16 Jun 2009

PAS UMNO : Ada Pasukan Khas Perdana Menteri?

Tiba-tiba negara dikejutkan dengan berita tentang Pasukan Khas Persekutuan Malaysia (PKPM) yang diharamkan enam tahun lalu apabila menahan 42 lelaki, termasuk ketuanya dalam serbuan di Taman Gombak Jaya dekat sini, semalam.

Pertubuhan yang pernah mencetuskan kontroversi kerana mendakwa ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan kuasa melebihi tentera dan polis itu, dikesan merekrut ahli baru di seluruh negara sejak akhir tahun lalu.

Timbalan Pengarah II Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Tajudin Md Isa, berkata siasatan mendapati PKPM merekrut anggota baru dengan menjanjikan gaji sehingga RM1,900 sebulan bergantung kepada kepakaran masing-masing.

PKPM yang digelar sebagai Pasukan Khas Perdana Menteri sebelum ini dilaporkan pernah satu ketika beroperasi di pejabat UMNO Pantai Dalam dan pada ketika sudah berjaya mengumpul keahlian seramai lebih 8,000 orang. Malah satu ketika pernah dilaporkan oleh akhbar, PKPM berjaya memalsukan surat-surat Jabatan Perdana Menteri.

Ketika polis menyerbu ibu pejabat pertubuhan itu di tingkat tiga sebuah bangunan semalam di Taman Gombak Jaya kira-kira jam 11.45 pagi, 36 lelaki berusia antara 20 hingga 40-an sedang menduduki peperiksaan khas untuk menyertai PKPM.

Polis turut merampas pakaian berlogo PKPM termasuk topi, kemeja-T dan blazer, plak kenderaan berlambang VIP dan VVIP, cota, 22 surat tawaran kerja, beberapa set kertas soalan peperiksaan dan wang tunai RM340, dipercayai wang pendahuluan pendaftaran bagi menyertai PKPM.

Memberitahu sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Perdana di sini, Tajudin berkata, 36 lelaki itu dibebaskan selepas diambil keterangan, manakala enam pegawai pertubuhan itu termasuk ketuanya, Nor Azami Ahmad Ghazali, akan direman bagi membantu siasatan.

Polis pernah melumpuhkan pasukan itu pada 2003 dengan menahan 91 pemimpinnya, manakala 3,279 anggota PKPM menyerah diri.

Nor Azami yang mendakwa bergelar Datuk, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Ogos 2003 mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan kerana menipu, tetapi dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000. Dia dijadualkan menghadiri perbicaraan kes itu pada 25 Jun ini selepas beberapa kali ditangguhkan.

Pertubuhan itu dikatakan didaftarkan atas nama PKPM Services Bhd pada 8 Mei 2003 bagi menjalankan aktiviti perniagaan sebaliknya menawarkan pelbagai jenis pangkat tentera seperti Leftenan Muda pada harga RM8,000, Leftenan (RM16,000) dan Kapten (RM25,000), kepada orang ramai.

Tajudin berkata, polis sedang menyiasat motif pasukan itu dihidupkan semula dan berapa ramai ahli baru yang sudah direkrut.

2 ulasan:

Che Ahmad berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Danny berkata...

PKPM digempur tapi HINDRAF bila lagi? Takkan nak tunggu sampai berapi baru nak dipadamkan!!!