17 Mac 2009

Ali Rustam Tidak Layak Bertanding Timbalan Presiden

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti minggu hadapan setelah didapati bersalah melibatkan politik wang.

Lembaga Disiplin Umno mendapati beliau melakukan kesalahan mengikut Perkara 10.1 tataetika ahli Umno, demikian diumumkan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail pada sidang akhbar di sini hari ini.

Lembaga Disiplin itu juga mendapati Khairy Jamaluddin, calon Ketua Pemuda, bersalah kerana melanggar perkara yang sama tetapi hanya diberi amaran.

Lembaga itu bagaimanapun mendapati Datuk Seri Mohamad Khir Toyo, juga calon Ketua Pemuda Umno, tidak bersalah melanggar tataetika ahli parti.

Katanya, keputusan itu dibuat Lembaga Disiplin selepas mendapati Mohd Ali mempunyai kaitan dengan kesalahan politik yang dilakukan oleh ejen dan pelobi semasa proses pencalonan dan juga semasa berkempen.

"Beliau bersalah disebabkan ada sabit kesalahan, pekerja yang buat. Dia hanya disabitkan.

"Tiada kesalahan khusus atau terus yang dilakukan beliau," katanya.

Ditanya sama ada Mohd Ali digantung keahlian, Tengku Ahmad Rithauddeen berkata, pihaknya hanya melarang beliau daripada bertanding.

"Beliau hanya dilarang bertanding. Beliau masih lagi ahli Umno, masih lagi perwakilan dan masih layak mengundi," katanya.

Ditanya sama ada Mohd Ali boleh mengemukakan rayuan bagi membolehkan beliau bertanding, Tengku Ahmad Rithauddeen berkata, proses rayuan terpulang kepada individu berkenaan.

Katanya, kesalahan Mohd Ali banyak dipengaruhi oleh tindakan setiausaha politiknya, Saadun Basirun yang juga ahli Umno bahagian Bukit Katil.

Beliau berkata, Saadun turut didapati bersalah dan digantung keahlian selama tiga tahun.

Beliau berkata, sebanyak 29 kes disiasat oleh Lembaga Disiplin dan 15 daripadanya didapati bersalah.

Berikut adalah 13 lagi ahli-ahli Umno yang didapati bersalah.

Ahli-ahli yang digantung keahlian selama tiga tahun:

1. Rosli Hasan (AJK bahagian Bukit Katil)

2. Zalina Ismail (Naib Ketua Puteri bahagian Bukit Katil)

3. Mohamad Najuib Mohamad Shahaimi (Ketua Pemuda bahagian Maran)

4. Datuk Japlin Akim (ahli bahagian Kota Belud)

5. Salmah Pin (ahli bahagian Bandar Tun Razak)

Ahli-ahli yang digantung keahlian selama setahun:

6. Datuk Mokhtar Samad (Ketua bahagian Bandar Tun Razak)

7. Datuk Manan Ismail (ahli bahagian Paya Besar)

8. Amran Mat (Timbalan Ketua Pemuda bahagian Kuala Krai)

9. Mohd Zuki Mohd Zain (Ketua Cawangan Gua Musang)

10. Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah (Timbalan Ketua bahagian Paya Besar)

Ahli-ahli yang diberi amaran:

11. Mohd Zali Besar (AJK bahagian Paya Besar)

12. Mohd Shohaimi Jusoh (Naib Ketua bahagian Paya Besar)

13. Khairy Jamaluddin (Naib Ketua Pemuda dan Ketua Pemuda Rembau

Tiada ulasan: