17 Mac 2009

Pakatan Rakyat Pulau J/kuasa Siasat Kes Serang Karpal

Tiga wakil pembangkang dalam jawatankuasa siasatan, yang dibentuk untuk menyiasat insiden pergaduan di bangunan Parlimen berhubung isu Karpal Singh tiga minggu lalu, hari ini memutuskan untuk menarik diri daripada menganggotai badan itu.

Mereka ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, R. Sivarasa dan Setiausaha Agung PAS, Kamaruddin Jaafar.

Ketiga-tiga mereka dilantik minggu lalu.

Keputusan itu diumumkan tidak sampai dua jam selepas Karpal yang juga Pengerusi Kebangsaan DAP dan menjadi tumpuan insiden tersebut, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini berhubung tuduhan mengeluarkan kenyataan berbentuk hasutan terhadap Sultan Perak.

Minggu lalu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, jawatankuasa khas itu yang menyiasat kes pergaduhan Pemuda Umno Selangor yang didakwa mengancam keselamatan Karpal sudah mengenal pasti saksi dan dalang yang mencetuskan kejadian tersebut.

Jawatankuasa itu turut dianggotai Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu), Datuk Seri Dr Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah) dan Datuk Nancy Shukri (BN-Batang Sadong).

Karpal juga memutuskan untuk tidak akan bekerjasama dengan siasatan tersebut, yang bermula pada jam 1 tengahari tadi.

Ahli-ahli pembangkang yang turut terbabit dalam insiden tersebut seperti N Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai), Lim Lip Eng (DAP-Segambut) Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) dan Fong Poh Kuan (DAP-Batu Gajah), juga tidak akan menghadiri siasatan tersebut.

Bagaimanapun, seorang pembantu Karpal, Michael Cornalius akan hadir bersama dengan anak ahli Parlimen Bukit Gelugor itu, Ram Karpal.

Antara yang mereka yang menghadiri siasatan hari ini ialah para pegawai dan pengawal Keselamatan Parlimen.

Jawatankuasa khas itu ditubuhkan mengikut Seksyen 80(A) Perintah Tetap.

Anggota lain jawatankuasa tersebut ialah Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia; Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandeee serta Datuk Tiong King Sing (BN-Bintulu), Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah) dan Nancy Shukri (BN-Batang Sadong).


Tiada ulasan: