan bersemuka dengan penduduk Kampung Buah Pala, Gelugor di sini, bagi menyelesaikan isu penempatan itu yang semakin kusut.

Komponen Pakatan Rakyat (PR) itu mahu Guan Eng memberi perhatian khusus bagi menyelesaikan isu berkenaan, bukannya hanya menyerahkannya kepada dua Timbalan Ketua Menteri dan Exco kerajaan negeri.

Desakan itu diputuskan pada mesyuarat PKR Pulau Pinang yang dipengerusikan Pengerusi PKR negeri, Datuk Zahrain Mohamed Hashim di sini, malam tadi.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat itu, Zahrain berkata, PKR mahu masalah yang dihadapi penduduk Kampung Buah Pala diselesaikan secara terbaik dengan mengambil kira semua fakta dan aspek.

"Kita minta Ketua Menteri memberi tumpuan istimewa, bukan hanya menyerahkan kepada timbalan dan Exconya. Ini bukan isu kaum India dan saya rasa rakyat ada hak dan mereka tidak harus dianiyai.

"Saya mendesak Ketua Menteri kerana beliau adalah ketua kerajaan dan dihormati di Pulau Pinang. Isu ini boleh diselesaikan jika beliau turun padang dan jumpa penduduk," katanya.

Zahrain berkata, jika ada sebarang penyelewengan dan salah laku terhadap urusan berkaitan pemilikan tanah di Kampung Buah Pala, kerajaan negeri perlu mendedahkannya.

Beliau juga berharap Guan Eng tidak mendengar khabar angin saja berkaitan isu berkenaan, sebaliknya mengkaji secara terperinci sebelum membuat keputusan.

"Ini adalah tanggungjawab kerajaan negeri yang perlu bertindak mengikut konsep Cekap, Akauntabiliti dan Telus," katanya.

Kira-kira 300 penduduk Kampung Buah Pala perlu mengosongkan penempatan yang berusia lebih 100 tahun ini sebelum 3 Ogos ini bagi memberi laluan kepada projek pembangunan oleh Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd.

Kelmarin, balif mahkamah menampal notis di setiap rumah berhubung arahan pengosongan itu. Baru-baru ini, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan penduduk terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang berpihak kepada pemaju.

Jumaat lalu, penduduk kecewa dan marah apabila hasrat mereka untuk berjumpa dengan Guan Eng bagi menyerahkan memorandum supaya menyelesaikan isu berkenaan tidak kesampaian kerana Ketua Menteri enggan berjumpa mereka.

Kampung Buah Pala yang dikenali sebagai High Chaparral Pulau Pinang yang berusia lebih 100 tahun dikatakan satu-satunya perkampungan tradisi kaum India yang masih ada di negeri ini.



3 ulasan:

tok iskandar berkata...

UMNO dan BN atau sinonimnya UBN gagal memenuhi aspirasi rakyat dan semakin menuju zaman kepupusannya.Rakyat yakin dan penuh percaya dan PRU yang lepas boleh dijadikan kayu pengukur betapa UBN kini semakin lemah dan goyah.

Kemampuan UBN memerintah negara semakin dipertikaikan setelah gagal menangani skandal PKFZ,kenaikan harga mintak,kemelesetan ekonomi global,krisis politik di Perak,PPSMI,pengambilalihan air di Selangor,10 subjek dalam SPM dan banyak lagi.Polisi-polisi yang dilaksanakan oleh UBN pula dilihat dilakukan secara tergesa-gesa dan kurang cerdik seperti PPSMI dan 10 subjek dalam SPM.Ada juga yang dilaksanakan tanpa mengambilkira kepentingan rakyat dan lebih memihak kepada golongan korporat seperti pengambilalihan air di Selangor.

UMNO yang terdorong untuk mempertahankan hegemoni dan kroninya cuba mencari talian hayat dengan ayat-ayat manis dan power bagi memikat hati rakan-rakan melayunya dalam PAS dan PKR.Gula-gula kerajaan perpaduan diharapkan dapat membuka ruang kepada kerjasama atau usahasama untuk agenda perpaduan Melayu sedangkan ramai yang melihatnya sebagai memperkukuhkan UMNO.Ramai yang tertanya-tanya jika usaha ini gagal,apakah UMNO akan meminda perlembagaan partinya dan membuka keahlian kepada semua.sama-sama kita tunggu dan lihat

sb dehlawi berkata...

Sebenarnya apa yang saya faham, komen2 yang melampau dgn kata2 kesat, mencarut datangnya dari puak baju biru kerana mereka sakit hati dan tak puas hati dengan apa yang dipaparkan dlm GB. Ahli Pas sejati tak akan mencarut, maki hamun, dan keluar kata2 kesat ketika melayani GB. Puak baju biru ni bimbang sekiranya dibiarkan komen2 yg benar dari penyokong pas kemungkinan puak2 dia berubah angin dengan memberi sokongan kepada pas dan pakatan rakyat. Oleh itu maki hamun adalah strategi mereka untuk memastikan GB tidak lagi aktif dengan cara komen2 disemak dulu yg sudah pasti akan menjemukan peminat setia GB, sekali gus mengurangkan tekanan yg terpaksa dialami mereka. Oleh itu awasi taktik puak baju biru ni. Gb sepatutnya memberi kebebasan penuh untuk peminat hantar komen

Tanpa Nama berkata...

apa kaitan pemaju dengan kerajaan BN dulu....